Nik Nazmi dan timbalannya bercanggah pendirian isu kewujudan PR


 | June 21, 2015 
 
 
Kenyataan Dr Afif Bahardin yang bercanggah dengan kenyataan Presiden PKR bukan pendirian rasmi AMK.
Nik-Nazmi-Nik-Ahmad_afif-bahardin_600


PETALING JAYA: Dua pemimpin tertinggi Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak sependapat berhubung perpecahan Pakatan Rakyat (PR) dan mengeluarkan kenyataan berbeza.

Percanggahan itu membuktikan PKR berpecah kepada dua kumpulan yang menyokong dan tidak menyokong kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Pada Sabtu, Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin membuat sidang media memaklumkan PR masih wujud dan masih berfungsi sehingga pilihan raya akan datang.

Katanya, tiga parti dalam PR tidak sepatutnya membuat kenyataan pakatan pembangkang sudah tidak wujud sebaliknya perlu berbincang kerana PR dipilih oleh rakyat.

Dia berkata, PR masih boleh diselamatkan jika pemimpin ketiga-tiga parti berbincang.

Jelasnya, rakyat yang memilih dan rakyat juga akan akan menentukan masa depan PR selepas pilihan raya.

Kenyataan EXCO Pulau Pinang itu disanggah oleh Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkata, kenyataan itu bukan pendirian AMK.

Katanya, AMK berpegang kepada keputusan Presiden PKR, bahawa PR secara rasmi sudah tidak berfungsi.

“AMK selaku sayap parti mendukung kenyataan rasmi parti menerusi Presiden dan dibincang dalam Biro Politik KEADILAN Pusat yang turut dianggotai Ketua AMK dalam isu ini,” katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

PKR terhimpit dalam krisis antara DAP-Pas dan setiap keputusan yang dibuat oleh parti itu khususnya Menteri Besar Selangor selaku Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, pendirian Azmin terhadap status dan kedudukan sebenar PR juga kelihatan berbeza dengan keputusan Biro Politik.

No comments: