Kerajaan Negeri Selangor stabil, PKR belum buat keputusan


Kerajaan Negeri Selangor stabil, PKR belum buat keputusan

Kerajaan Negeri Selangor stabil, PKR belum buat keputusan

Pengumuman Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli malam tadi bahawa parti itu belum membuat keputusan berhubung nasib Pakatan Rakyat menimbulkan spekulasi PR akan diteruskan oleh PKR dan PAS selepas DAP mengumumkan keluar pada 16 Jun lalu.

Sumber yang rapat dengan PKR mendakwa mesyuarat yang berlangsung selama 4 jam malam tadi tidak mengambil sebarang keputusan penting kerana Timbalan Presiden Azmin Ali tidak hadir dan beliau juga tidak berada di Selangor. Azmin dilaporkan masih menyokong PAS dilibatkan dalam PR dan tidak mahu gabungan itu berpecah di Selangor.

Perpecahan di Selangor akan menyebabkan pilihan raya negeri dan yang terburuk tentulah BN akan kembali berkuasa.

Sabotaj pilihan raya

Azmin juga didakwa lebih senang bekerja dengan PAS berbanding DAP. PAS tidak menuntut banyak perkara dalam kerajaan negeri, sebaliknya DAP menuntut dan tidak berkomproni dalam beberapa perkara.

Namun kebanyakan ahli Biro Politik PKR, badan tertinggi pembuat keputusan tidak lagi berminat untuk bekerjasama rapat dengan PAS setelah golongan ekstrem mengambil alih teraju parti itu dan menimbulkan pelbagai masalah.

Pemimpin PKR masih belum lupa sabotaj PAS dalam pilihan raya umum lalu yang membenarkan calon parti itu bertanding di kerusi yang dipersetujui PKR bertanding. Surat kebenaran bertanding dikeluarkan oleh sama ada Presiden Hadi atau Setiausaha Agung Mustafa Ali.

Kebenaran bertanding menyebabkan PKR kalah di DUN Kota Damansara dan Sungai Acheh serta di beberapa DUN di Terengganu. PAS juga menjadi penghalang kemasukan PSM ke dalam PR. PAS menentang parti berideologi sosialis. Sedangkan PAS sendiri pada kemudian hari ingin berbaik-baik dengan Umno.

PKR juga mempunyai rekod kerjasama buruk bersama PAS dalam Barisan Alternatif. Selepas DAP meninggalkan gabungan pada 2001 berikutan isu Negara Islam, PAS mengisytiharkan dokumen Negara Islam pada 2003.

Langkah itu tidak dirundingi bersama PKR. Cina dan India berhenti menyokong BA dan gabungan itu kalah teruk dalam pilihan raya umum 2004. Hanya Dr Wan Azizah menang dengan 600 undi di Permatang Pauh.

Kerjasama lebih menguntungkan bersama DAP. Parti itu jelas memihak kepada kehendak rakyat berbanding PAS yang memihak kepada kehendak dua tiga orang pemimpin utama dan think tank parti.

Selangor stabil

Walau apa pun yang berlaku, Azmin tidak tergugat sebagai MB di Selangor dan DAP serta PAS masih menyokong beliau. PR tidak menandatangani dokumen bertulis sebagai satu parti, sebaliknya kerjasama longgar.

Dalam kerjasama longgar, maka mana-mana parti yang setuju untuk membentuk kerajaan negeri akan terus memerintah sehingga tamat penggal, melainkan parti di peringkat pusat memberi arahan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Barangkali itu penyebab utama Azmin meninggalkan Selangor ketika mesyuarat Biro Politik PKR berlaku. Apa sahaja keputusan Biro Politik beliau tidak terlibat dan masih kekal sebagai MB yang tidak boleh diletakkan sebarang prasangka buruk oleh DAP mahu pun PAS.

Di peringkat pusat, PKR masih berbelah bahagi meneruskan kerjasama dengan PAS namun spekulasi menyebut arus kuat untuk memisahkan diri daripada PAS dan menunggu gabungan baharu terbentuk, mungkin selepas PasMa menubuhkan parti baharu selepas Aidilfitri.

No comments: