Sunday, June 21, 2015

Pertembungan antara Islam dan sekular tumbangkan 3 gabungan pembangkang


Pertelingkahan PAS-DAP dilihat sebagai pertembungan antara Islam dan ideologi sekular, sama seperti perjuangan dilalui Malaysia, sebagai sebuah negara, dalam arena politik selama berdekad lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2015. 

Pertelingkahan PAS-DAP dilihat sebagai pertembungan antara Islam dan ideologi sekular, sama seperti perjuangan dilalui Malaysia, sebagai sebuah negara, dalam arena politik selama berdekad lamanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Jun, 2015.
Minggu lalu, parti dalam Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan pakatan pembangkang itu tidak lagi wujud – selepas hampir setahun melalui satu hubungan yang berantakan.

PAS boleh dikatakan memulakan segalanya apabila memutuskan ikatan dengan DAP menerusi usul yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamar tahunan parti yang menyaksikan jawatan dalam pemilihan disapu bersih golongan konservatif.

DAP bertindak balas dan mengumumkan hubungan kerjasama 7 tahun antara mereka sudah berakhir.


Keesokan harinya, PKR yang tiada pilihan lain, kemudiannya mengatakan PR “tidak lagi berfungsi secara rasmi”. Tetapi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tegas menyatakan PR tidak mati.

Ketika rakyat Malaysia memikirkan apa yang mungkin berlaku – PR dilihat sangat hampir (paling hampir dalam sejarah) mengakhiri pemerintahan Barisan Nasional (BN) – tetapi keadaan itu bagaimanapun bukan kali pertama berlaku.

Pertelingkahan PAS-DAP dilihat sebagai pertembungan antara Islam dan ideologi sekular – perjuangan sama dilalui Malaysia, sebagai sebuah negara, dalam arena politik selama berdekad lamanya.

PR ialah pembangkang peringkat persekutuan yang ke-4 terkubur sejak kemerdekaan. The Malaysian Insider melihat kepada gabungan lain sebelum PR dan sejauh mana kejayaan mereka.

Barisan Sosialis Rakyat Malaya (1958-1969)

Barisan sosialis ini merupakan gabungan pembangkang yang paling lama bertahan dalam sejarah Malaysia, iaitu 11 tahun, tetapi memberi kesan yang minimum dalam politik negara.
Ia gabungan 2 parti, terdiri daripada Partai Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM).

Ia ditubuhkan pada 1958 dan memenangi 8 kerusi menerusi pilihan raya umum 1959, hanya 2 tahun selepas Malaya memperoleh kemerdekaan daripada British.

Dalam pilihan raya 1964, jumlah kerusi yang dimenanginya turun kepada hanya 2 dan tidak lama selepas itu, ia dibubarkan selepas pilihan raya 1969 yang penuh pertelingkahan, apabila Perikatan pada masa itu hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya.

PRM bagaimanapun tidak termasuk parti yang untung besar ketika pembangkang menang besar ketika itu. Sambil DAP, Gerakan dan PAS meraih undian, PRM tidak menang walau 1 kerusi pun.
LPM dibubarkan sebagai parti pada 1969, mengakhiri barisan itu.

Gagasan Rakyat/Angkatan Perpaduan Ummah (1990-1995)

Gabungan ini mungkin yang paling banyak membawa harapan sebelum PR, kerana ia merupakan pakatan pelbagai parti, termasuk satu lagi parti Melayu-Islam.

Tidak lama selepas sekumpulan besar pemimpin Umno keluar parti dan membentuk Semangat 46 diketuai Tengku Razaleigh Hamzah, parti itu menubuhkan Gagasan Rakyat dengan PRM dan DAP untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Pada masa sama, beberapa parti majoriti orang Islam – antaranya S46, PAS, Bersama dan Hamim berpadu menubuhkan APU, satu pakatan parti Islam.

DAP menang 20 kerusi Parlimen dalam pilihan raya itu, sementara Semangat 46 menang 8 dan PAS menang 7 kerusi.

APU yang dianggotai Semangat 46 dan PAS menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan untuk membentuk kerajaan di sana. Tetapi APU menghadapi masalah bekerja bersama di Kelantan, sementara Gagasan Rakyat bergaduh mengenai siapa yang patut menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

Lim Kit Siang, yang mengetuai DAP dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar pada masa itu, diminta memberikan laluan kepada calon Melayu Bumiputera memegang jawatan ketua pembangkang.
Tetapi hubungan itu musnah apabila sensitiviti antara PAS dan DAP tidak dapat ditangani, dan Gagasan Rakyat dibubarkan sejurus sebelum pilihan raya 1995.

Barisan Alternatif (1999-2004)

Ia jelmaan PR yang sebelum ini bertahan hanya 2 tahun, selepas pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri yang disingkirkan. Penyokong dan ahli keluarga Anwar menubuhkan Keadilan, yang kemudiannya mengajak PAS dan DAP sebagai sekutu dalam PRU 1999.

Gabungan itu merugikan DAP apabila 2 pemimpin besar mereka, Lim Kit Siang dan Karpal Singh, hilang kerusi Parlimen masing-masing berikutan sensitiviti dalam kerjasama antara parti itu dengan PAS.

PAS menang besar, menawan Kelantan dan Terengganu, dan menjadi parti pembangkang terbesar dengan 27 kerusi Parlimen. Keadilan hanya berjaya mendapat 5 kerusi, sementara DAP berpuas hati dengan 10 kerusi.

Dengan 3 lagi kerusi dari Sabah, Barisan Alternatif (BA) memperoleh 45 kerusi Parlimen. Tetapi apabila pertelingkahan dalaman mula berlaku, pencapaian DAP yang merosot menyebabkan parti itu memutuskan hubungan dengan BA pada 2001.

BA bertahan pada PRU 2004, tetapi hanya berjaya memperoleh 8 kerusi dan Kamaruddin Jaafar daripada PAS dilantik sebagai ketua pembangkang.

DAP, berdiri sendiri, menang 12 kerusi, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri pada masa itu, berdepan PRU pertama sebagai presiden Umno dan turut mendapat pulangan besar.

Pakatan Rakyat (2008-2015)

PR lahir sebelum PRU 2008, sebagai antisipasi kembalinya Anwar secara aktif ke dalam arena politik. Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengetuai gabungan pembangkang, berjaya mencipta sejarah memecahkan tembok majoriti dua pertiga kerajaan Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

PR menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen, dan merampas 5 negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan negeri paling kaya, Selangor.

PR membina pencapaian yang kuat di semua negeri yang ditadbirnya – kecuali Perak yang kemudiannya diambil alih BN – terutama Selangor dan Pulau Pinang, ketika mara ke PRU 2013 dengan Anwar menjadi ketua pembangkang, kira-kira 15 tahun selepas penyingkiran dan pemenjaraannya.

Walaupun menang undi popular, kali pertama dalam sejarah Malaysia, pada 53%, PR hanya berjaya menang 89 kerusi Parlimen.
Mereka kekal di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan tetapi tanda-tanda perpecahan kelihatan ketika Hadi sebagai presiden PAS meletakkan calonnya di kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, menyebabkan pertindihan dan pertandingan 3 penjuru, terutama di beberapa kerusi DUN.

Selepas impian PR menawan kuasa persekutuan berakhir, ikatan antara ketiga-tiga parti hancur dan retak menanti belah semakin jelas.

Campur tangan PAS dalam krisis menteri besar Selangor pada 2014 memulakan siri beberapa insiden yang menamatkan PR sebagai gabungan di peringkat kebangsaan, kurang setahun selepas itu.
Cita-cita PAS melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau hudud di Kelantan, tidak disenangi DAP, yang mencetuskan perbalahan antara 2 parti itu.

PAS akhirnya mengambil keputusan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, dan parti demokratik itu kemudiannya mengumumkan PR sudah tiba di penghujungnya.

Percanggahan ideologi

Tetapi tema serupa nampaknya wujud dalam 3 gabungan terakhir yang gagal itu, yang menjadi asas percanggahan iaitu pertembungan antara ideologi sekular dan Islam.

Ini dinyatakan salah seorang ahli progresif PAS, Khalid Samad, yang tewas dalam pemilihan pada muktamar baru-baru ini.

“Nampaknya ada perubahan dalam aliran pemikiran dalam PAS. Mereka kini berfikir, bagaimana jika kita menang kuasa persekutuan dan majoriti ahli Parlimen kita bukan Melayu Islam?” katanya.

“Tetapi itu bukan aliran pemikiran yang asal (ketika menyertai PR). Ideanya ialah, jumlah ahli Parlimen Melayu Islam tidak menjadi hal, kerana majoriti dalam Parlimen tetap diwakili Melayu Islam,” katanya.
Pemerhati dan pemain utama dalam arena politik semuanya memberi isyarat akan wujudnya satu lagi gabungan menjelang PRU 2018, sambil kerajaan BN perlu gigih berusaha mengembalikan popularitinya yang merudum sejak 7 tahun lalu.

Pakatan sebegini berjaya dalam aspirasinya menjatuhkan kerajaan persekutuan sebanyak 3 kali sebelum ini – menggunakan Tengku Razaleigh dan pasukannya yang berhijrah daripada Umno, pemenjaraan Anwar dan juga kembalinya Anwar aktif di medan politik.

Tetapi, mempunyai musuh yang sama bukan merupakan faktor kejayaan gerakan itu, dan dengan berakhirnya PR, ia semakin mengukuhkan lagi fakta itu.

Apa yang diperlukan ialah satu gabungan dengan asas ideologi yang sama pada terasnya – dan matlamatnya tidak sepatutnya hanya untuk menenggelamkan BN semata-mata. – 21 Jun, 2015.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers