Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Datuk Seri Najib Razak perlu segera menjelaskan sama ada beliau mempunyai beberapa akaun peribadi di sebuah bank swasta, berikutan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) yang sebanyak RM2.6 bilion dikreditkan ke dalam akaun di bawah namanya, daripada berfikir untuk menyaman akhbar perniagaan itu, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau berkata, dakwaan terhadap perdana menteri itu sangat serius dan penjelasan perlu untuk melindungi integriti jawatannya.

“Kesan memfailkan saman undang-undang terhadap WSJ akan mengambil masa yang lama. Perkara segera adalah bagi perdana menteri untuk menjelaskan sama ada beliau mempunyai akaun di bank itu,” kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider.

Najib berkata semalam, beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi apakah tindakan akan diambil terhadap WSJ berhubung laporan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan ke dalam akaun di Bank AmPrivate di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015.
Perdana menteri pada sidang media semalam memberitahu, beliau sudah berunding dengan peguam berkenaan “dakwaan berniat jahat” itu.

“Merujuk kepada tuduhan-tuduhan liar yang dibuat terhadap saya, yang saya didakwa mencuri AS$700 juta daripada 1MDB dan meletakkannya di dalam akaun peribadi saya, saya sudah merujuk kepada peguam dan mereka akan memberi nasihat tentang tindakan undang-undang dan lain-lain lagi yang boleh saya ambil, dalam dan luar negara.

“InsyaAllah, saya akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari berkenaan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap tuduhan berniat jahat itu,” kata beliau di Masjid Bandar Rinching di Semenyih semalam.

Bagaimanapun, para pembantunya menghalang kakitangan media daripada membuat sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu selepas Najib memberi kenyataan.

Abu Talib berkata terdapat pihak akan mengeksploitasi dan mensensasikan perkara itu dan ini tidak baik bagi perdana menteri dan Malaysia.
“Semua orang ingin tahu sama ada perdana menteri mempunyai akaun dengan bank dan ia tidak adil jika beliau diserang berterusan,” katanya.

Abu Talib, yang merupakan peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, beliau juga berpendapat ahli-ahli politik tidak perlu ke mahkamah untuk memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka.

Selain itu, bank berkenaan juga boleh menjelaskan kedudukan Najib selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, katanya.

“Mereka perlu mengesahkan atau menafikan. Mengapa membuang masa pasukan petugas untuk menyiasat dan bukan menjelaskan isu itu dahulu kerana kedudukan perdana menteri adalah penting,” katanya.

Minggu lepas, WSJ mendakwa sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib di Bank AmPrivate, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib bagaimanapun menjawab, beliau tidak pernah mengambil apa-apa dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan laporan terkini kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa peletakan jawatan Najib.

Bagaimanapun, ahli-ahli politik pembangkang menyelar “penafian kabur” Najib, manakala WSJ mempertahankan laporannya, dan berkata ia berasaskan bukti yang kukuh.

Peguam Negara Tan Sr Abdul Gani Patail mendedahkan dalam satu kenyataan pada Sabtu, pasukan petugas khas menyerbu 3 syarikat yang dikaitkan dengan dana didakwa disalurkan kepada akaun bank peribadi Najib dan beliau menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.

Gani berkata, beliau meneliti semua dokumen dan memberikan nasihat lanjut dan arahan kepada pasukan petugas yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia.

Gani berkata, para pegawai pasukan petugas menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan pejabat Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat dan mendapat lebih banyak dokumen

No comments: