Hadi buat u-turn; UG tali hayat Najib? – Abu Abdullah

Hadi buat u-turn; UG tali hayat Najib? – Abu Abdullah

Media Singapura di dalam satu wawancara dengan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melapurkan gesaan memeranjatkan beliau: untuk dihidupkan kembali gagasan Kerajaan Perpaduan (Unity Government - UG).

Lapuran yang bertarikh 1 Mei itu antara lain melapurkan Presiden PAS itu berkata masalah yang melanda sekarang ini adalah kerana kelemahan Umno. Ianya bukan sebab Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak mahupun Tun Abdullah Ahmad Badawi menurut lapuran Today Online.

Gagasan UG yang mula diperkatakan Hadi pada 2008 mendapat reaksi negatif ketika itu sehingga mengundang kemarahan Mursyidul Am PAS, almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz. Ianya menjadi polemik hingga menimbulkan masalah dalaman yang hingga kini masih memberi kesan kepada PAS.


Namun setelah kematian Nik Aziz, usaha mendekati Umno semakin jelas dengan isu pindaan Rang Undang-Undang Syariah menjadi “jambatan”.

Apapun, kenyataan Hadi di Singapura ini amat mengejutkan.
Beberapa tahun lampau beliau menyatakan idea UG hanya terpakai di waktu Abdullah. Bahkan beliau pernah menyatakan Najib terlalu banyak skandal untuk UG dibincangkan bersama Najib.

Di musim “U-turn”, sekali lagi PAS melalui kenyataan Hadi ini membuat U-turn (setelah U-turn yang dibuat Pemuda PAS Penang beberapa hari lalu dalam isu sokongan calun di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh).

Gesaan UG Hadi ini juga memberi isyarat seoalah-olah beliau memberi sokongan kepada Najib yang semakin hebat diserang Dr Mahathir. Umum mengetahui, usaha membina jambatan UMNO-PAS dibuat kem Najib, tidak dengan kem Tan Sri Mahyuddin Yassin yang dilihat bersama Dr Mahathir.

Beberapa soalan timbul dari gesaan Hadi di Singapura ini.
Kenapa Hadi membuat “U-turn” dalam menghidupkan kembali gagasan UG, tidak sampai 6 bulan kematian Tok Guru Nik Aziz - penentang kuat gagasan UG?

Apakah PAS, melalui Hadi terikat dengan “hayat" Najib menerajui Umno?

Dan yang lebih besar, apakah ada pakatan “sulit” antara kem Najib dan Hadi dalam menghadapi serangan Dr Mahathir?

Kelihatannya, Hadi memberi talian hayat kepada Najib dengan hidupnya kembali gagasan UG. – 3 Mei, 2015.


No comments: