Saturday, June 20, 2015

Masihkah Ada Badi Untuk Parti Islam Baru?

Shahbudin Hussein.


Kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan Pas baru-baru ini barangkali sudah "tawar hati" dan "putus kasih" terhadap parti itu. Berjuang dan bersama-sama mengabdikan diri atas nama kecintaan terhadap Islam melalui Pas tetapi akhirnya "cai" telah memisahkan mereka dengan kelompok agama dalam parti tersebut.

Buat pertama kali sejak kumpulan profesional bertapak kukuh dalam Pas yang menjadikan sokongan diterima parti itu makin melebar bukan saja di kalangan masyarakat Melayu tetapi juga bukan Islam, kumpulan itu "dibersihkan"  dan seolah-olah tidak diperlukan lagi.

Pas hari ini menjadi seratus peratus dikuasai golongan yang dikenali sebagai kumpulan ulama dan mereka yang pro ulama. Kumpulan profesional semuanya kecundang dan tidak ubah mangsa pembersihan etnik secara total. Lebih buruk kumpulan profesional dan progresif Islam ini juga digelar "jebon" yang menggambarkan kebencian terhadap golongan itu.

Walaupun masih berteka-teki dan belum membuat keputusan rasmi, kelompok profesional ini secara umumnya boleh memilih sama ada menubuhkan sebuah parti Melayu/Islam yang baru atau menyertai parti tajaan PasMa yang sudah diumumkan penubuhannya sebelum ini.

Tiada gunanya lagi mereka terus kekal dalam Pas kerana bukan saja perbezaan lebih berpanjangan, malah akan membuatkan terus "sakit hati"  dengan kepimpinan barunya yang dilihat semakin tidak tentu hala tujunya antara keinginan mahu menumbangkan BN atau menghulurkan "tongkat"  kepada UMNO yang semakin lemas.

PasMa yang sebelum ini diura-urakan akan bertukar menjadi parti politik bagaimanapun dikhabarkan akan kekal sebagai sebuah NGO yang bertujuan memberi sokongan luaran kepada  PR agar terus kekal sebagai pencabar unggul untuk menyaingi dan menumbangkan BN.

Begitu pun, sementara parti baru itu masih dalam penantian dan kumpulan profesional juga belum menentukan hala tuju masa depan mereka secara rasmi, persoalan yang paling banyak berlegar sebagai tanda tanya ialah bolehkah parti itu bertahan lama?

Ramai juga yang optimis parti baru itu nanti akan menerima nasib seperti Berjasa dan Hamim yang hanya tinggal nama dan rujukan sejarah saja akhirnya.

Rata-rata bagaikan percaya bahawa Pas mempunyai badi tersendiri yang membuatkan sesiapa saja bekas pemimpinnya yang keluar daripada parti itu tidak akan dapat bertahan lama jika menubuhkan parti baru mirip sepertinya.

Selalunya Berjasa dan Hamimlah dijadikan contoh serta rujukannya.

Ada yang berkata kononnya ia adalah disebabkan nama Islam yang ada padanya, sementara yang lebih ekstrem pula menganggap hanya Pas parti yang diredhai Tuhan untuk meneruskan kelangsungan perjuangan Islam di negara ini.

Dahulu pun, parti serpihan daripada UMNO juga dianggap tidak mampu bertahan lama kerana kononnya perjuangan keramat untuk agama, bangsa dan negara yang dibawa oleh UMNO tidak mampu diambil alih oleh mana-mana parti selainnya.

Parti Semangat 46 kerap dijadikan rujukan bagaimana tidak mampunya parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpinnya daripada bertahan lama.

Tidak kurang juga yang berkata, sesebuah parti mesti mempunyai ideologi untuk diperjuangkan, lantaran itu dalam konteks masyarakat Melayu dan Islam di negara ini, keperluannya sudah pun dipenuhi dengan  adanya UMNO dan Pas.

Tetapi kemunculan PKR yang sebahagiannya adalah serpihan UMNO, bahkan tanpa idelogi selain pada awalnya hanya untuk memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim dan kemudian melebar kepada memperjuangkan isu-isu semasa dan ketidakadilan yang merata dalam masyarakat, namun kini mampu bertahan dan menguasai Selangor membuktikan tiada badi dalam menentukan nyawa sesebuah parti itu.

Selagi ia mempejuangkan isu-isu yang dekat dan menjadi keperluan rakyat, ruang dan peluang untuk terus bertapak sentiasa terbuka.

Kemampuan PKR terus bertahan dan mendakap kuasa membuktikan badi itu sebenarnya tidak ada atau kalau ada, ia sebenarnya sudah terhapus. Jika dalam UMNO, badi itu sudah terhapus, tentulah tidak mustahil ia juga tiada lagi untuk melindungi Pas.

Apatah lagi dengan kelimpinan baru Pas daripada kumpulan ulama sepenuhnya sekarang, keupayaan mereka memperjuangkan isu-isu rakyat yang melibatkan pembongkaran rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, alam sekitar, perundangan dan sebagainya pasti lebih terbatas.

Di sinilah parti baru yang bercirikan Islam moden, progresif dan lebih menyentuh hati nurani rakyat, boleh mengambil tempat dan memainkan peranannya. (SH 19/06/2015)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers