PKR bentang usul undi tidak percaya Najib seawal minggu pertama Parlimen



PKR akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seawal minggu pertama sidang Dewan Rakyat walaupun tidak mendapat persetujuan daripada rakan dalam Pakatan Harapan.
Perkara itu sudah dibincangkan pada mesyuarat biro politik PKR baru-baru ini, walaupun ia masih belum dibawa untuk perbincangan lanjut dengan sekutu Pakatan Harapan, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dengan kurang daripada 2 minggu sebelum Parlimen bersidang semula pada 19 Oktober ini, PKR menimbang beberapa pilihan tentang bagaimana untuk mendesak diadakan usul undi tidak percaya.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, ia mungkin dalam bentuk usul tergempar yang boleh difailkan mana-mana ahli Parlimen dalam tempoh 24 jam.

"Speaker kemungkinan besar akan menolaknya dan tidak membenarkan ia dibahaskan tetapi kita boleh cuba memujuk speaker untuk sekurang-kurangnya membenarkan mana-mana ahli dewan membaca kandungan usul itu supaya menjadi rekod dalam Parlimen," kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insider.

Pilihan lain adalah untuk memastikan Bajet 2016 yang dijadual akan dibentangkan Najib pada 23 Oktober dinafikan menerusi undi ahli Dewan Rakyat.

Rafizi berkata, tindakan itu secara simboliknya serupa dengan undi tidak percaya terhadap perdana menteri. Najib juga merupakan menteri kewangan.

Permainan angka

Parti pembangkang, bagaimanapun, tidak mempunyai jumlah majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mendesak usul undi tidak percaya kerana hanya mempunyai 88 ahli daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan hanya mempunyai 72 Ahli Parlimen. PAS bukan sebahagian daripada pakatan itu berikutan pergaduhan dengan DAP yang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat sebelum ini.

PAS juga sudah berikrar untuk tidak bekerjasama dengan Amanah kerana pemimpinnya adalah "pengkhianat" dan merupakan bekas pemimpin parti itu yang tewas dalam muktamar sebelum ini.

Selain itu, belum dapat dipastikan sama ada PAS akan menyokong langkah itu, selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Julai memberi amaran kepada ahli Parlimen parti Islam itu supaya tidak menyokong mana-mana usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika ia dibentangkan bagi memaksa beliau meletakkan jawatan, dengan alasan parti Islam hanya akan membuat perubahan melalui persaingan "sihat".

Sekutu PKR, DAP dan Amanah pula bersikap pesimis terhadap kejayaan undi tidak percaya terhadap Najib itu kerana jumlah ahli Parlimen pembangkang yang tidak mencukupi dalam Dewan Rakyat.

"Persoalan bila (ia dibentangkan) adalah perkara kedua, persoalannya sama ada jumlah ahli cukup atau tidak. Walaupun termasuk PAS, ia masih tidak mencukupi.

"Ia satu persoalan jika ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) boleh dipujuk untuk memberikan sokongan kepada usul itu," kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

PAS kini mempunyai 16 ahli Parlimen, selepas 4 keluar dan menubuhkan Amanah manakala seorang lagi menyertai PKR.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang juga sebahagian daripada ahli Parlimen Amanah berkata penyokong BN perlu mencadangkan usul.

"Tiada gunanya kita membawa usul itu kerana kita tidak mempunyai ahli Parlimen yang mencukupi. Saya berpendapat adalah lebih baik membiarkan penyokong kerajaan BN untuk melakukannya, dan kita akan menyokongnya," katanya.

Simbolik tetapi perlu

Bagaimanapun, Rafizi tetap berkeras dengan keputusannya, di mana pembentangan undi tidak percaya adalah apa yang orang ramai mahukan.

"Mengikut pertimbangan, kita masih boleh melakukannya kerana orang ramai mengharapkannya. Apa-apa bentuk tekanan kepada PM bagus dan itu apa yang sepatutnya pembangkang lakukan.

"Orang ramai sudah cukup realistik kita tidak mempunyai angka itu," katanya.

Rafizi berkata, beberapa percubaan boleh dibuat ahli Parlimen bagi supaya usul undi tidak percaya diadakan, tanpa mengira apa hasilnya.

"Bayangkan seorang PM melalui 4 hingga 5 percubaan berturut-turut usul undi tidak percaya dalam tempoh sebulan. Ini seterusnya akan menghakis kredibiliti beliau," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui mempunyai kebimbangan terhadap rakan daripada DAP dan Amanah dengan mengatakan keputusan bersama mengenai perkara itu akan dibuat di peringkat Pakatan Harapan tidak lama lagi.

Pengkritik Najib mencadangkan usul undi tidak percaya dibentangkan. Najib kini terpalit dengan sandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta "derma" RM2.6 bilion daripada dermawan Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi menjelang pilihan raya umum 2013.

PKR sebelum ini berkata pembangkang hanya memerlukan undi daripada 25 ahli Parlimen BN untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi mendesak Najib berundur.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mendesak ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan mereka terhadap usul undi tidak percaya itu. –  TMI

No comments: