Hadi sokong fatwa hancurkan Pakatan Rakyat?


 

Hadi sokong fatwa hancurkan Pakatan Rakyat?
Hadi sokong fatwa hancurkan Pakatan Rakyat?

Hadi sokong fatwa hancurkan Pakatan Rakyat?

Presiden PAS Hadi Awang dianggap ulama paling kontroversi dalam sejarah negara. Hadi pernah dikaitkan dengan ‘Amanat Hadi’ yang dipropagandakan Umno sebagai mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut ajaran Islam sebenar.

Amanat itu menjadi beban PAS sejak ia dikeluarkan pada 1980an sehingga ke hujung 1990an. PAS dijadikan bahan ejekan Umno. Presiden Umno, Dr Mahathir pada setiap pilihan raya pasti akan menyerang PAS menggunakan isu Amanat Hadi. Bukan sedikit orang Melayu yang marah kerana ‘dikafirkan’ lewat amanat tersebut.

Kebijaksanaan Fadzil

Isu amanat hanya berjaya dicairkan pada zaman Fadzil Noor. Hasil kebijaksanaan Fadzil, PAS mula menerima penghijrahan golongan profesional ke dalam parti. PAS yang suatu ketika dianggap rakyat tidak mungkin membina jalan raya, bangunan tinggi dan sebagainya pada 1980an, mula dikagumi apabila jurutera, doktor, profesor, peguam dan sebagainya menyertai perjuangan Islam.

Puncak kepada kejayaan, pada 1998 apabila PAS bergabung bersama penyokong Anwar Ibrahim dalam arus reformasi. Anwar yang membawa legasi hebat ketika menganggotai kerajaan BN (1982 – 1998) menjadikan PAS sebagai parti tunjang perjuangan membentuk Malaysia baharu. Amanat Hadi hilang di angin lalu akibat kebencian rakyat terhadap BN dan Dr Mahathir. Hadi tidak lagi menjadi beban sebaliknya diiktiraf sebagai sebahagian ulama muktabar Melayu. Manakala Pakatan Rakyat kemudiannya menjadi harapan selepas pilihan raya umum 2008.

Namun semua itu jadi tunggang terbalik apabila Hadi Awang sekali lagi mengulangi perangai kontroversinya membelakangkan PR. Hadi dengan penasihat kurang bijak di sekelilingnya mendambakan PAS menjadi parti terbesar Melayu dan memerintah tanpa sekutu.

Perpecahan puak

Mulai tahun 2013, Hadi mengorak langkah mencetuskan pelbagai tindakan unilateral. Sehinggalah pada 2015, Hadi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan sekutu-sekutunya dalam PR dan secara sengaja membuka jalan ke arah perpecahan puak ulama dan profesional dalam PAS.

Pendirian terbaharu Hadi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang tidak menegah PAS Kawasan mengeluarkan fatwa haram mengundi calon PKR yang didakwa menolak Hudud telah merosakkan semua nilai-nilai baik yang dibina dalam PR dan Barisan Alternatif sejak 1998.

Hadi dalam komennya kepada Sinar Online selepas forum di bangunan Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, 22 April lalu membenarkan fatwa yang dibuat oleh Urusan Ulama Permatang Pauh yang melarang mengundi calon PKR .

“Memanglah hudud bagi orang Islam wajib,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan pemimpin PAS tersebut.
Komen itu menyokong pendapat ulama PAS kawasan Permatang Pauh yang dilaporkan berkata haram dan berdosa jika mengundi calon menolak Hudud.

“Betullah tidak boleh, iya,” katanya lagi kepada media berkenaan.

Pecah PR

Komen terbaharu itu tentunya akan dianggap sebagai fatwa oleh penyokong PAS. Kalau Hadi berpendapat tidak boleh menyokong PKR atau DAP yang menolak Hudud maka kerjasama dalam PR akan berakhir. Bagaimanakah ahli PAS mahu membantu rakan sekutu jika menyokong DAP atau PKR dikatakan haram?

Penyokong Hudud di DUN Kelantan adalah Umno. Maka selepas ini akan muncul pula fatwa dari ulama PAS mengundi Umno adalah halal.

Oleh itu, dengan bahasa mudah, PAS perlu dipecat dari PR kerana polisi yang menentang PR. Jika PAS tidak dikeluarkan maka fatwa itu akan terus berjalan dan para penyokong akan terus melakukan sabotaj terhadap PR.

Perwakilan PAS bertekad untuk memenangkan Hadi dalam pemilihan Jun nanti. Maka dalam hal ini, cadangan yang paling baik buat PAS ialah muktamar meluluskan usul bergabung bersama Umno atau memohon menjadi salah satu komponen BN.
PR tidak mungkin boleh dijadikan tapak berjuang buat PAS. Sebab yang halal dan haram tidak boleh bersatu, kecuali PAS bersatu dengan muslim halal yang duduk dalam Umno.

No comments: