Polis Australia siasat skandal hartanah Mara, polis Malaysia buat apa?

Polis Australia siasat skandal hartanah Mara, polis Malaysia buat apa?

Polis Australia siasat skandal hartanah Mara, polis Malaysia buat apa?

Pihak berkuasa Australia melakukan beberapa serbuan di Melbourne susulan pendedahan akhbar The Age berhubung pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sana, yang didakwa dibeli menerusi satu komplot, lapor Sydney Morning Herald (SMH).

Menurut laporan itu, Polis Persekutuan Australia merampas beberapa komputer dan fail daripada kediaman Vermont South pagi ini, dan lebih banyak serbuan akan dibuat selepas ini.

Siasatan yang dinamakan “Operasi Carambola” itu bermula selepas akhbar Australia, The Age melaporkan pegawai “atasan” Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa menggunakan jutaan ringgit dana awam membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne menerusi satu penipuan hartanah.

Laporan itu mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya” membayar lebihan A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi membeli sebuah pangsapuri di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga mereka didakwa menawarkan bidaan lebih tinggi bagi memiliki bangunan Dudley International House, daripada harga A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.2), di mana lebihannya dibayar sebagai rasuah di Malaysia.

Akhbar itu turut mendakwa pemaju bangunan itu di Australia mengeluarkan invois palsu yang membutirkan kononnya perkhidmatan “jururunding dan nasihat” daripada firma Malaysia.

SMH dalam laporannya berkata ini adalah kali pertama pihak berkuasa melancarkan operasi berskala besar walaupun tuduhan serupa berkaitan pembelian hartanah oleh orang luar mendapat perhatian ahli politik di Australia.

Memetik rekod hartanah dan emel sulit, laporan itu berkata rakyat Malaysia terbabit dalam urus niaga itu meminta rasuah A$4.75 juta (RM13.8 juta) juga untuk menjamin kerajaan Malaysia akan membayar pembelian bangunan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Selasa berkata dakwaan The Age itu akan disiasat secara terperinci.

“Pihak berkuasa di sini akan menyiasat secara terperinci dakwaan tersebut, dan seandainya ada sebarang salah laku dan penyelewengan, tindakan akan diambil,” kata Najib dalam kiriman Facebook malam semalam.

Semalam, pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata Najib terbabit dalam meluluskan pembelian hartanah di Melbourne yang dibuat majlis amanah itu.

Katanya, sebarang pembelian hartanah yang dibuat Mara perlu melalui beberapa prosedur termasuk kelulusan akhir oleh Kementerian Kewangan atau Majlis Ekonomi (EC).

Najib ialah menteri kewangan dan mempengerusikan EC.

“Ia adalah sebahagian prosedur untuk perdana menteri meluluskannya. Selepas pembelian diluluskan oleh Mara, ia perlu dibawa ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dan selepas itu, ia perlu diluluskan Kementerian Kewangan atau EC,” katanya.

Menyangkal perkara itu, Najib kemudian berkata pembelian hartanah Australia itu diputuskan secara bersama, mendakwa beberapa organisasi media sengaja memutarbelitkan kenyataan Annuar.

“Keputusan berdasarkan persepakatan EC,” kata Najib di akaun Twitternya.

The Age berkata pemaju hartanah Australia itu menerima invois palsu bagi perkhidmatan yang tidak ada seperti “konsultasi dan nasihat”, daripada firma Malaysia.

Seorang pemiutang Australia, ahli perniagaan John Bond memberitahu: “Pembelian itu menipu warga Australia dan melibatkan rasuah yang serius, tetapi tiada sesiapa pun dipertanggungjawabkan,” katanya.

The Age turut berkata kumpulan warga Malaysia sama juga terlibat dalam pembelian pelbagai hartanah seperti blok pangsapuri dan pejabat di Melbourne bernilai A$80 juta.

Semalam, Annuar berkata anak syarikat Mara iaitu Mara Incorporated (Mara Inc), yang ditubuhkan pada 2008 mula proses pembelian hartanah pada awal 2012.

Mara kemudian meluluskan pembelian itu pada akhir tahun 2012, katanya.

Walaupun ia melalui proses ditetapkan, Annuar berkata tidak mengetahui mengenai harga melambung (inflated price) seperti dituduh akhbar The Age yang berpangkalan di Australia itu.

No comments: