Wednesday, June 3, 2015

Muktamar ke 61: Benarkah tiada agenda PAS tinggalkan PR?


Muktamar ke 61: Benarkah tiada agenda PAS tinggalkan PR?

Muktamar ke 61: Benarkah tiada agenda PAS tinggalkan PR?

Jaminan Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali bahawa parti itu tidak akan membincangkan agenda meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dalam Muktamar 4 – 6 Jun nanti tidak meyakinkan pemerhati politik, sebaliknya jaminan itu terus mencambahkan lagi teka teki.
Belum pernah ada setiausaha agung dari mana-mana pertubuhan memberikan jaminan sedemikian rupa sebelum mesyuarat agung berlangsung. Memang usul yang ditulis oleh perwakilan tidak mengandungi cadangan keluar PR namun usul mengkaji tahaluf siyasi juga boleh membawa makna serupa, iaitu meninggalkan PR.

Setiausaha agung tidak mungkin boleh mengawal isu yang akan dibahaskan oleh perwakilan. Melihat situasi muktamar di Johor tahun lepas, perwakilan bercakap hampir apa sahaja isu yang terlintas dalam fikiran tanpa ditapis.

Muktamar di Muar itu turut mengesahkan perwakilan PAS bukanlah jemaah yang berdisiplin. Ucapan Timbalan Presiden Muhammad Sabu di Dewan Pemuda dipulaukan oleh sebilangan perwakilan. Manakala dalam Muktamar penuh terdapat perwakilan yang membaca doa laknat terhadap puak Erdogan dan hanya dihentikan oleh perwakilan yang tidak berpuas hati, bukannya pengerusi majlis.

Berlaku ketegangan

Sekiranya berlaku ketegangan dalam muktamar Dewan Pemuda kali ini, misalnya, tidak dapat ditolak usul tergempar akan dibuat di Muktamar ke 61 untuk mengkaji tahaluf siyasi demi mengelakkan anasir-anasir PKR dan DAP meresap masuk dan menghuru-harakan parti. Usul tergempar seperti itu juga akan memberi kelebihan kepada presiden dan kliknya untuk memenangi sebarang jawatan dalam pemilihan .

Kegemparan bukanlah sesuatu yang asing bagi PAS. Pada 1980an, Dewan Pemuda pernah menolak ucapan dasar presiden Yusof Rawa di muktamar mengakibatkan Yusof meletak jawatan. Awal 1980an pula, ucapan dasar Yang Dipertua Agung PAS Asri Muda ditolak dan membawa kepada perletakan jawatan beliau.

Pengesahan tidak membincangkan isu meninggalkan PR sebenarnya memberi lebih banyak tanda tanya berbanding jaminan sebagaimana yang diharapkan Mustafa Ali. Apatah lagi terdapat maklumat bahawa Majlis Syura Ulama (MSU) telah bermesyuarat sebelum muktamar dan merahsiakan keputusan mesyuarat itu. Biasanya perkhabaran gembira segera diberitahu kepada ahli bukannya diselindungkan.

Perkukuh perlembagaan parti

PAS sebenarnya telah menyongsang arus pada era pentadbiran Hadi Awang dan Mustafa Ali. Daripada Mustafa memberi jaminan tidak membincangkan isu keluar PR, lebih baik beliau memberi perkhabaran gembira akan ada perbahasan untuk meneguhkan perlaksanaan perlembagaan parti.

PAS dewasa ini ditadbir mengikut fikiran ‘puak-puak tertentu’ mentafsir perlembagaan. Misalnya, perlembagaan parti itu tidak membenarkan MSU campur tangan dalam hal-hal siasah. Contohnya, tidak wajar MSU menyokong atau tidak strategi politik tidak menerima Presiden PKR Dr Wan Azizah menjadi MB Selangor.

MSU diasaskan secara falsafahnya meniru institusi ‘kuasa pemutus mutlak’ yang dibentuk di Iran ketika era Imam Khomeini. Institusi MSU di Iran hanya berkuasa mencegah kerajaan agar tidak menyeleweng daripada hukum hakam Islam, bukannya strategi politik atau memperkukuh kuasa presiden.

MSU PAS sebaliknya memberi komen dalam hal-hal yang tidak ada kaitan dengan tugasnya. Mujur ustaz Hassan Shukri yang banyak terlibat mendraf perlembagaan PAS telah meninggal dunia. Sekiranya Hasan hidup maka mungkin almarhum juga akan menyertai kem Ahmad Awang melihat kerosakan yang dibawa oleh kem Hadi.
Sesungguhnya PAS tidak boleh masuk muktamar dengan agenda peribadi dan memperalatkan perwakilan untuk menyokong dan walak membuta tuli kepada satu puak tanpa mengambil kira situasi politik semasa.

PAS mesti keluar dari muktamar 4 – 6 Jun ini dengan menambah kekuatan dan mendapatkan semula keyakinan semua kaum terhadap parti itu. Bukannya memilih menjadi parti terpencil. Sekiranya pilihan kedua yang diambil, dicadangkan perwakilan membawa usul tergempar menukar PAS menjadi badan dakwah seperti pergerakan Tabligh.

Ahli PAS tak perlu pening kepala untuk berkempen. Hanya yang mereka harapkan reda Allah dan meneruskan kehidupan secara yang amat sederhana, seperti biasa.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers