Lebih 500 Borang Parti Amanah Negara Diserahkan Di Hari Pelancaran PAN Melaka




Oleh:Greenboc



Lebih 500 borang keahlian Parti Amanah Negara yang telah siap diisi telah diserahkan kepada Pengerusinya, Tuan Hj Mohammad bin Sabu di majlis pelancaran Parti Amanah Negara peringkat negeri Melaka di dalam satu upacara yang gilang gemilang di Hotel Mahkota Melaka pagi tadi.

Borang-borang berkenaan telah diserahkan oleh Penyelaras kawasan-kawasan Parti Amanah Negara negeri Melaka dimana Bukit Katil merupakan kawasan yang paling banyak menyerahkan borang, diikuti dengan Kota Melaka, Jasin, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Tn Hj Mohammad Sabu di dalam ucapan perasmiannya menyatakan penubuhan Parti Amanah negara merupakan wadah baharu yang komited meneruskan legasi politik Islam yang pernah ditunjukkan Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menyatakan Parti Amanah Negara meletakkan Islam itu sebagai "rahmatan lil alamin" (rahmat untuk sekalian alam).

Beliau turut menyatakan bahawa urusan pengambil-alihan Parti Pekerja-pekerja Malaysia telah diselesaikan dan beberapa pindaan seperti nama serta perlembagaan parti akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan tarikh hari pelancaran parti baharu tersebut akan diadakan pada 16 September ini di IDCC Shah Alam.

Gelombang kebangkitan rakyat yang mendokong Parti Amanah Negara, menurutnya lagi bertiup dari arah selatan tanah air dimana sokongan besar terhadap penubuhan parti baharu amat jelas di negeri-negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Pengerusi Parti Amanah Negara Melaka, Tn Hj Adly Zahari didalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa selepas dari majlis pelancaran ini, Amanah Melaka akan mengorak langkah ke hadapan termasuk mengemaskinikan jawatankuasa di peringkat negeri dimana lajnah-lajnah akan dibentuk untuk melancarkan lagi gerak kerja parti.

Majlis pelancaran Parti Amanah Melaka telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan beberapa pimpinan parti pembangkang negeri Melaka serta ngo-ngo yang telah turut hadir menyerikan majlis berkenaan. Diantara mereka yang hadir termasuklah Ketua DAP Melaka, YB Goh Leong San, YB Khoo Poay Tiong (ADUN Ayer Keroh) dan Ahli Parlimen Kota Melaka, YB Sim Tong Him, Pengerusi Keadilan Negeri Melaka yang juga ahli parlimen Bukit Katil, YB Shamsul Iskandar Mohd Akin dan timbalannya, Sdra Gooi Teik. Pemimpin ngo IKRAM Melaka, Sdra Zairi Suboh dan Ahmad Mohd Zainal turut hadir.



PAN jangka keanggotaan lebih 100,000 menjelang hujung tahun

Parti Amanah Negara (PAN) menjangkakan lebih 100,000 orang termasuk anggota PAS akan menyertai parti itu menjelang hujung tahun ini.

Presiden PAN Mohamad Sabu berkata sehingga kini PAN menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur daripada pelbagai pelbagai parti politik di negara ini.

"Kita mengedarkan borang keahlian PAN di seluruh negara dan menjangkakan bilangannya akan meningkat sehingga akhir tahun ini.

"Pada hari ini PAN menerima borang keahlian sebanyak 500 melibatkan penduduk Melaka termasuk anggota PAS.

"Di Johor PAN menerima 5,000 borang keahlian manakala di Kedah sebanyak 2,721 borang keahlian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PAN Melaka di Melaka, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PAN Melaka Adly Zahari dan Anggota Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka.

Mohamad berkata PAN Melaka akan bergerak sebagai sebuah parti politik bermula hari ini dan terus bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu.

Beliau berkata PAN juga bersedia bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan PAS dalam sesuatu isu sekiranya perlu.

Mengulas tentang anggota PAS iaitu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar memilih untuk yang menyertai PKR, katanya ia tidak memberi kesan kepada PAN kerana mereka masih anggota Pakatan Rakyat.

"Tidak apalah...asalkan mereka berada dalam Pakatan Rakyat..barangkali mereka ada pandangan masing-masing..saya mengalu-alukan mereka menyertai PKR," katanya.
– Bernama









No comments: