Friday, April 24, 2015

Walak dan ‘gedebe’ di Permatang Pauh



Walak dan ‘gedebe’ di Permatang Pauh

Walak dan ‘gedebe’ di Permatang Pauh

Laporan dari Facebook Tulang Besi mendakwa anasir tertentu PAS melaksanakan agenda mensabotaj kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh. Terdapat dakwaan kempen dari rumah ke rumah menghasut agar pengundi tidak mengundi calon PKR.

Manakala Ketua Urusan Ulama PAS Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman pula mengeluarkan fatwa “haram mengundi calon tolak hudud” tanpa meminta persetujuan Majlis Syura Ulama PAS atau Dewan Ulama. Kempen seperti itu memperlihatkan kebimbangan AJK PAS Pusat Khalid Samad, menjadi kenyataan.

Khalid dalam kenyataan sebelum ini mendakwa jika puak pro ulama menang dalam pemilihan Jun nanti maka masa depan PAS akan kelam ditadbir oleh puak yang tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana parti.

Manakala Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengecam Khalid kononnya tidak sayangkan parti kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Boikot terbuka

Hakikatnya keadaan dalaman PAS sudah terlalu sukar untuk dipulihkan. Parti itu tenggelam di dalam kemelut ‘gedebe’. Bahasa Kelantan yang menunjukkan kesamsengan. Banyak pemimpin peringkat kawasan dan cawangan, terutama puak Unity Government (UG) dalam parti itu tidak lagi mahu bersama Pakatan Rakyat.

Mereka membentuk kumpulan sendiri dan melancarkan serangan ke atas sesiapa sahaja yang difikirkan tidak sependapat dengan mereka. Jika pada zaman Presiden Fadzil Noor puak ini secara senyap-senyap enggan turun dalam gerak kerja bersama DAP misalnya, namun pada hari ini puak tersebut melancarkan boikot terbuka terhadap mana-mana unsur yang tidak walak kepada Presiden Hadi Awang.

Kes di Permatang Pauh misalnya bermula dengan pertikaian remeh, iaitu dakwaan PKR menolak Hudud – hal yang tidak sepatutnya dicampuri oleh PAS kawasan. Sebelum ini Hudud juga ditolak oleh DAP sejak sebelum parti itu bersama Barisan Alternatif lagi. 

Namun kebijaksanaan Fadzil Noor berjaya menggabungkan barisan pejuang Islam bersama barisan sekular yang tidak menyokong hukum Islam.

Bagaimanapun, akibat budaya ekstrem yang dibenarkan Hadi bercambah dalam PAS maka suasana tidak rasional mula mendominasi parti berkenaan. Muncul gerakan yang tidak mempedulikan hierarki kepimpinan dalam parti dan mendahulukan apa sahaja yang dirasakan betul oleh PAS Kawasan atau Cawangan.

Hadi keliru

Selepas ini, PAS mungkin akan memencilkan diri dan tidak lagi mahu bekerjasama dengan bukan Islam yang enggan menyokong Hudud. Mereka lupa dalam negara berbilang kaum undi bukan Islam juga penting. Pendapat yang tidak mahu Hudud wajar diraikan sekiranya PAS mahu bergerak sebagai gerakan siasah.

Hadi ternyata keliru dalam memberi ingatan kepada ahli agar memilih pemimpin yang tahu ‘membaca peta’ dalam pemilihan Jun nanti. Maksud membaca peta ialah mahir al Quran dan hadis. Sedangkan gerakan siasah bukannya untuk melantik kadi atau imam, jawatan agama semata-mata. Gerakan siasah dalam negara berbilang kaum turut dinilai oleh bukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mempunyai hak sama rata.

Kegagalan untuk memperlihatkan diri bersesuaian dengan kehendak demokrasi ini akan menyempitkan peluang PAS meraih undi. Hadi berjanji kepada DAP dan PKR dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk membentangkan Hudud kepada sebuah AJK khas sebelum rang undang-undang itu dibawa ke parlimen. Namun selepas itu beliau secara unilateral membawa pindaan Akta Mahkamah Syariah tanpa memaklumkan sekutu-sekutunya dalam PR.

Bahasa mudah ialah Hadi tidak menepati janji. Mungkin wujud dalam kaedah fiqh yang membenarkan Hadi merahsiakan pembentangan undang-undang sebagaimana Umno sering melakukannya kerana mahu menzalimi rakyat. Namun sebagai ahli politik yang komited dengan dasar politik baharu PR, kerahsiaan dalam dasar awam adalah ibarat menggali kubur sendiri.

PR mempromosi politik telus dan menyerang Umno BN yang merahsiakan banyak perkara menggunakan OSA. Amat tidak konsisten apabila PAS mengulangi cara Umno dalam kes Hudud.
Bagaimanapun jika dinilai kecaman Tuan Ibrahim kepada Khalid Samad maka tiada harapan PAS akan mengamalkan politik terbuka. Khalid dipersalahkan kerana menegur pemimpin bawahan yang membokikot kempen di Permatang Pauh.

Peraturan pelik

Hendak mengharapkan PAS Pusat mengambil tindakan, tentulah suatu perkara yang mustahil. Tunjuk perasaan di hadapan Pejabat Agung PAS pun sehingga kini para penganjurnya enggan menghadirkan diri ke jawatankuasa penyiasat yang dilantik PAS, inikan pula tindakan terhadap PAS Permatang Pauh kerana tidak menurunkan jentera kempen.

Hadi dalam semua kemelut ini anehnya tidak mengeluarkan apa-apa arahan. Pada era Hadi, PAS ditransformasikan menjadi parti yang berbeza berbanding mana-mana gerakan politik. Dalam PAS mutakhir ini hanya arahan Hadi dan Haron Din sahaja yang terpakai. Sekiranya Hadi berkata jangan maka sesuatu itu haram dilakukan tetapi jika Hadi berdiam diri maka sesuatu itu harus hukumnya.

Permatang Pauh adalah testimoni penting. Hadi tidak melarang ahli PAS memboikot kempen maka ahli PAS menganggap usaha mereka sebagai harus. Adakah ini yang mahu dipraktikan oleh PAS selepas pemilihan Jun nanti?

PAS bermimpi untuk muncul hebat seperti Hezbollah di Lubnan namun Hezbollah tidak pula mempunyai uslub perjuangan yang enggan bekerjasama dengan puak yang tidak menerima hukum Islam.

PAS tidak akan dipedulikan oleh pengundi jika terus bersikap melampau. Mungkin PRU 14 adalah pengakhiran kepada parti itu. Sekiranya Umno tidak melakarkan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada PAS maka tidak diragukan lagi PAS akan kembali ke era 1980an.

Hanya ada beberapa kerusi Parlimen dan tidak memerintah Kelantan. Hanya kerjasama dengan Umno dalam sempadan pilihan raya saja akan memastikan PAS mengekalkan kerusi pada ketika PKR dan DAP dilakar untuk kalah teruk.

Namun adakah Umno terlalu bermurah hati bersusah payah untuk parti yang mahu menegakkan Hudud di seluruh negara?


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers