Perubahan untuk rakyat lebih penting, pesan Anwar dari penjara


(Oleh Azuan Ab Rahman)

PETALING JAYA 6 MAC: Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua aktivis yang berkumpul setiap malam di hadapan Penjara Sungai Buloh.

Penghargaan tersebut disampaikan melalui Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Anwar 


“Kita dapat pesanan dari Datuk Seri Anwar di penjara baru-baru ini, beliau sampaikan penghargaan kepada semua terutama kepada aktivis yang berkumpul setiap malam di hadapan Penjara Sungai Buloh.
“Himpunan di luar itu telah merangsang semangat beliau, tetapi beliau beri nasihat jangan terlalu tumpu di penjara sungguhpun rakyat prihatin.

“Pesannya perjuangan di luar bagi menggerakkan perjuangan rakyat untuk bawa perubahan adalah lebih penting,” kata Tian pada sidang media di sebuah restoran di Petaling Jaya, hari ini.

Sehubungan itu jelas Ahli Parlimen Batu itu lagi, himpunan solidariti buat Anwar akan berakhir pada malam ini, namun sokongan terhadap Ketua Umum KEADILAN itu akan diperhebat dengan aktiviti lebih besar.

“Malam ini malam terakhir kita akan berhimpun di hadapan penjara, tetapi selepas ini kita akan buat banyak program di Sungai Buloh, mungkin dalam bentuk ceramah atau aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berharap pihak penjara dapat memperbaiki mutu layanan selain menyediakan kelengkapan sepatutnya kepada Anwar yang diketahui umum mengalami kecederaan ketika dipenjarakan sebelum ini.

“Ada sedikit peningkatan layanan pihak penjara kepada Anwar berbanding mula-mula beliau dipenjarakan, itu pun selepas kita desak, tetapi kita turut mengharapkan pihak berkuasa penjara dapat perbaiki keadaan terutama pengudaraan dan kebersihan sel di mana Anwar dipenjarakan,” tegasnya lagi.

No comments: