Pakatan baru lebih mantap diisytihar selepas raya – Mat Sabu

Pakatan baru lebih mantap diisytihar selepas raya – Mat Sabu

Pakatan baru lebih mantap diisytihar selepas raya – Mat Sabu

Bekas pemimpin PAS Pusat yang bekerjasama di bawah panji-panji yang dinamakan G18 menjanjikan pakatan baharu selepas Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata, mereka mesti membina Pakatan Rakyat (PR) yang baharu yang lebih hebat daripada PR yang kini terkubur.

Beliau berkata ia perlu menjadi pakatan yang menjunjung integriti sebagai nilai paling penting.

“Tugas kita bukan hanya menggantikan Umno dan Barisan Nasional. Kita perlu bentangkan satu formula baru.

“Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

“Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan,” katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di The Light Hotel di Seberang Jaya malam ini.

Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Islam agama yang menganjurkan keamanan dan Al-Quran juga mengajar umatnya bercakap dengan santun dan menggunakan perkataan yang baik apabila berbicara atau berhujah, baik dengan orang Islam mahupun dengan bukan Islam.

“Ia tidak mengajar kita menggunakan perkataan seperti serigala, anjing atau jebon.

“Tak kena tu,” katanya, memperli Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perkataan seperti itu semasa ceramahnya minggu lepas.

Hadi mengatakan serigala dan anjing boleh terus menyalak, tetapi PAS tidak akan berganjak daripada agenda hududnya.

Selain Mat Sabu, turut hadir ialah presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas pemimpin PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas strategis PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Mujahid berkata, tidak perlu sedih dengan terkuburnya PR kerana satu kuasa baharu akan muncul.

Beliau berkata gabungan yang lebih kuat akan terus berusaha untuk rakyat.

“Kita tidak pernah lihat sebelum ini, yang kalah disanjungi. Saya bercakap ini, tentang parti saya (PAS).

“Kita akan lihat satu gelombang baharu. Harap-harap dengan ketibaan Syawal, kita akan lihat munculnya gelombang baharu,” katanya di majlis tersebut.

Phahrolrazi bersetuju dengan Mujahid, mengatakan wujud keperluan segera untuk menubuhkan satu gabungan baharu di kalangan parti pembangkang.

Katanya, beliau berkata demikian bukan bagi pihak organisasinya, tetapi mewakili semua kumpulan yang menyokong PR, dan menaruh harapan tinggi pada pakatan tersebut dan kini luluh melihat ia terkubur.

“Kita mesti ada gabungan baru. Saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat,” katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, sasaran dan hala tuju utamanya ialah menumbangkan BN, menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan negara kepada rakyat.

Katanya, mereka tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membina kerajaan perpaduan dengan Umno.
Beliau berkata mahu bekerjasama dengan mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat.

“Kami akan menunggu berita terkini (tentang parti baharu) dan menunggu untuk menyatukan kekuatan kita melawan BN,” katanya.

DAP dan PAS berbalah sejak parti Islam tersebut membentangkan dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac.

Awal bulan lepas di muktamar tahunan PAS, parti itu menerima tanpa bahas usul dari Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Berikutan ini, DAP mengisytiharkan PR kini mati dan pemimpin progresif PAS yang kini dipanggil G18 sedang mempertimbangkan pertubuhan parti Islam baharu untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang baharu.

No comments: