Hentikan tekanan, rakyat terus sokong SPRM perangi rasuah

Hentikan tekanan, rakyat terus sokong SPRM perangi rasuah

(Oleh Ermizi Muhamad)

PUTRAJAYA 6 OGOS: Rakyat akan terus bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan segala siasatan suruhanjaya itu dalam isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri telus tanpa campur tangan pihak tertentu.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian pagi ini ketika hadir bersama sekumpulan Ahli Parlimen (MP) Pembangkang ke Ibu Pejabat SPRM di sini sebagai tanda solidariti kepada pegawai dan anggota SPRM yang bertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap kes itu.


Wawi baru


“Rakyat bersama SPRM untuk terus membanteras rasuah dan jangan sekali-kali SPRM takut dan gentar untuk jalankan tugas dengan baik. Segala bentuk tekanan kerajaan perlu dihentikan,” katanya.
Tujuh pegawai SPRM setakat ini telah disoal siasat pihak polis kerana didakwa kononnya ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’.


Antara yang disiasat adalah Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohd Zin. Tekanan ini menyebabkan beliau akan mencari dalang yang mengarahkan polis mengganggu pegawai SPRM sekaligus mengganggu siasatan mereka terhadap akaun bank Datuk Seri Najib Razak.

Wan Azizah yang juga MP Permatang Pauh turut merujuk beberapa perundangan berhubung kesalahan penyelewengan berkait kesalahan rasuah terhadap mana-mana pihak yang menganggu dan menghalang pegawai SPRM daripada melakukan siasatan.

Katanya, pihak-pihak tertentu itu sewajarnya tidak mencampuri mana-mana siasatan SPRM lebih-lebih lagi membabitkan kepimpinan tertinggi negara.

MP yang hadir antaranya Rafizi Ramli (Pandan), Shamsul Iskandar Mohd Akin (Bukit Katil), Lim Kit Siang (Gelang Patah), Teresa Kok (Seputeh) dan Khalid Samad (Shah Alam).
Turut hadir, Pengerusi Gerakan Harapan Baru, Mohammad Sabu.

Delegasi tersebut membuat ucapan bergilir-gilir di hadapan bangunan itu.

Sejurus selepas itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategi SPRM, Datuk Rohaizad Yaacob bertemu dengan kumpulan itu dan mereka dibawa masuk untuk berdialog.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67316

No comments: