Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Kejutan yang dibuat oleh PAS Kawasan Bukit Gelugor yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memilih bekas Naib Presdien PAS Ustaz Ahmad Awang sebagai calon presiden, mengenepikan Hadi adalah isyarat yang ditunggu-tunggu oleh puak pembaharuan dalam PAS.

Mujahid merupakan AJK PAS Pusat dan berpendidikan agama sehingga doktor falsafah. Kesannya tidak sama sekiranya PAS Kawasan Shah Alam, misalnya berjaya mencalonkan Ahmad Awang. Yang Dipertua Kawasan, Khalid Samad hanyalah profesional.

Apabila pemimpin ulama mencalonkan Ahmad Awang maka isyarat mudahnya ialah tidak semua ulama PAS menyokong kepimpinan Hadi. Komen Mujahid sikap Ahmad yang tegas kerana memenuhi aspirasi rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) akan mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat pada masa depan.

Pemujaan tokoh

Hadi sejak kebelakangan ini telah menjadi simbol ‘pemujaan’ dalam kalangan ahli PAS. Tidak seperti Fadzil Noor atau Nik Aziz yang menegah ahli terlalu memuja mereka, Hadi tidak berbuat demikian. Malah PAS Selangor misalnya, negeri paling maju, melihat Hadi adalah pemimpin agung yang tiada tolok bandingnya sepanjang zaman. Walaupun dalam kalangan ulama PAS yang lebih sederhana, mereka menganggap budaya pemujaan itu sesuatu yang tidak sihat. Bagi ulama sederhana pemujaan adalah petanda berakhirnya demokrasi dalam parti.

Ahmad Awang mewakili ulama sederhana yang mendahulukan masa hadapan parti. Penyokong Ahmad pula tidak terpengaruh oleh golongan pemikir ekstrem dalam PAS yang mahu parti itu sentiasa bercakaran dengan sekutu PR.

Ulama sederhana tidak nampak kerjasama dengan Umno akan menguntungkan PAS. Tiada apa yang diberi kepada PAS secara mudah biar pun berlaku kerjasama atas isu Hudud di Kelantan. Bantuan banjir misalnya masih sukar. Rumah yang dibina oleh kerajaan persekutuan selepas empat bulan hanyalah beberapa buah. Majoriti daripada 2,000 mangsa banjir yang kehilangan rumah masih berteduh di dalam khemah.

Keadaan itu membayangkan apa yang akan dilakukan Umno pada PRU 14. Bantuan rumah dan peralatan akan diguna sebagai umpan memancing undi. Oleh kerana Umno telah menyokong Hudud di DUN maka mereka akan menggunakan alasan itu untuk mematikan niat rakyat Kelantan mengundi PAS sekali lagi. Pilihan raya akan datang bukan lagi pertimbangan atas faktor tradisi; Islam dan sekular tetapi parti Islam mana yang boleh membawa kemajuan material.

Tidak bijak

Golongan sederhana PAS menganggap perjuangan puak Hadi sebagai tidak bijak kerana berkeras mahukan Hudud biar pun kalah pilihan raya. Hujah golongan sederhana, kalau kalah dan hilang Kelantan bagaimanakah Hudud akan dilaksanakan? Dakwah juga akan dihentikan oleh Umno.

Golongan inilah yang kini bergabung di belakang Ahmad Awang. Ahmad, seorang yang berjasa besar menggagalkan rundingan Umno – PAS di Perak selepas pilihan raya 2008 lalu diharap mampu ‘mewaraskan’ semula PAS.

Ahmad juga wajar dikenali sebagai tokoh yang menyediakan asas Pakatan Rakyat. Bayangkan, sekiranya rundingan yang diaturkan oleh tokoh Dewan Ulama PAS dan disokong oleh mufti Perak ketika itu berjaya membentuk kerajaan perpaduan BN – PAS di Perak pada Mac 2008, maka tentu mustahil gabungan PR akan tertubuh selepasnya!

Tibalah masanya tokoh berjasa besar yang selama ini ‘tenggelam’ bangkit memimpin. Ahmad mempunyai idea terbaik buat PAS dan menyamai idea Fadzil apabila membenarkan profesional menjadi presiden.

Semua gerakan Islam di dunia hari ini membenarkan parti mereka dipimpin profesional. Hanya PAS yang berundur seratus tahun ke belakang dan bertegas hanya ulama layak menjadi presiden.
Semoga Ahmad Awang diberi kekuatan untuk memimpin PAS dan ahli PAS diberi Allah petunjuk dan hidayah untuk memenangkan beliau dalam Muktamar Jun depan. Amin.

No comments: