Kedudukan atau reda Allah yang dikejar? – Mohamad Sabu

Kedudukan atau reda Allah yang dikejar? – Mohamad Sabu
Published: 8 June 2015 8:41 AM

Setiap orang atau kumpulan yang ingin mempertahankan jawatan di dalam PAS sama ada di Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat termasuk AJK PAS Pusat berhak menonjolkan kerja dan prestasi mereka. Mereka yang mempertahankan jawatan atau kedudukan cuba menonjolkan prestasi mereka sepanjang mereka memegang jawatan.

Mereka yang ingin mengambil alih atau menawarkan diri untuk berkhidmat melalui memegang jawatan akan menonjolkan idea baru dan mendedahkan kelemahan dan prestasi mereka yang sedang memegang jawatan.

Semua kerja itu perkara atau perbuatan biasa dalam sesuatu organisasi atau parti.

Melalui sekelompok pemimpin dan ahli PAS cuba mempertikaikan timbalan presiden PAS dan beberapa orang di antara mereka Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Dr Hatta, Suhaizan Kayat, Dr Mariah, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad dan beberapa lagi tidak menjunjung dan mempertahankan kepimpinan ulama.

Bagi saya tuduhan itu perkara biasa dan pihak yang kena tuduh cuba menjawab dengan pelbagai cara.


Kemudian mereka dikumpulkan dalam kumpulan (Jebon) dan anti ulama. Lebih parah lagi mereka juga dituduh lebih walak dan taat pemimpin parti lain sama ada PKR atau DAP.

Tuduhan itu dicurahkan melalui Majlis Multaqa, Nekad dan tuduhan tidak membela presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika diserang DAP.

Saya menjadi sasaran utama kerana dituduh tidak membela presiden dalam kemelut menteri besar Selangor dan hadapi DAP.
Kecam mengecam antara pimpinan PAS dan DAP hampir sudah tidak terkawal lagi. Tulisan dan pandangan pemimpin PAS supaya putus hubungan dengan DAP dan bersedia untuk "bersendirian".

Kemuncaknya, bila Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama pada 3 Jun, 2015 lalu menegaskan syarat tahaluf siyasi dengan DAP sudah rosak dan tamat.

Usul Muktamar Dewan Ulama diluluskan pada hari yang sama dan mendapat sokongan 100% daripada perwakilan supaya PAS putuskan hubungan dengan DAP.

Kira-kira 10.30 malam 4 Jun, 2015 keputusan pemilihan muktamar di ketahui di mana saya, Salahuddin, Mahfuz, Husam, Hanipa, Dr Hatta, Dr Siti Mariah dan lain-lain semuanya tewas.

Seminggu sebelum itu presiden memberi pandangan ahli PAS boleh pilih sama ada mereka yang dilihat mewakili DAP atau yang pertahan dasar.

Mereka yang dilabelkan tunduk kepada DAP dan "Anwarinas" semua tewas belaka.

Di Muktamar pada 6 Jun, 2015 usul untuk putus hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas. Usul kawasan Tumpat dan Dewan Ulama.

Bila usul itu diluluskan, ia menjadi gempar. Bagaimana kedudukan penjawat jawatan di Pulau Pinang (yang paling terkesan).
Bagaimana pula kedudukan PAS dan anggotanya di Selangor - kerajaan negeri, exco, jawatan berkaitan yang dianggarkan lebih 5,000.

Ucapan penggulungan pada 6 Jun, 2015 saya mengambil keputusan meletak semua jawatan yang bersangkutan dengan kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP.

Sekarang saya dapat melihat menggunakan melabel, menuduh orang itu alat itu, suruhan itu ini, Anwarinas, Agen DAP hanyalah alat untuk mencapai kedudukan.

Sudah dapat kedudukan, cuba cari jalan untuk berbaik semula dengan DAP. Orang yang bersama membina Pakatan Rakyat dari awal sudah dinyahkan.

Kedudukan dan jawatan paling dikejar?
Moga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. – 8 Jun, 2015.
* Mohamad Sabu ialah bekas timbalan presiden PAS.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: