Hadi, Haron Din lupakan GST? Rakyat akan lupakan mereka!


Oleh: Posted by Riduan Shamsudin & Amiruddin Ahmad

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah pun sempurna dilaksanakan pada 1 April. Pemimpin DAP dan PKR menyerang hebat polisi kerajaan BN ini. Namun tiada satu serangan pun dari kepimpinan tertinggi PAS.

 
PAS seolah-olah merestui GST. Hadi Awang sibuk dengan Hudud. Haron Din melebihkan Hudud sehingga terlajak berkata Pakatan Rakyat tidak lagi penting kepada PAS. Semua ulama-ulama muktabar PAS tidak mengeluarkan kecaman terhadap cukai yang memangsakan rakyat itu.

Hanya Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri dan Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja dari kelompok ulama yang cuba memecah kesunyian berkata GST haram dikutip ketika rakyat hidup menderita. Ulama PAS lain malangnya tidak mengeluarkan hujah. Hero Majlis Syura Ulama seperti Tantawi, Nik Abduh, Zaharudin dan lain-lain diam membisu. Semua ini pelik jika dibandingkan keaktifan ulama PAS ketika era Reformasi 1998 -1999 lalu.

Fatwa tentang kezaliman

Ulama PAS zaman Fadzil Noor mengeluarkan pelbagai pandapat yang sesetengahnya menghampiri fatwa menentang kezaliman kerajaan BN terhadap Anwar. Didedahkan kepada umum kaedah Islam memutuskan hukum liwat, kaedah Islam menentang kerajaan yang zalim dan sebagainya.

Pada era Hadi, Umno dilihat tidak zalim dan tidak perlu ditentang biar apa pun cukai zalim dikenakan. Walaupun tidak diisytihar secara terang-terangan tetapi tindakan Hadi menggambarkan Umno BN perlu diberi peluang kali ini kerana mereka menyokong Hudud di Kelantan.

Adakah Hudud penghalang rakyat menyatakan kebenaran? Memang ianya hukum dari Allah tetapi tidak pernah dalam sejarah Islam Hudud menjadi penghalang kepada rakyat membangkitkan dasar-dasar kerajaan yang menindas mereka.

Hudud bukan segala-galanya dalam pemerintahan. Ia hanyalah sebahagian daripada bentuk hukuman.  Faktor yang menentukan berjaya atau gagalnya pemerintahan adalah keadilan dan kebajikan. Hudud tidak menjamin sesebuah kerajaan tidak akan dijatuhkan rakyat jika bertindak zalim. Malah Nabi Muhammad s.a.w pun lebih banyak memberi amaran agar pemerintah mengasihani rakyat. PAS di bawah Hadi telah melupakan semua itu demi kerjasama Umno – PAS meluluskan Hudud.

Keutamaan berkuasa

Tindakan Hadi ini amat merbahaya kepada masa hadapan PAS. Meskipun Hadi dan ulama PAS lain mengajarkan perlu taat kepada presiden parti dalam apa keadaan sekali pun dan semua yang terjadi ada hikmah disebaliknya, tetapi ahli PAS bukanlah bodoh. Apatah lagi penyokong yang terdiri daripada kaum Cina dan India yang tiada kaitan dengan Hudud.

Apabila harga barang dan kos hidup melambung, pada bila-bila masa mereka boleh beralih daripada mengundi PAS kepada tidak mengundi dan membiarkan sahaja BN menang dalam pilihan raya sebagai tanda protes.

Hadi mengutamakan Hudud tetapi tidak melihat sokongan rakyat sebagai keutamaan untuk PAS berkuasa. Tidak ada parti politik yang mengambil pendekatan PAS kecuali parti yang mahu hancur lebur. Hadi yang berpengalaman puluhan tahun berpolitik tiba-tiba mengikut rentak Haron Din yang telah ‘terbiasa’ menyokong polisi kerajaan pada era 1980an – 1990an lalu.

Haron memang akan menyokong GST kerana terbukti dalam dua dekad ketika beliau rapat dengan Anwar ketika itu, beliau menyokong kebanyakan dasar-dasar kerajaan. Namun Hadi yang sejak 1980an menentang kerajaan BN dilihat ‘buang tabiat’ di penghujung usia apabila mengikut nasihat puak Haron dan Dr Zuhdi.

PAS atau apa sahaja parti agama tidak akan disokong oleh rakyat jika mereka memisahkan diri daripada kenyataan hidup semasa. Sekiranya Hadi mahu membawa kepada keadaan yang merugikan ini maka lebih baik puak profesional dalam PAS mencabar kepimpinan Hadi.

Gantikan Hadi

Hadi perlu diganti agar PAS kembali relevan. GST diramalkan oleh bekas Presiden Umno Dr Mahathir akan menyebabkan parti nasionalis itu kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang. Malah tidak kurang di dalam Umno yang meramalkan pemberontakan rakyat akan berlaku sebelum pilihan raya  jika keperitan hidup melampaui batas.

PAS tidak mengambil kesempatan menambah sokongan. Sebaliknya puak ulama dalam parti itu - kerana membalas budi Umno - ingin mempertahankan pula parti yang bertindak membebankan rakyat. Ulama PAS tidak dapat melihat mereka akan survive sekiranya Umno tidak memerintah kerajaan pusat.

Cogan kata  ‘PAS ganti Umno’ tiba-tiba bertukar kepada ‘PAS sokong Umno demi Islam’. Langkah berputar ke belakang ini tidak pernah berlaku dalam sejarah PAS kecuali pada awal penubuhan parti itu era 1950an.

Ketika itu, PAS adalah sayap agama Umno sebelum berpisah secara rasmi. Pada 2015, PAS di bawah Haron Din dan Hadi akan sekali lagi menjadi Biro Agama Umno. Bezanya dahulu ia dipimpin oleh Ahmad Badawi, Umno totok yang tidak jelas tahap pendidikan agamanya tetapi kali ini diketuai oleh ulama besar.

No comments: