MALAS FIKIR SEBAB ITU NAJIB DAN HADI MENANG

Najib, Hadi akan terus memimpin kerana Melayu malas berfikir

Datuk Zaid Ibrahim berkata kaum Melayu mudah terpedaya dengan imej yang dipaparkan pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Jun, 2015.Datuk Zaid Ibrahim berkata kaum Melayu mudah terpedaya dengan imej yang dipaparkan pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Jun, 2015.
Orang Melayu akan terus mengundi pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mereka malas dan tidak suka berfikir, kata bekas menteri Umno, hari ini.

Dalam satu posting di blognya, Datuk Zaid Ibrahim berkata di bawah pimpinan Najib dan Hadi, Malaysia akan mempunyai "imej yang baik, pandai putar, tetapi kurang kukuh".

"Kaum Melayu menentukan siapa pemimpin Malaysia dan menurut (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, orang Melayu malas. Saya bersetuju dengan beliau. Melayu tidak suka untuk berfikir, itulah sebab wujudnya pemimpin sedia ada seperti Najib dan Hadi Awang yang menarik minat mereka," katanya.


Zaid berkata, Najib yang juga perdana menteri, sangat memahaminya dan sebab inilah mengapa beliau tidak peduli untuk memberikan penjelasan sebenar mengenai isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Beliau hanya perlu memberitahu orang Melayu jika anda tidak suka cara saya, anda boleh pergi. Melayu gemarkan cara begitu dan sebab itulah mereka bertahan dengannya," kata bekas menteri undang-undang itu.
Najib yang dilanda masalah menghadapi kritikan paling buruk sepanjang kariernya, diketuai penyokong beliau yang kini menjadi pengkritiknya, Dr Mahathir menggesa beliau meletakkan jawatan berhubung skandal 1MDB itu, kes pembunuhan Altantuya Sharibuu dan pelbagai isu lain.

Bagaimanapun, perdana menteri enggan meletak jawatan, mendakwa beliau masih mendapat sokongan rakyat dan ahli-ahli Umno.

Hadi, yang cuba mengekalkan jawatannya sebagai presiden PAS dalam muktamar partinya minggu ini, juga akan menang besar kerana beliaulah menyebabkan pelaksanaan hudud dan berterusan menyerang DAP, ramal Zaid.

"Undang-undang dan perniagaan Islam mempunyai masa depan cerah di Malaysia. Perniagaan Islam, seperti industri halal, pengumpulan zakat dan pelaburan wakaf, akan dikorporatkan lagi. Membuat untung, bukan kerohanian akan menjadi keutamaan kepada Jakim dan majlis agama negeri lain. Membuat keuntungan besar merupakan suatu yang Islamik.

"Kemenangannya (Hadi) bermakna hudud akhirnya dapat dilaksanakan di negara ini," katanya.
Mempersendakan Hadi, Zaid berkata walaupun orang Melayu berfikir tentang masalah negara, mereka hanya mahu satu penyelesaian untuk memperbetulkan semua masalah, seperti yang dijanjikan presiden PAS kepada mereka.

"Hadi menjanjikan itu kepada mereka. Penyokong beliau menubuhkan institut untuk mengkaji pandangan beliau. Beliau hanya mempunyai satu pandangan: Hudud," katanya.

"Masa depan Malaysia tidak bergantung kepada orang bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai sebarang kuasa sebenar apabila tiba hal mengubah pemimpin negara. Mereka tidak boleh berada dalam PAS atau Umno kerana kedua-dua pihak hanya mengalu-alukan ahli Melayu, tetapi mereka tidak mampu atau tidak boleh untuk berfikir. "

DAP baru-baru ini mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Hadi, menyatakan kecenderungan beliau membuat keputusan unilateral dan berterusan tidak hadir di mesyuarat majlis kepimpinan PR.
Hubungan PAS dalam PR tegang sejak tahun lalu selepas Hadi secara terbuka menentang Langkah Kajang PKR dan pakatan gabungan bagi calon menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS membawa hudud di Kelantan pada awal tahun ini mengeruhkan lagi hubungannya dengan PKR dan DAP, yang menentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu dengan alasan ia tidak termasuk dalam polisi bersama pakatan.

Melukiskan masa depan yang gelap bagi bukan Melayu di negara ini, Zaid berkata mereka hanya akan menjadi pembayar cukai, menyamakan mereka dengan golongan dhimmi yang tinggal di wilayah Islam pada zaman khalifah.

"Orang bukan Islam boleh mengamalkan agama mereka, tetapi hanya setakat yang dibenarkan oleh ulama Islam. Mereka boleh melupakan hak-hak mereka di bawah Perlembagaan.

"Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi sudah mati. Masa depan akan terus ditentukan oleh pemimpin seperti Najib dan Hadi Awang. Malaysia akan mengimport pakar yang memberitahu cerita yang bagus, memahami rakyat akan menerimanya bulat-bulat.

"Ahli perniagaan akan terus membeli aset kerajaan secara murah dan kemudian menjualnya pada keuntungan yang besar. Malaysia akan terus menjadi berita tentang perhambaan manusia dan semua keburukan yang dibawanya," katanya.

Zaid berkata, Malaysia akan mempunyai infrastruktur terbaik tetapi akan terus bergantung kepada pinjaman daripada orang-orang Arab dan juga akan berada pada kedudukan tinggi dalam ranking rasuah walaupun menganjurkan persidangan dunia mengenai akauntabiliti dalam pejabat awam.

"Jika suatu perkara tidak berhasil, lebih banyak lagi aset kerajaan boleh disuntik. Angka dan statistik boleh mengancam orang Melayu, jadi seni spin akan digunakan pada masa depan Malaysia.

"Di bawah gabungan Tok Guru Hadi Awang /Najib, semakin ramai umat Islam akan kehilangan hak-hak asasi dan kebebasan mereka, dan ramai yang akan ke penjara kerana 'tidak Islamik'.  Ada juga yang mungkin kehilangan anggota badan mereka kerana mencuri makanan dan basikal, tetapi bukan kerana mencuri 'unit' dan menempatkannya di Kepulauan Cayman. Inilah masa depan Malaysia," katanya. – 4 Jun, 2015.

No comments: