Friday, March 6, 2015

Pukul, maki: Kepimpinan ulama PAS harus diteliti semula

Oleh: Jebon a.k.a Barua

Kejadian pukul terhadap Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini mengukuhkan lagi dakwaan keadaan PAS kini lebih teruk berbanding 1982 ketika bekas presiden parti Islam itu Tan Sri Asri Muda ditendang daripada PAS, kata pemimpin PAS.

Bahkan, ia kini setaraf, kalau tidak lebih teruk, dibandingkan dengan apa berlaku dalam MIC atau Umno yang tidak mempunyai ideologi sedangkan PAS mengaku sebagai parti berasaskan Islam, kata penganalisis, pemerhati serta aktivis PAS sendiri.

PAS yang mengaku mengamalkan konsep kepimpinan ulama kini dilihat turut terlibat dalam kejadian ganas seperti memukul dan membakar harta benda membabitkan pimpinan parti selain menggunakan perkataan kesat dan kasar terhadap satu sama lain.

"Mereka (pemimpin PAS) selalu membaca surah Al-Hujurat yang bermaksud, 'apabila datang berita dari orang fasik, selidik dulu'. Tetapi ini tidak berlaku dalam amalan mereka," kata Profesor Datuk Dr Redzuan Othman, pakar sejarah dari Universiti Malaya.

Dzulkefly yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat ketika bercakap dengan The Malaysian Insider sebelum ini berkata, pemimpin PAS selama ini menyerang Umno dengan mendakwa hati pemimpin dan pengikut parti itu tidak bersatu.

Beliau berkata, bekas presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor selalu membaca sepotong ayat Al-Quran dari surah Al-Hashr yang bermaksud: "Mereka nampak bersatu tetapi hati mereka sebenarnya berpecah".

"Ayat itu dulu digunakan Fadzil untuk Umno, kerana perpecahan dalam parti itu, tetapi sekarang ia pusing balik kepada PAS," katanya.

Bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar dalam ulasan spontan selepas apa yang berlaku kepada Dzulkefly yang dipukul dalam keretanya berkata: "Sebagaimana saya katakan, PAS sekarang sudah lebih teruk dari zaman Asri lagi."

Kamarudin yang kini ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berkata, ia sangat menyedihkan dan melahirkan simpati yang amat sangat dengan apa yang menimpa rakannya itu.

"Mula-mula kereta Dr Hatta kena bakar, ini sekarang pukul Dr Dzul pula. Macam saya katalah, ini lebih teruk daripada zaman Asri," kata Kamarudin merujuk insiden kereta Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli dibakar pada 14 Februari.

Dzulkefly hari ini dipukul sekumpulan lelaki yang menyerang beliau dengan kayu di luar rumahnya di Shah Alam ketika beliau baru pulang selepas menunaikan solat subuh di masjid.

Beliau yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan selepas bibirnya pecah dan dahi kirinya bengkak.

Beliau membuat laporan polis di Shah Alam dan beberapa anggota polis datang ke rumahnya bagi membuat siasatan lanjut.

Dalam pesanan melalui Whatsapp selepas kejadian itu, Dzulkefly meminta semua rakannya berhati-hati dengan apa yang berlaku, "Be careful sahabat-sahabat semua".

Sebelum ini, Kamarudin berkata kepada The Malaysian Insider, beliau bimbang dengan keadaan PAS sekarang di mana budaya menangani perbezaan pandangan kini berubah.

Katanya, puak yang tidak sehaluan pendapat dalam PAS saling tegur menegur dengan cara yang tidak beradab.

Kumpulan ulama dalam PAS kini bersikap tidak boleh ditegur walaupun pada masa sama mereka bebas menegur kumpulan lain dengan mengeluarkan pelbagai istilah termasuk perkataan “babi” dan “syaitan”, katanya.

Pada 1982, allahyarham Asri yang ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat (nama jawatan presiden PAS ketika itu), meletakkan jawatan dalam parti itu ketika muktamar tahunan berlangsung, selepas ucapan dasar beliau ditolak perwakilan.

Kejadian itu juga disertai ejekan terhadapnya oleh kumpulan yang membencinya.

Sebelum kejadian itu, sayap Pemuda PAS bermuktamar di tempat berlainan dan meluluskan usul agar PAS menerima konsep "Kepimpinan ulama".

Dengan peletakan jawatan Asri, PAS memulakan era kepimpinan ulama dan kepimpinan parti itu diambil alih Yusof Rawa sementara Majlis Syura Ulama dibentuk sebagai badan yang tertinggi dalam PAS.

Ketika itu, Kamarudin merupakan seorang pengkaji politik yang bertugas sebagai pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sejak zaman Yusof, jawatan presiden PAS tidak pernah ditandingi dan mereka yang terpilih akan menang tanpa bertanding.

Sekarang, kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tercabar di samping konsep kepimpinan ulama dalam PAS.

Pada muktamar tahun lepas di Batu Pahat, perwakilan Pemuda PAS yang memakai jaket menyokong kepimpinan Hadi bangun meninggalkan dewan ketika Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu memulakan ucapan perasmian.

Ketika perbahasan, pemimpin yang tidak sehaluan dicemuh dengan ejekan 'boo' manakala seorang yang bergelar ulama membaca doa dalam ucapannya, melaknat pimpinan PAS yang lain.

Dalam ucapan penangguhannya pula, Hadi menyifatkan dalam PAS ada barua dan meminta mereka yang tidak setuju dengan kepimpinannya "mencari tanah baru dan bina masjid baru dan jadi imam sendiri".

Ungkapannya itu disifatkan sebagai satu ucapan menghalau mereka yang tidak sehaluan agar keluar PAS.

AJK PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof dalam satu bukunya bertajuk "Menuju PAS baru" menulis, PAS memerlukan tema baru selepas lebih 30 tahun menggunakan tema "Konsep Kepimpinan ulama".

Ini kerana, katanya, setiap sesuatu perkara berlaku ada lengkok tersendiri dan beliau percaya PAS perlu mencari pendekatan baru kerana lengkok "Kepimpinan ulama" sudah mendatar dan bakal turun.

PAS merupakan parti serpihan Barisan Nasional satu ketika dulu. Ia meninggalkan Umno pada 1951.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dalam komen spontan melalui akaun Facebooknya menolak apa yang menimpa Dzulkefly angkara orang dalam PAS.

Sebaliknya beliau berpendapat ada pihak yang mahu mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku dalam parti Islam itu.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan membuat provokasi terhadap pimpinan PAS.

"Matlamat jahat mereka ialah memecahbelahkan PAS. Moga Allah membalas kejahatan mereka," kata Suhaizan.

Sebelum ini, ketika kejadian melibatkan kereta Dr Hatta, Dzulkefly juga berkata beliau yakin kejadian tersebut angkara orang luar yang berniat jahat menimbulkan konflik dalaman PAS.

"Saya yakin bukan ahli PAS terlibat, dan ia dibuat pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku," kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insider.

Kejadian itu susulan tuduhan dalam satu demonstrasi di ibu pejabat PAS pada 8 Februari, mendakwa ahli Parlimen Kuala Krai itu menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan Hadi.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers