Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu!



Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu!

Mesyuarat Pas – PKR: Pimpinan PKR tak tahu menahu!


Kenyataan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man kepada portal berita The Malaysian Insider malam tadi mengundang kontroversi.

Dakwa Tuan Ibrahim, Pas pada minggu lalu telah pun mengadakan mesyuarat dengan PKR dan mencapai keputusan bahawa kedua-dua pihak akan mengukuhkan muafakat melalui perbincangan di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan .

“PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud.

“Ini dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan,” katanya dipetik TMI.

Dakwa Tuan Ibrahim lagi, Pas akan memperkasakan PR dengan ‘penyusunan semula’ kekuatan antara parti itu dan PKR, di samping beberapa parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kenyataan ini menjelaskan Pas akan mengaktifkan Pakatan Rakyat bagi menyaingi Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan PKR, Amanah dan DAP.

PKR bertentangan

Persoalannya, Pas tidak akan mampu membentuk gabungan politik secara sendirian. Berkemungkinan wujud unsur dalam PKR yang bertindak bertentangan dengan kehendak Biro Politik parti itu yang memperakui pembentukan PH dalam mesyuarat kontroversi 11 Oktober lalu.

Adakah puak tertentu dalam PKR yang sebelum ini didakwa di belakang agenda mesyuarat 11 Oktober tersebut telah mengadakan mesyuarat bersama Pas tanpa kebenaran Biro Politik?

Respons segera daripada ahli Biro Politik PKR kepada Suara Pakatan Daily setakat ini, menjelaskan parti itu tidak mengetahui mengenai sebarang mesyuarat melibatkan PKR dengan Pas pada minggu lalu, mahu pun dalam beberapa hari lepas.

Namun tidak pula diketahui sekiranya mesyuarat ringkas dianjurkan yang tidak memerlukan pengesahan pimpinan tertinggi PKR.

Permainan Pas

Pemimpin PKR sejak kebelakangan ini kurang senang dengan ‘permainan’ Pas. Tuan Ibrahim sebelum mesyuarat 11 Oktober lalu mendakwa kemungkinan PKR akan mengalami nasib sama seperti Pas terbelah dua akibat puak yang menolak dan menyokong kerjasama dengan DAP.

Namun hal itu tidak berlaku. Mesyuarat 11 Oktober sebaliknya ditamatkan dalam tempoh setengah jam sahaja kerana sebahagian besar penyokong petisyen telah menelefon secara pribadi kepada Dr Wan Azizah menyatakan kesal dengan tindakan mereka menandatangani petisyen mesyuarat khas tersebut.

Mesyuarat yang mempunyai agenda untuk menyoal Setiausaha Agung Rafizi Ramli kerana menganjurkan Persidangan Meja Bulat Pakatan Harapan berakhir dengan semangat kekeluargaan dalam parti.

Tuan Ibrahim sebagai bekas pensyarah kanan UiTM dan seorang ustaz sepatutnya berasa malu dengan teori awalnya kononnya PKR akan terbelah dua.

Malangnya, kali ini Tuan Ibrahim sekali lagi muncul dengan dakwaan Pakatan Rakyat masih hidup dan mahu menganjurkan persekutuan politik bersama lain-lain parti termasuk dari Malaysia Timur.

Adu domba

Strategi seperti ini hanya akan membenarkan dakwaan DAP bahawa Pas tidak boleh dipercayai. Mereka melakukan strategi yang tidak diterima dalam politik Islam. Berlapang dada adalah salah satu sifat orang beriman.

Namun sekiranya Pas cuba memecah belahkan PKR, tentunya akhlak Islam tidak terdapat dalam parti itu..

Akhlak Islam, sekiranya saudara sesama Pas telah menubuhkan Amanah dan bersekutu dengan PKR dan DAP maka Pas wajar meredhakannya. Bukan melakukan muslihat memusnahkan parti sahabat – PKR – yang masih menerima mereka di Selangor.

Pas jangan cuba mempergunakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang ‘tidak sebulu’ dengan beberapa pemimpin PKR untuk memecah belah parti reformasi itu dari dalam. Adakah sifat ini dibawa masuk oleh kumpulan pemikir Pas dari UM dan UKM?
Sekiranya Pas berpegang kepada politik Islam maka hentikanlah segera politik adu domba versi Umno atau bersedia untuk dipersoalkan oleh sekutu mereka PKR.


No comments: