Pesan Anwar kepada Najib: Henti ganggu SPRM, Bank Negara

Pesan Anwar kepada Najib: Henti ganggu SPRM, Bank Negara


SUNGAI BULOH 7 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan segala gangguan dan ancaman ke atas pegawai-pegawai siasatan agensi kawal selia negara dalam menjalankan tugas mereka.
anwar1“Saya merujuk secara khusus bagaimana anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) diguna untuk menangkap, menyoal siasat malah juga mereman anggota-anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk mereka yang terlibat di dalam siasatan bagaimana RM42 juta wang rakyat melalui SRC International dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib di AmBank.
“Terdapat juga tanda-tanda bahawa Bank Negara, yang merupakan institusi kawal selia yang teramat penting, juga sedang diancam,” kata Anwar dalam kenyataan.
Kenyataan itu disampaikan Anwar melalui peguamnya yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa yang bertemu dengannya di Penjara Sungai Buloh baru-baru ini.
Anwar berkata, amatlah mustahak bagi negara dan keadaan ekonomi agar Bank Negara terus dilihat sebagai sebuah badan yang bebas, profesional dan berintegriti.
Sambung mantan Ketua Pembangkang itu, Bank Negara wajib dibenarkan menjalankan tugas tanpa kekangan terutama di dalam aspek pengesanan dan pencegahan pengubahan dan aliran wang haram.
“Jika Bank Negara dilihat cuai dan tidak cekap menjalankan tugas akibat gangguan politik, maka ekonomi negara akan mengalami kesan yang amat serius,” ujarnya.
Justeru, kata Anwar, rakyat perlu bersatu dalam memberi sokongan terhadap SPRM dan Bank Negara untuk menjamin institusi-institusi ini selamat dari gangguan politik.
“Saya menggesa agar semua rakyat Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti, NGO dan masyarakat sivil mengetepikan perbezaan dan bersatu untuk menyelamatkan negara kita dari krisis politik dan ekonomi yang melanda kita sekarang,” pesan Anwar.
Beberapa pegawai SPRM kini berdepan tekanan polis termasuk disoal siasat, ditangkap dan direman, susulan dakwaan dokumen bocor ketika siasatan berkaitan 1MD B dijalankan.
Institusi yang terlibat dalam pasukan petugas khas yang menyiasat kemasukan ‘derma’ RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib adalah Bank Negara dan SPRM, selain PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=673

No comments: