Ketumbuhan 4cm di buah pinggang, pindahkan Anwar segera – Peguam

Ketumbuhan 4cm di buah pinggang, pindahkan Anwar segera – Peguam 30 Jun

(Oleh Azuan Ab Rahman)

KUALA LUMPUR 5 JUN: Tahap kesihatan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin merosot dan amat membimbangkan.

Pasukan peguam antarabangsa yang mewakili bekas Ketua Pembangkang itu mendakwa akses kepada rawatan yang amat diperlukan anak guamnya itu dinafikan.

Mereka menyarankan Anwar dipindahkan segera ke tahanan kediaman bagi mendapat rawatan perubatan yang seharusnya.
Sivarasa
Sivarasa

“Masyarakat antarabangsa patut risau dengan tahap kesihatan Anwar yang semakin teruk, keadaaan ini diburukkan lagi dengan penafian akses kepada rawatan dan kemudahan ketika beliau ditahan dengan salah.

“Amatlah penting beliau dipindahkan segera ke tahanan kediaman, di mana beliau boleh dibenarkan menemui doktor-doktor beliau sendiri untuk mendapatkan rawatan perubatan,” kata peguam Anwar, Sivarasa Rasiah dalam kenyataan.

Mei lalu, Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul mendedahkan kesihatan Anwar yang dijadikan mangsa tahanan politik sejak 10 Februari lalu didapati makin merosot.

Berat badan Anwar menurun dengan mendadak, tekanan darahnya tidak menentu termasuk terdapat kesan darah dalam sampel najis beliau.

Johari juga berkata, Anwar berulang kali membuat permintaan untuk mendapatkan rawatan perubatan namun kerajaan bertindak sangat lambat.

“Kezaliman yang dikenakan terhadap Anwar berterusan.
“Pada 2 Jun 2015, tahap kesihatan beliau telah dinilai di Hospital Kuala Lumpur, doktor secara lisan melaporkan bahawa beliau memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut.

“Ia berkaitan beberapa isu kesihatan dialami Anwar melibatkan tekanan darah yang tidak menentu, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten selain merawat ketumbuhan 4cm di buah pinggang yang memerlukan CT scan dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi secara intensif,” jelas Sivarasa lagi.

Amnesty International pada 17 Februari lalu membuat ketetapan bahawa Anwar yang dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun sejak 10 Febuari lalu merupakan seorang tahanan politik.

Mereka turut menyifatkan keputusan mahkamah tersebut adalah “penghakiman yang amat buruk, dan hanya merupakan satu lembaran terbaru dalam usaha pihak kerajaan Malaysia untuk mendiamkan pengkritik kerajaan.

“Datuk Seri Anwar sebenarnya telah dipenjara kerana beliau merupakan ancaman demokratik dan ancaman tanpa kekerasan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini kali kedua Datuk Seri Anwar dihukum sebegini oleh rejim yang sama, penahanan itu berlaku di dalam konteks tangkapan, pendakwaan, malah penahanan begitu ramai pimpinan Pembangkang, wartawan dan aktivis di bawah Akta Hasutan dan undang-undang kuku besi,” tegas Sivarasa dalam kenyataan itu lagi yang turut ditandatangani Jared Genser, peguam dan Pengasas Freedom Now, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan pembebasan tahanan politik seluruh dunia.

No comments: