1MDB: Kementerian Kewangan jamin risiko pelaburan asing

1MDB: Kementerian Kewangan jamin risiko pelaburan asing
PJ Utara MP Tony Pua

1MDB: Kementerian Kewangan jamin risiko pelaburan asing

Tidak menghairankan International Petroleum Investment Company (Ipic) sanggup memperuntukkan AS$1 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana Kementerian Kewangan akan menjamin syarikat pelaburan dari Abu Dhabi itu jika berdepan kegagalan, kata DAP.

Setiausaha publisiti kebangsaannya, Tony Pua berkata kerajaan Malaysia sudah pun menyediakan AS$4.71 bilion (RM17.7 bilion) bagi menjamin Ipic sekiranya 1MDB gagal menunaikan tanggungjawabnya memindahkan aset yang sama nilai sebelum 30 Jun 2016.

“Penemuan ini memeranjatkan kerana ia akan meningkatkan liabiliti kontinjen Malaysia yang secara rasmi di paras RM157.5 bilion pada 31 Disember 2014, sebanyak lebih 11%. Secara rasminya, kerajaan sudah menjamin pinjaman RM5.8 bilion untuk 1MDB.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti segera menjelaskan perkembangan mengejutkan ini, jaminan besar itu dan akhirnya, satu lagi usaha menyelamat 1MDB melibatkan berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.
Pua berkata, Ipic mengumumkan jaminan AS$4.71 di Bursa Saham London pada 10 Jun bersama terma perjanjian dengan 1MDB pada 28 Mei.

“Secara dasarnya, pengumuman itu menyatakan Ipic akan memberi pendahuluan segera AS$1 bilion dan menanggung bayaran faedah untuk bon AS$3.5 bilion itu pada tahun berikutnya.

“Ipic juga akan mengambil alih bon itu jika pada 30 Jun 2016, 1MDB memindahkan aset bernilai semua di atas kepada Ipic,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, perjanjian itu menjelaskan mengapa Ipic sanggup menyediakan pendahuluan sebesar itu untuk 1MDB, termasuk jangkaan setahun atau AS$209.65 juta bayaran faedah, untuk “pemindahan aset” yang belum dijalankan dan nilainya belum dikenal pasti.

Katanya, jaminan AS$4.71 bilion itu merupakan jaminan rasmi kerajaan atas pinjaman RM5.8 bilion 1MDB; dua surat sokongan untuk menambah pinjaman berjumlah AS$3 bilion (RM11.25 bilion) pada Mei 2013 dan AS$150 juta (RM540 juta) pada Mac 2015; dan pinjaman langsung sebanyak RM950 juta kepada 1MDB .

“Bersama dengan jaminan terbaru RM17.7 bilion ini, amaun yang ditanggung kerajaan jika 1MDB gagal membayar pinjamannya akan meningkat kepada RM36.2 bilion.

“Ini mengatasi jaminan kerajaan yang diberikan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM29.2 bilion,” katanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bulan lalu berkata, Ipic akan memperuntukkan AS$1 bilion (RM3.66 bilion) kepada 1MDB bagi tujuan melangsaikan hutang berjumlah AS$975 juta (RM3.57 bilion) kepada sindiket peminjam bank antarabangsa.

Katanya, 1MDB memeterai satu perjanjian ikatan dengan Ipic dan anak syarikatnya, Aabar Investments di mana Ipic akan membuat bayaran tersebut kepada 1MDB pada atau sebelum 4 Jun 2015.
“Perjanjian itu juga akan merangkumi langkah-langkah lanjut untuk menangani secara menyeluruh pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti antara pelbagai pihak, maklumat lanjut yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Husni berkata perjanjian itu merupakan langkah besar ke arah mengurangkan beban hutang 1MDB, serta bahagian penting daripada usaha rasionalisasi seperti yang dibentangkan kepada Kabinet.

No comments: