PR 2.0: Amanah sedia kerjasama dengan Pas, Hadi ingin bersendiri

PR 2.0: Amanah sedia kerjasama dengan Pas, Hadi ingin bersendiri
PR 2.0: Amanah sedia kerjasama dengan Pas, Hadi ingin bersendiri

PR 2.0: Amanah sedia kerjasama dengan Pas, Hadi ingin bersendiri

Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mencapai kata sepakat untuk sedia menerima PAS dalam gabungan baharu parti pembangkang iaitu namun parti Islam itu nampaknya mahu hidup bersendirian kerana merasakan mereka sudah cukup kuat, kata pemimpin.

Ahli Jawatankuasa Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam membentuk hubungan baharu memang ada perbezaan pandangan antara mereka dan ia diraikan dalam parti baharu itu.

“Namun secara majoritinya kami sedia menerima PAS jika sudi untuk bersama Pakatan Rakyat 2.0 (PR2.0) untuk sama-sama menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu kepada The Malaysian Insider.

“Namun terbukti PAS nampaknya lebih senang bersendirian sebagaimana dinyatakan oleh presidennya,” kata Dzulkefly.
Semalam di Kuala Terengganu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan tidak mustahil parti Islam itu akan bergerak bersendirian tanpa bekerjasama dengan BN ataupun pembangkang.

Timbalan Pengerusi Amanah Salahudin Ayub berkata semalam, mereka bersedia menerima PAS jika parti Islam itu mahu bersama PR2.0.

“Sebagai sebuah parti politik Islam yang mengangkat nilai inklusif, tentunya Amanah terbuka untuk berunding, termasuk dengan PAS atau mana-mana pihak lain, jika wujudnya keperluan itu.

“Bagi Amanah, jiwa besar kami adalah mahu menggembleng semua pihak, agar negara ini dapat diselamatkan daripada segala kebejatan yang berlaku akibat tindakan rakus dan salah urus kerajaan BN,” katanya.

Sebelum ini, ahli Parlimen Sepang yang juga ahli jawatankuasa parti baharu itu Mohamed Hanipa Maidin menolak cadangan PKR untuk terus melibatkan PAS dalam PR2.0.

Hanipa mengulas kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kesediaan untuk bersama PAS di samping Amanah dan DAP bagi membentuk pakatan baharu yang dinamakan PR2.0 selepas gabungan sebelum ini terbatal.

Dalam responsnya kepada kesediaan Amanah dan PKR itu, Hadi berkata, PAS sudah cukup kuat untuk bergerak bersendirian.

Katanya, PAS ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan itu.

Beliau berkata, pengalaman lalu banyak mengajar PAS supaya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan parti politik lain.

“Sehingga ini PAS dengan tegas tidak menerima parti baharu itu dan konsisten dengan pendirian selama ini,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Sebelum ini, Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Ia kemudiannya disahkan Majlis Syura Ulama parti itu.


No comments: