Era Hadi, PAS tiada peraturan, langgar kerjasama politik

Era Hadi, PAS tiada peraturan, langgar kerjasama politik

Era Hadi, PAS tiada peraturan, langgar kerjasama politik

PAS merupakan parti yang canggih pada era presiden Fadzil Noor. Mendalami konsep tahaluf siyasi secara jelas dan meletakkan persekutuan politik pada tempatnya.

Terdapat perbezaan besar antara memerintah bersendirian dan secara bersekutu bersama lain-lain parti komponen. PAS di bawah kepimpinan Fadzil menghormati perasaan sekutu-sekutunya dan berpegang teguh kepada ikatan perjanjian.

Bagaimanapun, hal sebaliknya berlaku pada era Hadi Awang. PAS seolah-olah parti yang tidak memerlukan sekutu lagi. Parti yang mampu memerintah sendirian, negeri mahu pun negara.

Berkongsi kuasa

PAS seolah-olah tidak sedar realiti mereka berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang. Insiden terbaharu, pemulauan Dewan Pemuda PAS Negeri dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Permatang Pauh, Pulau Pinang walaupun sudah berakhir namun adalah bukti nyata sifat PAS yang ingin menyendiri.

PAS ingin mencontohi sepenuhnya kerajaan negara Islam Mekah dan Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu, pemerintah Islam menguasai semua. Sedangkan pemerintahan ketika itu tidak dicampuri bukan Islam. Nabi Muhammad tidak bersekutu dengan mana-mana ketua kabilah untuk membentuk kerajaan pusat.

Di Malaysia PAS berkongsi kuasa bersama PKR dan DAP. Malah di Kelantan dan Terengganu, negeri kubu kuat PAS pun masih wujud ADUN PKR. Hakikat perkongsian kuasa mewajibkan PAS berunding dan bersetuju atas dasar-dasar bersama. Bukannya berunding dan bersetuju tetapi kemudian mencabar rakan sekutu; parti mana yang lebih banyak ahli atau ADUN maka parti itu akan menguasai segala-galanya.

Perkongsian kuasa tidak salah dalam Islam namun PAS perlu akur bukan semua perkara mampu ditunaikan atau dipersetujui oleh rakan sekutu. Peristiwa di Pulau Pinang mencalar imej PAS dengan teruk sekali.

Arahan atasan

Peristiwa itu juga mengundang persoalan umum adakah keberanian Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah itu datang dari dalam dirinya sendiri atau pun atas arahan pemimpin atasan. Teori tersebut dianggap masuk akal kerana secara emosinya ahli PAS amat walak kepada pemimpin, apatah lagi peringkat kepimpinan pemuda yang taat setia atau berada dalam lingkungan pengaruh tokoh tertentu parti.

‘Memecah walak’ hanya berlaku dalam parti sekular seperti Umno. Bukan perkara luar biasa jika di dalam PRK yang mana BN tidak bertanding, ahli Umno bertanding sebagai calon Bebas dan dipecat serta merta daripada parti.

Pesuruh jaya PAS Pulau Pinang Mohammad Sabu mengumumkan akan bertindak terhadap Yusni. Namun jawatankuasa penyiasat yang dibentuk nanti haruslah mendedahkan siapakah di belakang Ketua Dewan Pemuda itu sehingga beliau bertindak nekad dan disokong pula oleh exco-exco Pemuda. Adakah terdapat ulama-ulama dalam PAS yang mendorong tindakan mereka?

Semua ini perlu dijernihkan kerana kes boikot bukanlah baharu di Pulau Pinang. Kes sama pernah berlaku di DUN Sungai Acheh dalam pilihan raya umum ke 13 lalu. PAS meletakkan calon di kawasan yang dipersetujui PKR bertanding. Walaupun presiden memberi arahan menyokong calon PKR tetapi PAS Kawasan terus berkempen sehingga kedua-dua calon kalah pilihan raya.

Pecat pengkhianat

Sekiranya wujud pemimpin atasan PAS yang menaja atau memberi arahan kepada kelompok bawahan maka pemimpin atasan itu wajib dipecat seperti Datuk Hassan Ali atau sekurang-kurangnya digantung keahlian seperti Saari Sungip.

Kegagalan PAS bertindak ke atas pemimpin atasan akan menyebabkan peristiwa sama berulang kembali. Janganlah pemimpin puak profesional sahaja digantung tetapi pemimpin ulama dimaafkan. Dari sudut pandang rakyat, kesalahan Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa misalnya hampir sama. Namun Hassan dipecat tetapi Nasharudin seolah-olah dilindungi.

Ini yang menyebabkan PAS berpenyakit dan kian kronik dengan perpecahan dalaman. Presiden dikepung oleh kumpulan elit pemikir yang mempunyai kepentingan diri. Dalam kes sebesar boikot di Permatang Pauh, Hadi hampir tidak berani bersuara meredakan keadaan. Sebaliknya timbalan beliau Mat Sabu dan AJK PAS Pusat Mujahid Yusuf tampil menyelesaikan kerumitan. Adakah Hadi layak diundi semula untuk jawatan presiden kerana kelemahan asas sedemikian?

Pada masa depan, akan muncul lebih banyak ‘warlord’ dalam kalangan ulama dan pemuda sekiranya Hadi gagal bersikap tegas. Hadi hanya bersikap tegas terhadap golongan kafir dan sekutu Pakatan tetapi amat lemah menghadapi kawan-kawannya dalam parti. Akhlak dan kepimpinan sebegitu tidak pernah disunnahkan oleh rasullullah s.a.w.

PKR munafik?

Kini, semakin meluas hujah ahli bawahan bahawa ulama PAS tidak menerima kepimpinan PKR dan DAP. Pemimpin Islam PKR dianggap munafik lewat isu Hudud manakala DAP adalah kafir yang tidak boleh dibawa bekerjasama. Sebaliknya, ahli PAS semakin senang menerima Umno yang menyokong Hudud.
Sekiranya hal ini berkembang maka pada masa depan PAS tidak perlu lagi melawan Umno. Strategi Umno untuk menguasai Kelantan berhasil dengan persepsi seumpama itu. Untuk apa rakyat mengundi PAS jika Umno adalah sekutu? Umno parti yang lebih kaya dan banyak memegang peruntukan Kerajaan Pusat. Mengikut Figh Aulawiyat Umno lebih utama untuk diundi berbanding PAS.
Mungkin ungkapan MB Kelantan Ahmad Yaakob, PAS sanggup kalah asalkan berjaya memartabatkan Hudud ada benarnya.
Namun bagi ahli PAS yang lebih waras, sama ada ulama atau profesional, hujah seperti itu tidak masuk akal. Bagaimanakah untuk melaksanakan Hudud sekiranya PAS kalah?

Hudud akan menjadi ‘undang-undang dalam kenangan’ sebagaimana di Terengganu, diluluskan pada 2002 tetapi sehingga 10 tahun kemudian rakyat masih enggan mengangkat PAS sebagai kerajaan negeri bagi melaksanakannya.

Perkara ini pernah dibincang secara meluas dan jawapannya telah pun diketahui pada era Fadzil dan Nik Aziz dahulu. Pemipin PAS ketika itu bersetuju menakluk Putrajaya perlu diutamakan sekiranya sebarang undang-undang Islam mahu ditegakkan dan PAS juga selamat sebagai pemerintah.

Selain itu, sekiranya undang-undang Islam ditegakkan, dikhuatiri PAS hanya akan dijadikan bahan mainan Umno dan sekutunya.
Namun PAS pada era Hadi berpusing 180 darjah dan berundur 20 tahun ke belakang. Hal ini memeningkan ahli, penyokong dan simpatisan parti itu yang mengharapkan PAS lebih rasional menilai situasi politik.

No comments: