Undi calon pro PR atau muktamar hebat terakhir


Undi calon pro PR atau muktamar hebat terakhir

Undi calon pro PR atau muktamar hebat terakhir

Ungkapan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat agar perwakilan Dewan Pemuda ke Mukatamar Pemuda kali ke-56 ‘menggunakan akal’ memilih calon terbaik adalah suatu bentuk muhasabah kepada perwakilan yang hadir.

Pemilihan calon yang pro Pakatan Rakyat (PR) amat penting bagi menentukan kestabilan parti dalam dua tahun akan datang. Tanpa calon yang benar-benar mantap ideologi dan pemikirannya maka nasib PAS akan terumbang ambing.

Sekiranya calon yang tidak mementingkan rasional dipilih maka mereka akan melakukan provokasi ke atas komponen PR terutama DAP. Provokasi yang melampaui batas tidak dapat dihitung akibat buruknya. Juga tidak dapat dielak salah satu parti akan meninggalkan gabungan PR.

Sekiranya hal itu berlaku, maka sejarah pilihan raya umum (PRU) 2004 akan berulang kembali apabila Barisan Alternatif ketika itu hanya dianggotai PKR dan PAS sahaja. Meski pun parti pembangkang tidak bertanding sesama sendiri dan mengadakan rundingan sulit agar parti masing-masing ditetapkan bertanding di kawasan tertentu tetapi rakyat tidak mampu melihat satu bentuk kerajaan baharu selepas PRU ke 11.

Kalah teruk

Akibatnya, mereka lebih senang untuk mencuba kerajaan Islam Hadhari pimpinan PM Abdullah Badawi untuk tempoh lima tahun seterusnya. BN menang besar, terbesar dalam sejarah. Bukan mendapat 2/3 kerusi parlimen sebaliknya menyapu bersih 7/8 daripada kerusi parlimen. Hanya kerajaan Kelantan yang bertahan daripada dibadai ‘Gelombang Biru’ Islam Hadhari.

Iktibar yang lebih buruk tentulah ketika PAS ditendang daripada BN selepas 1978. Dalam PRU 1982 misalnya, ketika bertanding sendirian, PAS hanya menang 5 kerusi parlimen. Begitu juga PRU 1986, hanya menang 1 kerusi parlimen.

Perwakilan Pemuda yang bermuktamar di Dewan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam wajib sepenuhnya sedar realiti tersebut. Mereka juga wajib memikirkan bagaimanakah mereka mampu bermuktamar di dewan yang begitu selesa. Hiasan dalaman yang indah dan penghawa dingin yang amat sejuk.

Semua itu diperolehi hanya setelah pemimpin PAS terdahulu seperti almarhum Fadzil Noor dan Nik Aziz bertahaluf siyasi bersama komponen PR yang lain. Tanpa tahaluf itu, mustahil rakyat Selangor akan memberi kepercayaan kepada PR, terutamanya PAS memimpin kerajaan negeri.

Kekal tahaluf siyasi

Tahaluf wajib dikekalkan. Sebaliknya kerjasama dengan Umno telah terbukti tidak menjanjikan apa-apa kepada PAS. Kenang kembali muktamar di Air Hitam, Johor tahun lalu. Lokasi asal adalah di Johor Baharu. Bangunan telah disewa namun pada saat akhir, kerana campur tangan politik yang didalangi ‘parti songkok tinggi’ maka lokasi muktamar ‘dihalau’ ke sebuah kawasan lapang di Air Hitam.

Sedangkan pada peringkat persekutuan Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan sedang berbincang mengenai Hudud. Najib memberi sokongan kepada PAS untuk membentang rang undang-undang Hudud.

Betapa tidak bernilainya PAS di mata Umno. Kerjasama hanya apabila perlu dan bukan dalam semua perkara. Sebaliknya di mata PR, PAS amat bernilai dan dijadikan rakan memerintah. PAS boleh menggunakan apa sahaja kemudahan kerajaan negeri dan boleh mengetengahkan dasar parti itu untuk rakyat di sesebuah negeri.

Wajar perwakilan Pemuda PAS mempertimbangkan sedalam-dalamnya faktor tersebut sebelum membuang undi. Mereka telah berada dipuncak dan mahu memanjat ke puncak yang lebih tinggi. Dengan memilih calon pro PR maka puncak paling tinggi akan tercapai.

Sebaliknya jika tersalah pilih maka mereka akan terjun semula ke lembah sempit dan berselut. Kembali berjerih payah dan dikhianati Umno. Pilihan terletak kepada kebijaksanaan berfikir bukan selintas kata hati. Selamat mengundi di muktamar.


No comments: