Pilihan raya di Selangor lerai kekusutan – Dr Aziz Bari

Pilihan raya di Selangor lerai kekusutan – Dr Aziz Bari
Pilihan raya di Selangor lerai kekusutan – Dr Aziz Bari

Pilihan raya di Selangor lerai kekusutan – Dr Aziz Bari

Keretakan dalam Pakatan Rakyat (PR), terutamanya antara PAS dan DAP dengan terbaru muktamar parti Islam itu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan rakan sekutunya, mengakibatkan kerajaan negeri Selangor kini hilang majoriti dan kestabilan, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar perlembagaan itu berkata, pertembungan terbuka antara dua parti komponen PR itu menyebabkan kerajaan negeri kini tidak dapat lagi berfungsi tanpa persefahaman dan permuafakatan sesama mereka.

“Bila kamu (PAS) serang DAP macam itu, bagaimana kamu mahu kata ‘business as usual’ (kerja seperti biasa)?

“Sama ada kamu suka atau tidak, sistem kerajaan Westminster ini berasaskan keyakinan dan majoriti. Kalau tidak, bagaimana mahu mentadbir kerajaan?” soalnya.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Aziz merujuk kepada kenyataan pimpinan PAS yang menyerang DAP semasa muktamar yang berlangsung minggu lepas.

Ia disusuli kenyataan balas pemimpin DAP diketuai penasihatnya Lim Kit Siang yang mengatakan PR sudah berkubur dan hanya menunggu dikebumikan.

Berdasarkan pengamatan situasi semasa, khususnya antara PAS dan DAP, Aziz menegaskan, kestabilan dalam kerajaan negeri Selangor kini sudah hilang.

“Di Selangor, mereka gagal menunjukkan imej kestabilan. Ia tidak baik untuk kerajaan negeri,” katanya.

PR mempunyai majoriti 43 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi dan PKR 13.

Barisan Nasional pula mempunyai 12 kerusi.

Walaupun PKR memiliki jumlah kerusi yang lebih rendah, jawatan menteri besar Selangor diberikan kepada mereka atas persetujuan sesama rakan komponen dalam PR.

“Jangan terkejut jika bakal ada pilihan raya negeri. Rasanya kedudukan (Menteri Besar Selangor Mohamed) Azmin Ali pun, kita tidak tahu macam mana,” kata Aziz.

Menjelaskan mengenai jalan penyelesaian di Selangor, beliau berkata, jalan terbaik ialah dengan mengadakan pilihan raya negeri dan menyerahkan keputusan kepada rakyat.

“Untuk selesaikan masalah ini dengan segera, mungkin baik diadakan pilihan raya negeri supaya rakyat dapat membuat keputusan.

“Kemudian, bila sudah ada pilihan raya negeri, tidak perlu lagi pilihan raya umum nanti. Keadaannya sama seperti di Sarawak,” katanya.

Menurut Aziz, keputusan itu bergantung kepada budi bicara pihak Istana di mana sekiranya tiada lagi keyakinan terhadap kerajaan semasa, baginda berhak memutuskan mengadakan pilihan raya negeri.

“Istana ada hak untuk mainkan peranan mereka. Semestinya mereka mengikuti perkembangan secara dekat.
“Ini bukan hendak pro Istana, tetapi mengikut sistem, itu sepatutnya yang mereka lakukan.

“Saya tidak rasa kamu boleh salahkan Istana. Mereka juga mempunyai tugas untuk melindungi atau memastikan kerajaan negeri dalam tangan pihak yang stabil dan baik,” katanya.
Aziz juga menyentuh mengenai peranan Istana dalam kerajaan negeri semasa krisis menteri besar Selangor sebelum ini, di mana mereka meminta lebih daripada satu nama calon dikemukakan.
Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad juga bersetuju dengan pandangan Aziz, malah mengatakan baginda mempunyai hak mutlak membubarkan DUN.

“Semangat dalam perlembagaan adalah mengenai kestabilan dan ketua negeri semestinya adalah Sultan. Baginda punya hak mutlak.
“Seandainya baginda berdasarkan budi bicaranya merasakan tidak ada lagi kestabilan, maka baginda berhak memanggil pembubaran DUN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dzulkefly berkata, keretakan antara parti dalam PR jelas.
“Bahkan kini lebih parah. Saling serang menyerang. Ini suatu yang sumbang,” katanya.

Beliau menegaskan, untuk menyelamatkan keadaan, Azmin harus memulakan usaha memulihkan PR segera jika mahu memastikan ia kekal di Selangor.

“Menteri besar kena segera berperanan untuk memastikan parti komponen PR di Selangor yang beliau pimpin ini dipulihkan, daripada segi rentak kerja dan hubungan kerjasama itu.
“Itu mesti diyakinkan bukan sahaja kepada Tuanku tetapi juga kepada rakyat,” katanya.

Krisis PAS dan DAP semakin meruncing sebaik berakhir pemilihan PAS pada minggu lalu yang menyaksikan golongan progresif dalam parti itu tidak menjadi pilihan perwakilan, sebaliknya golongan konservatif dan pro ulama yang mendominasi barisan kepimpinan tertinggi parti.

Serangan terbuka juga dibuat perwakilan terhadap DAP yang dilihat lantang menentang undang-undang hudud yang dibawa parti Islam tersebut.

No comments: