Sunday, May 3, 2015

Samada dari darah Bugis, Minangkabau atau Jawa, kalau dah berbuat salah berhenti


Najib telah bercakap tentang darah keturunannya bagi memberitahu semua yang beliau tidak akan mudah menyerah kalah apabila didesak untuk meletakan jawatan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammed. Beliau berkata beliau berdarah Bugis dan tidak sekali-kali menyerah kalah. Pantang anak Bugis menyerah kalah, katanya.

Beliau tidak pula memberitahu kita samada orang Bugis itu tetap akan mempertahankan kuasa jika telah melakukan kesalahan moral dan politik terhadap negaranya. Semasa dahulu kita tidak ada kerajaan demokrasi. Oleh yang demikian bagaimana Najib mengukur sifat orang Bugis itu tidak akan menyerah kalah.

Kita bukannya hidup di zaman silam yang peperangan itu adalah peperangan fisikal dan kekuatan Bugis itu mungkin menunjukan yang Bugis tidak mudah mengalah. Tetapi sekarang ini Perdana Menteri yang berdarah Bugis ini seolah-olah menyatakan kepada kita yang Bugis itu tidak mengira samada dia boleh memimpin atau tidak kuasa mesti dikekalkan. Yang penting bagi mereka ialah kuasa semata-mata.

Bagaimana pula dengan ramainya orang yang berdarah Bugis meminta beliau berundur sekarang ini? Saya rasa orang berketurunan Bugis juga ramai yang bersama meminta Najib berundur dan menghormati semangat demokrasi yang kita amalkan. Demokrasi bukan hanya dengan memenangi undi dalam pilihanraya. Demokrasi itu mesti membawa bersama semangat dan moralnya. Malahan meminta Najib berhenti oleh pemimpin UMNO itu merupakan tindakan demokrasi yang cuba untuk mengelak parti yang dipimpinnya terjunam dalam pilihanraya yang akan dating.

Saya bercakap dengan ramai sahabat dan rakan yang berdarah Bugis juga. Tetapi mereka terlupa yang mereka berdarah Bugis dan mahu Najib turun dari kuasa. Mereka mendahulukan keselamatan Negara dari darah Bugisnya. Tidak perlulah Najib mengecikan perjuangannya. Setelah memainkan isu bangsa sekarang nampaknya Najib telah memilih ruang lingkup perjuangannya yang lebih sempit lagi dengan menggunakan isu ‘clan’ yang ada dikalangan rumpun Melayu itu sendiri.

Bagaimana dengan yang berdarah Jawa? Bagaimana pula dengan mereka yang asalnya dari darah Minangkabau dan Mendailing. Bagaimana dengan suku Batak dan yang lain yang ada dalam rumpun Melayu itu? Mereka juga merupakan orang yang tidak mudah menyerah kalah. Dr Mahathir mempunyai darah India dan terbukti beliau juga tidak mudah mengalah. Dr Mahathir yang mempunyai darah India dalam dirinya telah berjuang tanpa mengaku kalah. Malahan ramai pemimpin-pemimpin berkalibar diperangi beliau dan semuanya telah kalah. Malahan Dr Mahthir masih lagi berperang kali ini dengan Najib yang berketurunan Bugis ini.

Kita sekarang bercakap tentang negara dan rakyat merasakan Najib sepatutnya berundur kerana terlalu banyak isu peribadi terhadap beliau yang beliau tidak berkemampuan untuk menjawab. Beliau bolehlah mengaku yang beliau sebagai hulubalang kaum Bugis tetapi beliau sudah diminta untuk berhenti oleh banyak pihak. Yang suruh berhenti tidak pun sedar yang Najib itu berketurunan Bugis. Samada beliau ini dari keturunan Bugis atau India beliau perlu berhenti dan melepaskan tanggungjawab yang beliau gagal melaksanakannya.

Elok diberitahu Najib yang semua orang susah untuk mengalah. Baik ia datang dari suku apa sekalipun. Yang melakukan kebathilan akan berjuang dan tidak mengaku kalah dan yang memperjuangkan untuk kebaikan pun tidak mudah mengalah.

Yang boleh mengalah kalah ialah orang yang sedar tentang kesalahan yang mereka lakukan dan sanggup berhenti dan bersara semata-mata untuk kebaikan negara. Kumpulan ini adalah kumpulan yang baik. Kalau Najib benar-benar memperjuangkan kebaikan beliau patut bersara kerana beliau sendiri tahu yang beliau telah melakukan perkara yang tidak baik untuk negara. Hanya kerana ketamakan dan keegoan beliau sahaja yang membuatkan beliau tidak mahu berhenti.

Bukankah perletakan jawatan beliau itu boleh memperbaiki keadaan? Bukankah Najib sering berkata yang beliau berjuang hanya untuk kebaikan? Berjuang untuk rakyat ini bukan semestinya dengan mengekalkan kuasa, sebaliknya dengan melepaskan jawatan dan kuasa juga merupakan perjuangan yang baik untuk rakyat jika perletakan jawatan itu akan memberikan hikmah untuk negara dan rakyat.

Perjuangan yang sebenar-benarnya ialah memerangi nafsu diri sendiri. Itu merupakan perjuangan dari lahirnya kita sampailah keakhir kalam kita. Itu merupakan perjuangan yang benar-benar perjuangan. Tetapi kalau kita berkeras berjuang untuk menyambung dan memanjangkan kebathilan itu adalah perjuangan yang salah terutamanya kepada rakyat yang ramai ini.

Rakyat tidak kira mereka Bugis atau Minangkabau dan Jawa, sedang memerhatikan lagak laku pemimpin dari keturunan Bugis ini. Saya yakin orang Bugis sendiri ramai yang mahu Najib meletakan jawatan agar semua rakyat yang berketurunan Bugis, Minangkabau, Jawa serta yang lain seperti Kadazan, Murut dan Iban mahu perubahan.

Kalau Najib lebih mendengar panggilan yang bathil maka yang mempejuangkan kebenaran pun tidak mudah mengalah. Kami juga tidak  mudah mengalah dengan permainan mereka yang dipandu oleh nafsu tamak haloba kerana melawan nafsu dan ketamakan itu adalah wajib bagi mereka yang mempunyai agama.

Apa yang nak dibanggakan kepahlawanan zaman silam kaum Bugis kerana mereka juga sedang berada dalam arena politik dan bukannya peperangan fisikal dengan tobak dan pedang lagi. Dalam politik ini peperangan ialah peperangan mental dan bukannya peperangan menggunakan tombak seperti yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan Bugis atau jawa dan Minangkabau.

Jika kita bermain kuasa dengan otot itulah yang menyebabkan ada pembunuhan dan penipuan yang begitu ketara pada hari ini. Tunjukan keunggulan kaum Bugis itu dengan mengaku salah dan bersara sahaja dari politik dan tentunya ia memberikan persepsi baik terhadap orang Bugis itu.

Saya mempunyai ramai sahabat dari kaum Bugis dan semuanya adalah orang baik-baik belaka. Sikap dan sifat Najib ini tidak melambangkan sikap dan nilai kemanusiaan orang Bugis itu sendiri. Kenapa berlindung disebalik sukunya sekarang ini. Sudah ‘desperate’ sangatkah?
 


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers