Putus hubungan: Pilihan di Selangor, PAS sekutu longgar PR

Putus hubungan: Pilihan di Selangor, PAS sekutu longgar PR

Putus hubungan: Pilihan di Selangor, PAS sekutu longgar PR

Putus hubungan: Pilihan di Selangor, PAS sekutu longgar PR

Meskipun para ulama PAS bersilat lidah pura-pura parti itu tidak memutuskan hubungan dengan DAP namun pengamal undang-undang dalam parti itu sendiri mengesahkan hubungan telah putus berdasarkan Perkara 7, Perlembagaan PAS yang menetapkan Muktamar adalah kuasa pemutus tertinggi.

Sebaliknya, ulama PAS yang meniru dengan pendekatan Umno melanggar undang-undang dalam mentadbir negara, menegaskan Majlis Syura Ulama adalah pembuat keputusan tertinggi. Penyelewengan fakta oleh pemimpin PAS ini menyebabkan rakyat biasa dan penyokong bukan ahli semakin menjarakkan diri.

Mereka menilai PAS tidak jauh berbeza dengan Umno kecuali memakai serban dan jubah. Hipokrasi dan membelakangkan peraturan hampir serupa. Sekiranya PAS memerintah kerajaan Pusat, sebagaimana yang dibayangkan oleh ahli strateginya Dr Zuhdi Marzuki maka tentulah banyak urusan akan dilakukan secara pintu belakang, berbeza dengan pendekatan PKR dan DAP yang lebih telus.

Globalisasi maklumat

PAS tidak boleh menyembunyikan kebenaran pada era internet dan globalisasi maklumat. Sebaiknya parti itu mengaku hubungan telah diputuskan. Apabila hubungan putus maka satu perundingan baharu perlu dibuat dengan DAP dan PKR.

DAP tidak menolak sepenuhnya PAS, harapan masih ada. Terbaharu Setiausaha Agung Lim Guan Eng pun secara berseloroh menyoal adakah PAS akan berpatah balik?

Maka rundingan baharu boleh dilakukan dengan semangat demi rakyat. Cuma, kedudukan PAS tidak lagi menjadi rakan kongsi di Selangor dan Pulau Pinang, sebaliknya adalah rakan kongsi longgar. Gabungan longgar biasa terjadi dalam kerajaan-kerajaan di Eropah.
Parti-parti politik yang menang pilihan raya tetapi tidak ada majoriti memilih beberapa parti kecil untuk bersama membentuk kerajaan.

 Bagaimanapun, apabila parti-parti kecil itu menarik balik sokongan maka kerajaan tumbang dan satu pilihan raya baharu diadakan. Rakyat tidak merungut mengundi setahun sekali kerana itu adalah tuntutan demokrasi dan demi ketelusan pemerintahan.

Demokrasi moden

Hanya di Malaysia keadaan itu dilihat aneh. Kuasa politik mahu dipegang pemimpin BN sampai malaikat maut mengambil nyawa mereka. Oleh kerana mereka tidak boleh jatuh dalam pilihan raya maka dibuat pelbagai undang-undang agar pilihan raya mengejut tidak boleh dijalankan. Tempoh yang panjang memerintah membolehkan elit menjarah dan merompak kekayaan negara untuk tujuan peribadi.

Rakyat tidak mahu lagi politik seperti ini maka PAS perlu mengorak langkah ke arah demokrasi moden sebagaimana diamalkan negara maju. Pakatan longgar akan membenarkan parti itu terus berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang. Cuma kuasa dan kuota lantikan jawatan akan berkurangan.

PKR dan DAP adalah komponen rasmi PR dan PAS adalah sekutu. Oleh yang demikian PAS mungkin dikurangkan kerusi exco di Selangor dan dikurangkan perlantikan jawatan dalam majlis perbandaran Pulau Pinang serta agensi kerajaan negeri itu.

Hal ini akan lebih baik berbanding berkeras ingin kekal pada posisi sedia ada kononnya – seperti kata Tuan Ibrahim Tuan Man – Pulau Pinang diperolehi DAP bersama PR dan PAS tidak boleh mengosongkan kerusi.

Menang bersama tidak menjadi asas lagi kerana PAS sendiri yang mahu menarik diri. Berpisah dalam politik tidak sama seperti rumah tangga, apabila bercerai maka harta akan dibahagi-bahagikan dengan alasan pencarian bersama.

Idea Zuhdi mengarut

PAS wajar menjadi parti yang matang dan bertanggungjawab. Persetankan strategi Zuhdi kononnya selepas berpisah maka PAS akan menjadi kuasa pengimbang politik di Malaysia. PAS kononnya akan menjadi kuasa ketiga dalam sistem dua parti.

Teori mengarut seperti itu tidak mungkin terlaksana dalam keadaan pemikiran rakyat yang belum maju. Silap perhitungan Kelantan juga akan tumbang dalam PRU 14. PAS dilihat rakyat Kelantan sangat berpolitik dan mengabaikan kemajuan negeri.

Dalam PRU 2013 lalu, PAS mendapat undi popular dari pengundi anak tempatan tidak sampai 50 peratus, hanya undi anak rantau yang memenangkan parti itu. Dengan kemelut politik sekarang anak rantau yang kebanyakannya bekerja di Pantai Barat dan lebih condong kepada PR tidak mungkin pulang mengundi.

Silap hari bulan mereka menukar alamat mengundi di Selangor, Perak, Pulau Pinang atau Johor untuk memastikan PR menang di kawasan yang mereka diami.

Zuhdi juga mahu PAS menumpukan isu Melayu sebagaimana yang dilakukan Umno. Dalam demografi politik Malaysia, inilah idea paling bodoh yang pernah dikemukakan kepada PAS tetapi diyakini paling hebat oleh presidennya.

Masalah ekonomi

Tumpuan Umno selama ini kepada pengundi Melayu adalah melalui gula-gula politik lantaran masalah kaum Melayu adalah kurang peluang pekerjaan; kurang dana peniaga kecil; subsidi baja dan benih; kuota rumah; kuota ruang niaga di bandar dan pelbagai lagi yang hanya boleh diberikan oleh parti yang menguasai agensi kerajaan pusat.

Tiada ada orang Melayu yang waras fikirannya akan mengadu kepada PAS apabila menghadapi masalah ekonomi seperti itu. PAS sudah melewati ruang yang sempit tersebut dan pergi kepada politik nilai sebagaimana perjuangannya bersama PR dahulu.

Politik nilai yang menolak politik rasuah BN semakin diterima oleh orang Melayu. Melayu hanya perlu sedikit masa sahaja lagi untuk yakin PR akan mewujudkan kemakmuran bersama ke atas semua bangsa.

Politik berasaskan Melayu tidak boleh berkembang dalam negara moden yang penembusan internetnya tinggi. Salah urus maka politik seperti itu bukan menguatkan negara dan membenarkan orang Melayu menjentik Cina seperti mana ramalan Zuhdi, tetapi akan menyebabkan negara huru-hara seperti di negara-negara Arab dan Afrika Utara sekarang.

PAS perlu melupakan buah fikiran Zuhdi dan kembali kepada realiti andainya ingin terus diberi sokongan dalam politik pelbagai kaum.
Langkah pertama ke arah itu adalah membuat rundingan baru dengan rakan komponen PR. Sekiranya rundingan baharu berjaya maka PR akan dilihat kukuh dan tidak berganjak dalam memperjuangkan kehendak rakyat.

Cuma PAS tidak boleh membuat perangai ekstrem melulu dan memaki sekutu apabila mempertahankan isu Hudud. Sehebat-hebat Hadi sudah dua kali persidangan parlimen, speaker Dewan Rakyat masih tidak memberi laluan Hudud dibahaskan. Adakah PAS telah ditipu hidup-hidup oleh Umno?

No comments: