Saturday, September 12, 2015

GANJARAN HIMPUNAN BAJU MERAH, SIAPA BAKAL JADI MENTERI SELEPAS INI?

 

 

Apa pun hujah dan alasan yang cuba diberikan mengenai himpunan baju merah pada 16 September, ia tetap tidak dapat lari daripada agenda UMNO untuk mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak.

Najib yang bermasalah berikutan isu 1MDB dan "onar"  menerima wang RM2,600 juta yang disifatkan "duit haram" oleh Tun Mahathir Mohamad, memilih himpunan merah ini untuk membuktikan beliau tidak terjejas apa-apa dengan dua isu besar itu.

Daripada kedua-dua masalah yang dihadapi Najib itu diletakkan sebagai beban UMNO memikulnya sebelum ini, ia kini cuba dialihkan kepada isu perpaduan Melayu, kebangkitan Melayu, maruah Melayu dan seumpamanya dengan matlamat agar seluruh orang Melayu turut sama menanggung perbuatan Najib itu.

Setelah mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian yang baru berakhir menunjukkan adanya kocakan tidak bersetuju dengan Najib sehingga ada usul memintanya bercuti atau berehat buat sementara waktu sehingga siasatan mengenai 1MDB dan wang RM2,600 juta diselesaikan, satu-satunya cara untuk menunjukkan Perdana Menteri masih dikehendaki ialah melalui himpunan baju merah ini.

Lantaran itu, Najib akan melakukan apa saja, termasuk mengeluarkan belanja tak terhad bagi memastikan sokongan memihak kepadanya terserlah melalui himpunan baju merah.

Alasan himpunan Bersih 4 yang kebetulan lebih ramai bukan Melayu menghadirinya dan lebih bergema desakan meminta Najib berundur telah dijadikan alasan terbaik untuk menghimpunkan orang-orang Melayu untuk mempertahankan Najib pula.

Selain penglibatan beberapa watak yang rapat dengan UMNO di sebalik himpunan baju merah yang diletakkan atas nama gabungan NGO-NGO, maklumat mengenai kerahan kehadiran melibatkan beberapa pemimpin dan seluruh UMNO bahagian-bahagian juga bukanlah rahsia lagi.

Ada laporan mengatakan sebuah mesyuarat di ibu pejabat UMNO yang dihadiri oleh beberapa pemimpin tertinggi UMNO, antaranya Setiausaha Kerja, Abd Rauf Jusoh, ahli MT Annuar Musa dan beberapa yang lain telah diadakan untuk menyelaras kehadiran ahli UMNO seluruh negara ke program 16 September itu.

UMNO sebuah negeri pula dikesan telah mengedarkan surat arahan kepada bahagian-bahagian agar memastikan jumlah kehadiran yang memuaskan dengan segala kos pengangkutan, makan minum dan lain-lainnya akan ditanggung oleh Ketua Bahagian berkenaan.

Setelah Najib sendiri tidak menghalang kehadiran ahli-ahli UMNO dalam program tersebut, Khairy Jamaluddin pula menyambutnya dengan nada yang sama atas alasan kenyataan Najib itu sudah mewakili pendirian parti.

Maka, secara tersiratnya himpunan baju merah ini tidak lain adalah semata-mata agenda UMNO untuk mengheret semua orang Melayu bagi mempertahankan Najib.

Demi untuk mempertahankan kedudukan Najib, UMNO kini seolah-olah tidak peduli sebenarnya tarikh 16 September lebih wajar diingati sebagai detik tertubuhnya Malaysia yang mencantumkan kepelbagaian kaum dan agama antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Jika UMNO benar-benar bersifat inklusif dan menghargai kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, 16 September tidak seharusnya ditenggelamkan dengan pesta bercorak perkauman dan untuk menjulang tinggi kedudukan Najib yang kian dipertikaikan semata-mata.

16 September sewajarnya disambut dan diraikan untuk memperlihatkan keeratan hubungan dan saling harmoni antara semua kaum di negara ini.

Dengan tiada satu pun komponen BN menyokong dan menyambut baik himpunan baju merah ini, meneruskannya bukan saja mengundang perbalahan dan perbezaan antara kaum yang kian ketara, malah akan meletakkan UMNO dan para pemimpinnya semakin jauh di hati pengundi bukan Melayu.

Yang jelas, mereka yang menganjur dan mengaktifkan himpunan baju merah ini hanyalah mengutamakan bagaimana untuk menyanjung, mempertahan dan memperlihatkan seolah-olah Najib terus mendapat sokongan rakyat dan sanggup mengenepikan segala asas kemajmukan dalam negara.

Mereka sedar Najib kini dalam keadaan tersepit dan memerlukan segala ruang sokongan untuk mempertahankan kedudukannya.

Najib pula, dengan kedudukan yang dimilikinya sebagai Perdana  Menteri, terlihat sedia memberi apa saja ganjaran kepada sesiapa yang paling menonjol membelanya.

Beliau bukan saja sanggup membesarkan jumlah menteri kabinetnya kepada seramai 37 orang dan meletakkan sehingga 12 menteri di Jabatan Perdana Menteri, malah pemimpin seperti Salleh Said Keruak dan Azalina Othman Said pun dijadikan menteri semata-mata kerana kesanggupan tidak henti-henti membela Perdana Menteri, khususnya dalam isu 1MDB dan wang RM2,600 juta.

Di ketika blogger UMNO terkulai lesu dalam membela Najib dan membelasah Tun Mahathir, Salleh berjaya mengambil kesempatan hanya melalui penonjolan tulisan dalam blognya dengan tetap melihat Najib sebagai pemimpin suci murni dan akhirnya terus dilantik ke kerusi kanan dalam kabinet.

Begitu juga dengan Azalina,  tangannya menggeletar geram apabila digugurkan oleh Najib pada 2009 ketika berbual dengan seorang kenalannya, tetapi telah berjaya menganggotai kabinet semula melalui usaha tidak henti-hentinya bersuara mempertahan dan membela Najib.

Selepas himpunan baju merah 16 September ini, siapa pula bakal dilantik jadi menteri agaknya?

Jika sudah mencatat sejarah meletakkan 12 menteri di Jabatan Perdana Menteri dan melantik segala macam penasihat bertaraf menteri untuk sekian ramai yang sudi mengampu dan membodeknya, tentulah tiada masalah untuk Najib menambah seorang dua anggota baru atau menjadikan jumlah kabinetnya lebih berganda lagi.

Adakah  kali ini giliran Abd Rauf, Annuar Musa atau Jamal Mohd Yunus pula bakal menerima habuannya? (SH 11/09/2015)
 
 
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers