Perpaduan Umno-PAS: Mampukah ulama bersihkan penyelewengan Umno?

Oleh: Barua

Komen pemimpin PAS Terengganu Roslan Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi melalui akaun Facebooknya mencadangkan PAS dan Umno bergabung melaksanakan hudud mencerminkan kehendak politik terkini puak ulama Unity Government (UG) dalam parti itu.

"Jika saya di tapak Tuan Guru Presiden, saya akan gunakan ruang ini untuk melakar satu sejarah terharum kepada rakyat Malaysia dengan bergabung dengan Umno/BN untuk membentuk kerajaan persekutuan dan melaksanakan hudud secara sistematik selepas ini," tulis Roslan.

Sebahagian ulama UG yang selama ini didakwa berunding di belakang tabir dengan Umno demi mewujudkan kerajaan perpaduan kini telah semakin berani melontarkan idea secara terbuka. Sekali gus menyerlahkan betapa pentingnya kewujudkan PasMa yang mahu mengekalkan hubungan ahli PAS dan Pakatan Rakyat.

Penyatuan Melayu

Kebelakangan ini ulama PAS semakin terbuka dengan idea-idea Umno. Termasuk penyatuan Melayu, isu-isu berkaitan raja, ekonomi Melayu dan Ketuanan Melayu. Isu-isu ini menjadi kemarahan umum dalam PAS jika ditimbulkan sewaktu Tok Guru Nik Aziz Nik Mat masih berkuasa dalam PAS suatu ketika dahulu.

Kini, jarum Umno sudah mula mengait ulama PAS untuk bersama perjuangan nasionalisme. Hujah-hujah yakin PAS mampu memperbaiki Umno kian kuat kedengaran. Kononnya kronisme, nipotisme, kezaliman dan penyelewengan Umno boleh didakwah dan diubah oleh ulama PAS.

Belum pernah dilihat di mana-mana bahagian dunia malaikat dan syaitan bergabung mewujudkan persekutuan yang baik. Sering terjadi gabungan itu akan hancur berantakan. Ulama-ulama muda dalam PAS tidak mempunyai pengalaman pahit bergabung bersama Umno.

PAS pernah melakukannya pada 1971 ketika mana penyelewengan dalam Umno masih lagi bertaraf kecil-kecilan. Ketika itu belum ada projek lebuh raya berbilion ringgit, KLIA, KLCC, MRT, 1Malaysia Development tidak wujud. Itu pun PAS akhirnya ditendang keluar pada 1978 apabila Umno melihat parti itu sering tidak sehaluan dengan mereka.

Memohon ihsan

Tentulah dengan skala penyelewengan berbilion-bilion ringgit seperti sekarang ini lebih sukar untuk PAS mendakwah Umno. Fenomena yang nyata, MB Kelantan Ahmad Yaakob yang garang menyerang puak profesional dalam PAS seperti ‘melukut di tepi gantang’ memohon belas ihsan PM Najib untuk membangunkan Kelantan.

Adakah dengan keadaan meminta-minta itu Ahmad akan mampu mendakwah Umno? Kalau terlebih dakwah tentunya Umno menarik balik pemberian. Adakah Ahmad sanggup? Sebab itulah Tok Guru Nik Aziz rela Kelantan susah sementara asalkan tidak menggadai maruah kepada Umno.

Selepas bergabung, bagaimanakah kerusi-kerusi PAS dalam pilihan raya? Adakah PAS akan bertanding satu lawan satu menentang Pakatan Rakyat di DUN dan Parlimen? Sudah tentu senarionya amat menarik. Parti yang memperjuangkan kesucian Islam kini menggunakan lambang dacing.

PAS akan kalah. Kalau PAS bertanding menggunakan lambang sendiri pun ahli Umno masih alergi untuk  mengundi parti agama itu. Penyokong PAS pula alergi mengundi parti mereka. Senario yang berlaku ialah pengundi BN tidak keluar mengundi, pengundi atas pagar pangkah PR dan pengundi PAS akan undi PR. Hasilnya PAS akan kalah teruk di kawasan-kawasan campuran.

Di kawasan kubu kuat PAS di Kelantan dan Terengganu parti itu berisiko dipulaukan oleh ahli. Mereka enggan keluar mengundi dan berkemungkinan PR akan menang. Satu lagi senario ialah PAS meletakkan calon di mana PR dan BN bertanding untuk memenangkan BN sebagaimana yang berlaku di DUN Kota Damansara pada PRU 13 lalu.

Namun adakah ahli PAS akan walak mengundi demi Allah dan Rasul? Jawabnya, pengundi Malaysia bukan bodoh. Ketika PAS lawan PKR di Kota Damansara ahli PAS memilih pemimpin yang lebih baik tetapi jika PAS bekerjasama dengan Umno, tiada lagi kebaikan pada PAS.
Tong najis

Selepas tiga dekad berlalu, tiada siapa menyangka sindiran PAS ke atas Anwar Ibrahim kembali menimpa PAS semula. Pada 1982, apabila Anwar masuk Umno, ulama PAS mentertawakan rancangan Islamisasi bekas Presiden Abim itu.

Anwar beriltizam menyucikan Umno dari dalam. Ulama PAS menyifatkan Anwar masuk ‘tong tahi’ dan mencuci dari dalam. Akhirnya seluruh badan Anwar akan diselaputi najis.

Pada 2015, Anwar telah 17 tahun berjuang dari luar tong tahi tetapi PAS pula bersungguh-sungguh ingin masuk tong tahi yang sama dan membersihkannya dari dalam.

Sedangkan PAS merasai perit pengalaman 1971 – 1978 dikhianati Umno dan melihat pengalaman pahit Anwar 1982 – 1998.

Nabi saw mengingatkan umat agar jangan jatuh ke dalam lubang sama untuk kali kedua. Namun puak UG PAS ketagih menghulurkan kaki ke dalam lubang yang sama berkali-kali.

No comments: