Sunday, June 28, 2015

PAS hadapi gelombang penghijrahan keluar selepas Aidilfitri


PAS hadapi gelombang penghijrahan keluar selepas Aidilfitri

PAS hadapi gelombang penghijrahan keluar selepas Aidilfitri

Krisis dalaman PAS sengaja dibayangkan tidak serius oleh golongan ulama yang mentadbir parti itu sejak Muktamar ke 61, yang memusnahkan sama sekali kepimpinan puak profesional.

Bagaimanapun, riak-riak cemas dalam kalangan ulama PAS boleh dibaca lewat amaran yang mereka berikan terhadap pemimpin dan penyokong puak profesional. Daripada hierarki tertinggi, Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sehinggalah yang lebih bawah, Ketua Penerangan Nasrudin Tantawi dan lain-lain; semuanya memberi ingatan mana-mana pemimpin yang berjuang meninggalkan PAS akan karam.

Mereka memberi contoh parti serpihan seperti Hamim dan Berjasa yang ditubuhkan oleh pemimpin PAS terdahulu akhirnya kalah dalam pilihan raya, mengecil dan tidak berkesinabungan selepas beberapa tahun. Parti Melayu Semangat 46 juga dijadikan ikhtibar. Parti serpihan Umno itu akhirnya dibubarkan dan pengikutnya kembali semula kepada Umno selepas 1996.

PKR gemilang

idrisahmad
Ceramah pemimpin PAS di Negeri Sembilan selepas Muktamar ke 61

Bagaimanapun, puak pro ulama terlupa menjadikan PKR sebagai perbandingan. Parti yang ditubuhkan oleh isteri Anwar Ibrahim ini daripada hanya menang beberapa kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) 1999 bertukar menjadi parti pembangkang paling banyak mendapat kerusi dalam PRU 2008.

Puak profesional berpegang kepada hujah mood rakyat dan kejayaan PKR membulatkan tekad mereka membentuk parti baharu. Bagi profesional tiada guna mereka berada dalam PAS yang tidak menjanjikan peluang dan ruang untuk bergerak. Sedangkan mood rakyat menolak BN tetapi ulama PAS pula ingin bersekongkol dengan Umno. Oleh itu, mereka akan memanfaatkan mood rakyat dan seboleh-bolehnya ingin mengulangi sejarah kegemilangan PKR.

Ura-ura penubuhan parti baharu ini telah menarik minat pemimpin PAS di semua peringkat. Mereka didakwa bosan dengan kepimpinan Hadi yang tidak boleh ditegur dan terlalu mengikut telunjuk think tank parti yang tidak diketahui asas pemikiran atau rujukan.

Penolakan boleh dilihat ketika mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS Johor yang hanya dihadiri 11 ahli daripada 26 Kawasan di Johor.

Keluar parti

Mesyuarat pertama itu sepatutnya dihadiri 52 ahli iaitu Yang DiPertua dan setiausaha kawasan di samping Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfudz Mohamad. Tidak lama selepas itu, pemimpin PAS Johor bermesyuarat di Bakri, Muar dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin puak profesional. Dalam mesyuarat itu mereka mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah parti baharu.

Di Kedah, dikhabarkan ketidak puasan hati ahli PAS akan menyaksikan gelombang keluar parti beramai-ramai. Lebih buruk lagi, di peringkat pusat beberapa dermawan yang selama ini memberi sumbangan kepada PAS juga didakwa telah menarik diri.

Dengan kemerosotan sebegitu teruk sokongan pemimpin peringkat kawasan dan cawangan kepada pucuk pimpinan, dijangkakan arus penghijrahan ahli PAS ke dalam parti baharu kelak sangat kencang. Mungkin lebih hebat berbanding penghijrahan ahli Umno ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 1999.

Ahli yang tidak berhijrah pula belum tentu akan memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya. Jadi asas untuk pemimpin PAS gentar memang wujud. Mereka terbayang kekalahan bertanding di kawasan-kawasan yang kurang 80 peratus pengundi Melayu.

Malah di Kelantan, misalnya Kota Bharu pun belum tentu PAS akan menang. Situasinya mungkin berulang seperti PRU 1978 apabila PAS ditentang tiga penjuru oleh Umno dan parti serpihan Berjasa.

Lebih segar

Apa pun parti baharu dilihat lebih segar kerana tidak mempunyai struktur didominasi ulama yang memiliki kuasa veto. Tidak ada Majlis Syura Ulama atau Dewan Ulama yang merupakan kuasa pemutus dasar-dasar parti.

Semua keputusan dibuat secara demokrasi dalam mensyuarat AJK Pusat. Parti baharu ini mirip kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki, yang memisahkan diri daripada parti Refah yang mirip PAS pada 2001 lalu.

Hanya setahun selepas AK ditubuhkan mereka memenangi PRU Turki pada 2002 walaupun ditentang oleh parti-parti sekular yang berpuluh tahun wujud dan pihak tentera yang menjaga perlembagaan sekular Turki.

Gelombang Erdogan akan sekali lagi melanda Malaysia selepas PKR yang menerima nasihat dari Turki telah mencapai tahap maksimum pada PRU 2013.

Dijangkakan parti baharu yang akan dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri ini akan segera dipimpin oleh kalangan ahli parlimen dan ADUN PAS yang berhijrah keluar pada gelombang pertama.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers