Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Walaupun muktamar penuh ke 61 belum bersidang dan pertandingan jawatan utama PAS belum berlaku namun keputusan pertandingan boleh diramal.

Rata-rata rakyat Malaysia sebaik sahaja melihat kejutan yang berlaku dalam pemilihan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat merasakan pasti kejutan yang sama juga akan berlaku dalam perebutan jawatan utama parti. Puak Hadi dan Unity Government tidak dapat dihalang menguasai semua posisi penting, daripada presiden sampailah kepada AJK PAS Pusat.

PAS selepas Jun ini adalah parti yang mempunyai idea satu hala dan bersikap ego terhadap rakan-rakan Pakatan Rakyat demi menunjukkan mereka ada maruah dan ada pengaruh.

Nada marah kepada DAP amat jelas dalam Muktamar Dewan Ulama. Usul dikeluarkan untuk memutuskan hubungan sama sekali dengan DAP. Usul Dewan Ulama itu pasti akan diluluskan oleh Muktamar kerana prinsip walak ahli perwakilan terhadap para ulama.

PR berkubur

Maka PAS secara teknikalnya telah pun menghancurkan Pakatan Rakyat. PR dibentuk oleh tiga parti teras, apabila salah satu parti meninggalkan gabungan itu maka tidak wujud lagi apa yang dinamakan sebagai gabungan.

Dewan Ulama tidak perlu berselindung dan bermain hujah kononnya akan meneruskan kerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat. Kalau hierarki paling berpengaruh dalam PAS telah memutuskan hubungan dan menerima endorsement daripada Mursyidul Am Haron Din maka ustaz-ustaz di bawah tentunya akan mengeluarkan pelbagai fatwa.

Lihat sahaja PRK Permatang Pauh, tanpa fatwa dari Dewan Ulama pun ustaz berhingus di bawah berfatwa haram mengundi PKR. Selepas ini tentulah setiap Urusan Ulama di setiap kawasan akan mengeluarkan fatwa haram mengundi DAP.

Apakah gunanya terus bersama dalam PR kalau kerjasama itu untuk berfatwa mengharamkan DAP. Dari situ dapat dilihat niat tidak baik PAS yang cuba mensabotaj komponen PR yang masih tinggal. Mereka tidak mahu menarik diri kerana jika berasingan maka seribu fatwa haram pun tidak akan memberi kesan kepada PKR dan DAP. Tetapi apabila masih kekal ‘dalam perkahwinan’ apabila mereka mengharamkan ahli menyokong, berkempen atau mengundi maka kerosakannya amat mendalam kepada komponen PR.

Gantung tak bertali

Sebagai parti yang melaksanakan perintah Allah dan Rasul lebih baiklah PAS segera meninggalkan PR dan jangan membuat aniaya dan perangai hodoh mensabotaj dari dalam. Apa yang dilakukan PAS ini seperti ‘gantung tidak bertali’. Kaedah meninggalkan isteri tanpa nafkah, memburuk-burukkan isteri tetapi enggan menjatuhkan talak.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah PAS mahu meneruskan perjuangannya selepas ini tanpa kerjasama dengan PR. Kekuatan parti itu sebelum ini adalah dengan kerjasama. Apabila timbul haram-mengharam dan kafir-mengkafir maka ahli akan porak peranda.
Hanya satu cara sahaja yang bolkeh diusahakan, iaitu berunding dengan Umno dan bertahaluf siyasi dengan parti sarat penyelewengan itu. Namun Umno bukanlah bodoh. Mereka jauh lebih pintar daripada ustaz PAS.

Najib perdaya Hindraf

Kalau Umno berjaya menipu PAS untuk meluluskan Hudud di peringkat parlimen maka tidak ada masalah mereka menipu lebih jauh lagi. PAS tidak mahu belajar daripada pengalaman Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang diperdaya Najib untuk meluluskan peruntukan kepada kaum India menjelang PRU 13 lalu. Sehingga ke hari ini tiada satu pun persetujuan dalam memorandum bersama itu yang ditunaikan.

Sama seperti Hudud yang kononnya akan mendapat bantuan Umno di parlimen. Pada sesi Mac Umno memberi alasan tidak sempat untuk dibahaskan. Sesi Jun pula hampir berakhir dan usul Hudud tidak juga diterima untuk dibahaskan.

Tak keruan pasal Hudud

Tiga tahun lagi pun Hudud tidak akan dibahaskan dan perwakilan yang bertakbir dan bersorak kerana UG berjaya dalam muktamar kali ini akan berputih mata sampailah ke PRU 14. Menjelang PRU Najib akan datang ke Kelantan dan berjanji untuk membenarkan Hudud dilaksanakan jika Umno BN mengambil alih negeri itu.

Umno tidak akan menerima PAS sebagai sekutu kerana pengaruh PAS hanya kuat di Kelantan dan Terengganu sahaja. Terengganu telah ditawan dan mustahil PAS mendapatkannya semula setelah MB Mat Said diganti. Kelantan pula negeri miskin dan Umno hanya perlu gunakan bantuan banjir untuk meraih undi, tidak perlukan kerjasama dari PAS.

Percayalah, menjelang PRU 14 PAS akan termanggu-manggu. Rakan baharu tidak memberi kerusi dan PR telah mempunyai parti baharu yang menggantikan PAS.

Akar umbi bersama PR

Sekiranya melihat apa yang berlaku di Permatang Pauh, walaupun ustaz muda PAS mengeluarkan pelbagai fatwa haram mengundi PKR dan berkempen dari rumah ke rumah, Dr Wan Azizah tetap menang dengan majoriti besar. Sebahagiannya disumbangkan oleh kawasan kubu kuat PAS di DUN Permatang Pasir.

Bermakna, walaupun PAS meninggalkan PR sekali pun, ahli akar umbi dan penyokong parti itu tetap tidak akan meninggalkan PR. Hal yang sama juga dibuktikan oleh penyokong PAS di Pantai Barat. Mereka turun beramai-ramai dalam demonstrasi 1 Mei lalu walaupun ulama PAS memboikot himpunan dipimpin Mat Sabu itu.

Penyokong PAS tidak akan memberi undi kepada PAS yang telah menyeleweng perjuangannya. Apatah lagi jika jelas Hadi dan puaknya telah ditipu hidup-hidup oleh Umno.

Ustaz muda ambil alih

Dewan Ulama dan PAS keseluruhannya terlalu terikut-ikut dengan pemikiran ustaz muda yang baru pulang dari Timur Tengah walaupun mereka tidak arif tentang situasi politik negara. Mereka syok sendiri menganggap PAS parti yang besar dan disokong rakyat di mana-mana sahaja. PAS tidak memerlukan sekutu kerana rakyat amat meyakini perjuangan mereka.

Ustaz muda ini tidak sedar parti pembangkang tidak pernah menikmati status istimewa, glamour dan menjadi pujaan ramai tanpa bersusah payah melawan BN. Hanya Umno dan BN yang menikmati status sedemikian kerana mempunyai jentera kempen berkesan; sama ada jentera kerajaan mahu pun media massa arus perdana. Pembangkang adalah budak belasahan pada bila-bila masa.

Pembangkang yang bersendirian pula sangat mudah diterkam dan dikoyak rabakkan oleh jentera BN apabila masanya telah tiba. Demikian pesanan yang selalu dibawakan oleh Fadzil Noor dan Nik Aziz dalam kias ‘kambing yang dikepung serigala’ pada ceramah mereka di era Reformasi lalu. 15 tahun kemudian perwakilan PAS dengan senang hati ingin mengambil watak kambing, kononnya kambing generasi baru ini mempunyai senjata sulit berhadapan serigala BN.

No comments: