Friday, October 16, 2015

Amanah ada peluang rebut kerusi dalam PRN Sarawak



Amanah ada peluang rebut kerusi dalam PRN Sarawak

Amanah ada peluang rebut kerusi dalam PRN Sarawak


Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk berada di pentas utama politik Sarawak walaupun parti pemerintah negeri, Parti Pesaka Bumiputra (PBB) dijangka akan meningkatkan penguasaan dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Malah Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing mengakui tentang perkara ini apabila menyifatkan “Amanah lebih merbahaya daripada PAS”.

“Mereka boleh mengancam Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Islam,” kata Masing yang juga menteri pembangunan tanah Sarawak ketika Amanah dilancarkan.

Ini berlaku kerana Pengerusi Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi yang dahulunya pengarah pilihan raya PAS negeri berjaya membentuk parti baharu itu sebagai sebuah parti terbuka seperti dikehendaki rakyat negeri.

Struktur Amanah di Sarawak umpama parti yang memerintah Sarawak PBB pimpinan ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.
Fidzuan merupakan Melayu Melanau manakala timbalannya seorang Dayak Kristian, William Mangor.

“Dasar parti kami adalah Islam tetapi orang bukan Islam bebas menyertainya sebagaimana Islam adalah agama persekutuan tetapi agama lain bebas diamalkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Setiausaha Amanah Sarawak Abang Halil Abang Naili kepada The Malaysian Insider.

Walaupun baru sebulan dilancarkan, Amanah kini sudah berjaya membentuk 2 kawasan di Sarawak iaitu Kota Samarahan dan Petra Jaya yang dilancarkan pada Rabu.

Kawasan ini mempunyai kira-kira 40% penduduk Bumiputera bukan Islam (Iban dan lain-lain), 30% Cina dan 30% Melayu-Islam.
Dua lagi kawasan yang bakal dibentuk Amanah dalam masa terdekat ialah Bintulu dan Miri.

“Ketika awal saya menyertai PAS 20 tahun dahulu, ia memakan masa bertahun untuk membolehkan kami membentuk kawasan-kawasan,” kata Fidzuan kepada The Malaysian Insider selepas merasmikan kedua-dua kawasan itu.

Dalam pilihan raya negeri pada April 2011, DAP merupakan parti pembangkang paling berjaya apabila menang 13 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandinginya berbanding 3 dimenangi PKR walaupun bertanding 49 kerusi.

Sementara PAS tidak memenangi sebarang kerusi DUN daripada 7 yang ditandinginya.

Kejayaan DAP disebabkan sokongan padu kaum Cina kepada Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimanapun, PR berkubur pada Jun tahun ini selepas PAS bersengketa dengan DAP, menyebabkan pemimpin progresif parti itu keluar parti dan menubuhkan Amanah.

Dalam pilihan raya negeri akan datang BN dijangka meningkatkan sokongannya dengan pencapaian baik dan populariti Adenan sebagai ketua menteri.

Sokongan Cina kepada DAP dijangka akan kekal sekalipun ia tidak meningkat, bagaimanapun sokongan Melayu dan Bumiputera bukan Islam dijangka akan meningkat terhadap BN kerana dasar dibawa Adenan.

Akan tetapi Fidzuan yakin masa depan Amanah sangat baik dan boleh mengambil alih tempat PBB pada masa depan.

“Dalam pilihan raya ini, saya jangka BN akan menang lebih besar. Mungkin kerusi DAP pun akan berkurang apatah lagi kerusi PKR kerana pencapaian baik Adenan sebagaimana pencapaian Pak Lah bila pertama kali masuk pilihan raya sebagai perdana menteri,” katanya merujuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum 2004 dengan undi begitu besar selepas menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun Adnan sudah 77 tahun umurnya. Mampu ke dia memimpin lagi dalam pilihan raya selepas ini?

“Kita yakin ketika itulah peluang Amanah,” kata Pengarah Pilihan Raya Amanah Sarawak, Mohamad Jolhi kepada The Malaysian Insider yang sangat yakin dengan masa depan parti disertainya selepas meninggalkan PKR.

Fidzuan bersama 2 lagi bekas penggerak PAS Sarawak iaitu setiausaha perhubungan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan ketua penerangan Andri Zulkarnain Hamden meninggalkan parti Islam itu dan menyertai Amanah.

Turut menyertai Amanah ialah bekas pesuruhjaya PAS Sarawak, Othman Mustafa dan bekas calon parti Islam itu di Tanjung Datu dan Parlimen Mukah, Nani Sahari.

Fidzuan berkata, setelah menyertai Amanah, beliau merasakan begitu lapang kerana segala-galanya terbuka luas di depan dan semakin ramai kawan.

“Rupanya di luar sana ramai kawan kita, tidak sebagaimana dalam PAS, semuanya rasa tersekat dan tertutup.

“Puncanya adalah kerana PAS bermula dengan haram baru makruh dan halal sedangkan Amanah bermula dengan halal dahulu baru makruh dan kemudiannya haram,” katanya yang turut memaklumkan Amanah Sarawak mendapat kuasa autonomi sebagaimana DAP negeri.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers