SAMA SEPERTI MH370, WANG RM2.6B JUGA JADI MISTERI BUAT KITA


 

 

Oleh: Shahbudin Husin



 
 
Selepas 515 hari, Perdana Menteri Najib Razak malam tadi mengumumkan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, berhampiran Madagascar adalah sah milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu.

Katanya, dengan pakar-pakar antarabangsa telah mengesahkan hakikat itu, ia setidak-tidaknya dapat memberi kepastian kepada keluarga mangsa seramai 239 orang yang berada dalam pesawat tersebut.

Dalam masa yang sama, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha mencari kebenaran di sebalik tragedi yang menyayat hati itu.

Meskipun serpihan itu disahkan milik MH370, beberapa misteri kekal menyelubungi kita semua. Antaranya:-

- kenapa pesawat yang dipandu dari Kuala Lumpur ke arah Beijing itu dilencongkan ke arah lain?

- di mana lokasi sebenar MH370 terhempas masih lagi tidak diketahui, yang ditemui hanyalah serpihan sayap kapalterbang itu yang mungkin hanyut lalu akhirnya berlabuh di Pulau Reunion.

- adakah pesawat itu dirampas pengganas, terhempas kerana masalah teknikal yang dihadapinya atau berpunca dari sebab-sebab lain?

- kenapa radar gagal mengesan pergerakan pesawat itu bermula daripada laluan asal yang sepatutnya dilalui iaitu Laut China Selatan hinggalah ia melencong lalu hilang di Lautan Hindi?

Semua perkara ini akan terus menjadi misteri untuk sekian lama sehinggalah pasukan penyiasat dapat mengesahkan perkara yang sebenarnya. Tetapi tidak mustahil juga ia akan kekal misteri untuk selama-lamanya.

Dengan pengesahan MH370 ini dilakukan di saat-saat semua orang bercakap mengenai wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, persamaan misteri antara kedua-duanya tentu saja tidak dapat dielakkan.

Walaupun disahkan oleh SPRM mengenai wang tersebut, misteri yang kekal bersarang ialah:-

- siapakah penderma murah hati dan budiman itu?

- apakah tujuan penderma memberi wang sebanyak itu kepada Perdana Menteri?

- di manakah baki wang RM2.6 bilion itu? Masih ada, sudah habis atau disimpan di tempat lain?

- jika wang RM2.6 bilion dibahagi sama rata dengan 222 kawasan Parlimen, setiapnya akan memperolehi lebih RM11.7 juta. Kalau cuma diagihkan kepada 191 bahagian UMNO pula, setiap satunya akan mendapat kira-kira RM13.6 juta. Adakah mereka yang terbabit memperolehi sebanyak itu?

- andai kata dalam pilihanraya ke 13 lalu, setiap bahagian atau calon yang bertanding di 222 kawasan Parlimen cuma diberikan RM2 juta (menurut beberapa bekas Ahli Parlimen, jumlah ini pun sudah dikira terlalu besar), bermakna tidak sampai RM600 juta telah dibelanjakan. Di mana RM2,000 juta lagi?

Walaupun Najib kelihatan sedih ketika mengumumkan mengenai pengesahan serpihan MH370 malam tadi, rakyat Malaysia secara umumnya lebih sedih jika misteri wang RM2.6 bilion tidak dirungkai dengan sebenar-benarnya.

Sama seperti MH370, terlalu banyak misteri dan ketidaklogikan di sebalik jumlah wang sebesar itu meskipun ia disahkan SPRM cuma sekadar derma dan seolah-olah sudah bertukar wang halal jadinya.

Apatah lagi, sementara kebenaran sedang dicari, bukannya suspek yang dicari tetapi pasukan penyiasat pula yang digeledah untuk diburu bukti.

Hakikatnya, yang berbeza ialah jika tragedi MH370 telah menyatukan semua hati-hati manusia di negara kita tanpa mengira kaum dan agama, sebaliknya misteri RM2.6 bilion ini menyebabkan lebih perpecahan serta kehancuran di hati yang sama tentang makna sebenar sebuah kebenaran yang nampaknya ghairah cuba ditutup daripada didedahkan. (SH 06/08/2015)
 
 
 

No comments: