UG kerjasama dengan Umno: Benarkah profesional PAS cair identiti?

 OLEH " JEBON

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, PAS akan cair identitinya sekiranya tersalah langkah.

"Parti Istiqlal dilihat telah meninggalkan banyak dasar-dasar Islam apabila membiarkan pelbagai dasar bercanggah dengan Islam menjadi sebahagian dasar negara Maghribi terutamanya di era kompromi dengan parti sosialis membentuk kerajaan bersama dari tahun 1992 hingga 2007," katanya dalam program perkhemahan Mukhayyam Tarbawi anjuran Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Hulu Langat yang disiarkan dalam laman sosial Facebook Dewan Ulama parti itu.

Ungkapan berkomproni dengan parti sosialis ini mungkin boleh menjelaskan kepada rakyat siapakah yang menjadi dalang di sebalik ucapan Presiden Hadi kebelakangan ini, bahawa PAS adalah parti yang lain daripada lain. PAS tidak sama dengan PKR, Umno dan DAP.

Fahaman sempit

PAS pada era bekas Presiden Fadzil Noor tidak pernah membandingkan parti itu dengan lain-lain parti. Malah PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, NGO mahu pun pertubuhan politik demi perjuangan menumbangkan BN.

Fahaman sempit muncul sejak puak Unity Government (UG) diberi jawatan tinggi dalam PAS. Mereka mengasak Hadi dan mengepung beberapa ulama utama agar tidak lagi mengikut rentak perjuangan golongan profesional PAS.

Kumpulan inilah yang mendakyah kononnya puak profesional hanya inginkan kuasa politik dan tidak mahukan Islam. Puak inilah yang menyebabkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar membuat kenyataan PAS lebih utamakan  reda Allah  daripada menawan Putrajaya.

Kalau benarlah sejak sekian lama PAS hanya utamakan perjuangan Islam, maka lebih baik PAS dibubarkan dan ahlinya masuk jemaah Tabligh. Tabligh tak peduli politik. Siapa pun memerintah tidak menjadi masalah kerana Tabligh berdakwah di seluruh dunia. Tiada sempadan politik dan geografi. Malah Israel sekali pun membenarkan karkun Tabligh wujud dan melaksanakan program mereka.

Apa faedahnya PAS terlibat dalam politik Malaysia? Tujuan berpolitik sebagaimana yang digariskan oleh Ust Fadzil Noor ialah untuk menegakkan pemerintahan Islam sekadar yang boleh dilaksanakan.

Prinsip pemerintahan juga mengikut kerjasama politik dan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya perlembagaan dan sokongan politik tidak membenarkan, maka Negara Islam ditangguh sehingga suatu masa apabila rakyat setuju melaksanakannya.

Dengan memaksa rakyat untuk menerima sistem Negara Islam tanpa kompromi, dikhuatiri kuasa yang dipegang PAS juga akan hilang. Kehilangan kuasa menyebabkan PAS tidak mampu melaksanakan lebih banyak tuntutan syariah.

Erdogan sekular

Sekiranya jemaah PAS menolak memerintah negeri atau negara tanpa Hudud maka lebih mudah mereka mengamalkan pendekatan Tabligh, menyerahkan pemerintahan kepada Umno BN.

Begitu juga hujah kelunturan identiti PAS yang disamakan Zuhdi dengan AK Parti di Turki pimpinan Erdogan kelihatan sangat melulu dan tidak berdasar. Kononnya, ada calon wanita parti AK tidak memakai tudung dan menghampiri sekular. Dapat dimengerti Zuhdi  sangat anti Anwar yang rapat dengan Erdogan dan cuba memperkecilkan pengaruh Anwar dalam PAS.

Dalam hujah Zuhdi sebelum ini juga kelihatan arus fikiran yang sama. Zuhdi berteori kononnya gerakan untuk menjatuhkan Presiden Hadi bermula pada 1998. Sebelum itu, katanya, PAS tidak ada team. Bukankah ketika Nik Aziz, Fadzil, Mustafa Ali dan lain-lain menolak kepimpinan Asri Muda dahulu mereka juga berada dalam team yang berasingan dengan penyokong Asri?

Lebih membingungkan, Zuhdi mengambil tahun 1998 sebagai permulaan gerakan menjatuhkan presiden. Bukankah ketika itu presiden PAS Fadzil Noor, bukannya Hadi? Fadzil menjadi presiden sehingga 2002.

Politik bahaya

Adalah lebih senang sekiranya Zuhdi berterus terang mendakwa golongan Anwaris mahu menjatuhkan Hadi sejak 1998. Tidak perlu berbelit-belit. Tidak perlu membezakan calon PAS lebih islamik berbanding calon parti AK di Turki.

Corak politik seperti itu amat merbahaya untuk diamalkan PAS. Parti yang telah menjana keyakinan berbilang kaum ini akan tiba-tiba ditentang oleh Cina dan India jika mengambil pendekatan keras. Zuhdi dan puaknya hanya membicarakan sekitar Melayu Islam dan tidak mengambil kira lain-lain kaum yang menghuni Malaysia.

Sikap sebegini hanya wujud dalam Umno. Namun Cina dan India lebih senang dengan Umno kerana tahu golongan pelampau adalah macai- macai, pemimpin Umno semuanya hipokrit. Mereka memeluk Cina dan India. Sama-sama menonggang arak jika menyertai pesta bersama bukan Islam.

Namun pemimpin PAS jika dibiarkan bersikap ekstrem akan menjadi pelampau yang tiada kompromi. Golongan pelampau ini mungkin akan membawa PAS ke arah rasisme sekali gus. Mereka ini amat merbahaya jika terus dibiarkan menguasai presiden.

Teman rapat Hadi ketika bergandingan bersama Fadzil dahulu mengakui Hadi sudah banyak berubah. Hadi bukan yang dahulu setelah dikuasai dan dikepung oleh puak ekstremis. Hadi pada pandangan teman rapat beliau, seorang yang senang mendengar pendapat.

Hadi tidak seperti Fadzil yang mengkaji sendiri arus dasar politik.Hadi menumpukan kepada dakwah dan ceramah. Maka terserah kepada penasihat untuk membentuk pendiriannya. Amat malang apabila pemikir sempit menguasai presiden. Hadi terikut-ikut mengeluarkan pendapat rasis yang menimbulkan kemarahan sekutu mereka dalam PR.

Namun puak penasihat berfikiran ‘tiga suku’ ini tidak pula menyediakan jalan keluar yang selamat buat PAS. Mereka gembira jika PAS bekerjasama dengan Umno. Namun akibatnya ulama PAS akan pening kepala mempertahankan pembaziran 1MDB, cincin berlian Rosmah, MRT, rasuah dan lain-lain.

Jihad langgar UG

Oleh itu, PAS sejak setahun kebelakangan ini seperti ‘demam tak kebah’ di dalam PR. Sekejap meroyan menentang PR dan apabila dicabar oleh DAP agar keluar gabungan, PAS sebaliknya meminta DAP terlebih dahulu meninggalkan PR.

Maka seruan yang paling utama kepada perwakilan yang akan menyertai muktamar pemilihan pada Jun ini ialah ‘berjihad kuburkan puak UG dan pro Umno’ dalam PAS. Perwakilan tidak perlu walak kepada mana-mana ulama sekiranya dasar mereka pro Umno dan merugikan PAS.

Walak hanya kepada perjuangan PAS yang digariskan oleh almarhum Fadzil dan Nik Aziz yang terbukti berjaya mengharumkan nama parti. Tiada faedahnya mendengar pendapat Zuhdi yang terang-terangan mahukan PAS berpecah dua seperti zaman Asri Muda sedangkan perpecahan itu didalangi oleh musuh PAS , iaitu Umno BN.

Ayuh kita kuburkan puak UG dalam Mukatamar Jun depan!

No comments: