AKIBAT PEMIKIRAN PECAH DAN PERINTAH DALAM PAS, TIDAK DAPAT DIELAK LAGI TERTUBUHNYA SATU LAGI PARTI ISLAM - ASPAN ALIAS

Muktamar PAS yang berlangsung di Kuala Selangor sebelum ini merupakan kesinambungan kepada sistem pecah dan perintah peninggalan British. Sistem ini diteruskan Umno dan pentadbiran negara dan dilihat sangat berjaya. Sistem ini mula diaktifkan dalam politik terutamanya PAS melalui pembentukan Majlis Syura. Klimaks kepada pecah dan perintah ini membentuk blok pemikiran ulama dan bukan ulama.

Pelbagai gelaran kepada bukan ulama seperti “anwarinas”, “erdogan” dan “jebon” diketengahkan dalam membentuk blok pemikiran sebagai asas kepada pecah dan perintah.
Penganalisis politik banyak mengatakan kumpulan ini diketuai Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu. Sejauh manakah kebenarannya belum dapat dipastikan lagi.
Pecah dan perintah ini menunjukkan kejayaannya secara 100% apabila wujudnya kumpulan G18 daripada mereka yang kalah dalam pemilihan.

Pelbagai serangan dan fitnah yang dihadapi mereka sebelum, semasa dan selepas muktamar menyemaikan benih-benih kebencian terhadap sistem parti yang dikatakan undur ke belakang.

Beberapa persoalan dihasilkan seperti sejauh manakah G18 akan menongkah arus dan melawan daya sedia ada.

Penglibatan NGO pula masih samar-samar walaupun PasMa dan Ikram menyatakan hala tuju masing-masing.

Pandangan lain juga ada menyebut G18 perlu lagi diperluaskan kepada PKR bagi mengelakkan pecah dan perintah menguasai PKR seterusnya memberi imej yang buruk kepada Pakatan Rakyat.
G18 dan pembentukan parti baru sudah sinonim dengan keadaan semasa. Persoalannya adalah siapa yang akan mengetuai parti baru ini.

Nama Husam disebut sebagai ketua akan-rakan dalam G18 walaupun beliau mendiamkan diri dalam dunia politik bermula April sehinggalah sekarang.

Ketidakhadiran beliau semasa muktamar dan sidang DUN menimbulkan pelbagai persoalan terutama mengenai kesihatan beliau.

Sebenarnya, kelayakan Husam memimpin Gerakan Baru dengan nama parti atau sebaliknya memang tidak boleh dipertikaikan lagi sebagaimana pengakuan yang dibuat Tuan Guru Nik Aziz dan disebut kembali Ust. Nik Omar iaitu Husam untuk Malaysia.

Namun begitu, tahap kecintaan Husam terhadap PAS amatlah tinggi. Beliau tidak pernah bekerja dengan mana-mana kerajaan mahupun syarikat perniagaan kecuali dengan PAS sahaja.

Hal ini berbeza dengan ahli G18 yang lain. Marilah kita sama-sama saksikan sejauh manakah pecah dan perintah dapat menguasai PAS seterusnya PR, pendirian Husam yang mendapat ijazah untuk Malaysia TGNA, penubuhan parti baharu melalui G18 dan momentum rakyat dalam melawan Barisan Nasional.

Akhir sekali, generasi politik baru tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang perlu diaktifkan secepat mungkin.
Keterlibatan anak muda yang progresif perlu ditonjolkan sebagai ancaman baharu kepada BN.

Gaya hidup yang mewah dan berada di kayangan perlu dilupakan seketika dan menumpukan kepada momentum rakyat supaya PRU14 memberi kemenangan kepada PKR, DAP, G18 atau PAS. – 30 Jun, 2015.

No comments: