Thursday, June 4, 2015

Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

SUARA PAKATAN DAILY




Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

ANALISIS: Perbahasan Dewan Pemuda PAS bermula 2  Jun lalu kelihatan tidak mengambil situasi politik semasa sebagai arah tuju. Begitu banyak isu melibatkan Umno BN seperti penyelewengan 1MDB, hutang negara, pencerobohan sempadan, cukai GST dan sebagainya yang boleh dijadikan tajuk utama, Pemuda sebaliknya berkisar kepada isu taat kepada presiden, syurga, neraka dan hal-hal lain yang tiada kena mengena dengan politik sebagai perkara pokok.

Perwakilan Pemuda PAS Terengganu misalnya memilih untuk menegur bacaan al-Quran Suhaizan yang perlu diperbetulkan sebelum melaungkan slogan perjuangan.
“Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, fakih dan haraki yang diutarakan?” kata Raja Arizal.

Parti para ustaz

Perlu diingat, pada era 1980an lalu, seluruh hierarki kepimpinan parti itu adalah ulama dan ustaz yang pandai membaca al Quran tetapi malangnya satu negeri pun tidak diperintah PAS.

Ketika itu masyarakat memandang ustaz PAS tidak mampu untuk membina jalan raya, longkang, bangunan malah kata mereka, masjid pun dibina oleh BN dan kontraktor Cina. Jadi masyarakat terutamanya Melayu memandang sinis kepada ustaz PAS. Entah dari mana, muncul pula slogan mengubah akronim PAS kepada ‘Parti Angan-angan Sahaja’. Slogan itu popular di bibir pengundi Melayu menjelang pilihan raya.

Profesional mengubah tanggapan

Semuanya berubah pada 1990an apabila berlaku kemasukan golongan profesional seperti doktor, profesor, jurutera dan sebagainya ke dalam PAS selepas Umno bergolak pada 1987. Himpunan profesional itu menyebabkan masyarakat membuka mata dan kagum. Golongan koporat pula mula masuk PAS pada era Reformasi 1998.

Ketika inilah masyarakat percaya PAS boleh memerintah, boleh membina bangunan, jambatan dan seterusnya mentadbir jabatan kerajaan. PAS berubah arah hanya setelah kemasukan golongan profesional, bukannya daripada penyertaan ustaz yang mengaji di Timur Tengah dan telah mendominasi parti itu sejak penubuhannya.

Kecetekan ilmu Pemuda lebih terserlah lewat perbahasan perwakilan Pemuda PAS Perak, Mohd Syakirin Hussein yang berkata matlamat menuju Putrajaya tidak sepatutnya menjauhkan ahli PAS dari syurga

“Kita sampai ke Putrajaya tetapi bukan matlamat perjuangan ini untuk sampai ke Putrajaya sahaja. Kalau sampai ke Putrajaya terlalu singkat. Perjuangan kita untuk sampai ke syurga Allah

“Apa gunanya Putrajaya kalau Putrajaya itu jauhkan kita dari syurga Allah,” katanya.  

Tukar kepada gerakan dakwah

Hujah itu menampakkan PAS bukanlah parti politik, sebaliknya lebih kepada pertubuhan dakwah yang tidak memerlukan kuasa politik. Sekiranya mentaliti ini mewakili keseluruhan perwakilan PAS maka lebih baik PAS membuat usul tergempar agar parti itu ditukar kepada gerakan dakwah sahaja.

Tidak ada guna melabur duit menyertai pilihan raya dan bermati-matian kempen jika mempersoalkan matlamat politik. Kononnya kemenangan menjauhkan seseorang dari syurga. Kononnya menawan Putrajaya bukan matlamat dan sebagainya.

Ahli politik yang tidak ada matlamat sebaik sahaja diberi kuasa akan hilang punca. Mereka akan makan rasuah, tiada visi untuk membangunkan masyarakat dan tidak mahu mendengar kritikan rakyat.

Maka ada baiknya saranan Prof Dr Latif Ibrahim baru-baru ini agar PAS mencontohi gerakan politik di Turki, Mesir dan lain-lain yang memisahkan antara parti politik dan gerakan dahwah. Setiap gerakan perlu fokus. Tidak boleh wujud gerakan politik yang fokus menawan Putrajaya tetapi dalam masa sama berfikir kemenangan akan merosakkan parti, jemaah dan sebagainya.

Pemuda PAS adalah pemimpin generasi akan datang. Sekiranya kualiti perbahasan yang tidak melepasi tahap lulus sebagaimana ditunjukkan dua hari lalu menjadi tanda aras PAS maka parti itu tidak akan menarik minat rakyat untuk menyokongnya.

Mampukah PAS mentadbir?

PAS tidak ada tokoh seperti Rafizi Ramli, Azmin Ali, Tian Chua, Tony Pua, Liew Chin Tong dan sebagainya yang mencetuskan idea besar. Namun dalam PR mereka mahu jadi ketua dan berkeras agar semua komponen taat kepada kehendak mereka.

Rakyat tidak perlu berubah mengundi PAS sekiranya kualiti kepimpinan Pemuda setaraf Khairy Jamaluddin atau kualiti kepimpinan utama setaraf Najib dan Muhyiddin Yassin. Apakah yang PAS mahu tawarkan dengan menghasilkan kepimpinan pengekor dan bukan pemuka.

Jelas generasi Fadzil Noor dan Nik Aziz tidak akan dikecapi lagi. Apatah lagi dengan tekad PAS membuang semua profesional daripada jawatan utama. Sangat ketara selepas ini PAS akan menjadi pasti para ustaz dan lebai. Akan timbul semula pertanyaan rakyat ‘mampukah, mampukah dan mampukah?’.

Dan jawapannya: Lebih baik mengundi Umno yang telah terbukti mampu membawa kemajuan!

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers