Bersih 4 manifestasi rakyat tolak Najib

Bersih 4 manifestasi rakyat tolak Najib

(Oleh Ermizi Muhamad)
PETALING JAYA 15 OGOS: Himpunan Bersih 4 hujung bulan ini diadakan sebagai simbolik penolakan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah menegaskan, protes aman itu bukan bertujuan menggulingkan kerajaan, tetapi platform kepada rakyat menyatakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri serta bantahan kepada sistem politik pemerintah.
bersih-demo“Rakyat sudah hilang keyakinan kepada Najib tetapi Parlimen masih belum mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan sama ada Najib masih menerima kepercayaan kebanyakan Ahli Parlimen.
“Parlimen kita sudah gagal, di bawah seorang Speaker yang tidak dipilih rakyat.
“Bersih 4 akan menjadi manifestasi undi tidak percaya ke atas Najib.
“Protes ini akan menjadi suara seluruh rakyat untuk mengukuhkan lagi sistem demokrasi berparlimen di negara ini,” kata Maria.
Beliau berucap pada majlis pelancaran himpunan itu yang dirancang selama 34 jam tanpa henti, bermula 29 Ogos ini, di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi.
Sambung Maria, rakyat juga menuntut sistem politik dan kepimpinan yang bersih serta bebas rasuah.
grafik tuntutan“Kalau politik ini sistemnya masih tidak bersih, ia tidak akan selesaikan apa-apa pun.
“Muhyiddin (Yassin) atau Zahid (Hamidi) sekalipun yang ganti Najib, kalau masih korup dan tamak, semua skandal lain tidak akan dapat diatasi,” katanya merujuk penyelewengan kerajaan antaranya skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) dan NFC (Pusat Fidlot Nasional.
Masih bertemakan kuning, perhimpunan itu akan berlangsung serentak di Kuala Lumpur dan beberapa bandar termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Pahang, Johor serta lebih 20 bandar di luar negara.
Empat tuntutan Bersih 2.0 dalam himpunan ini adalah membersihkan pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak membantah.
Selain itu, 10 pembaharuan antaranya termasuk institusi pilihan raya, institusi Parlimen, menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) badan berperlembagaan yang menjawab kepada Parlimen dan menghalang Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.
Oleh itu, Maria menyeru rakyat menyertai himpunan ini bagi melakukan pembaharuan terhadap institusi negara dan menamatkan rasuah yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67432

No comments: