Wednesday, March 18, 2015

Kita mempunyai pemimpin yang lebih ganas dari Marcos dan Imelda nya

Aspan Alias

Ucapan YBM Tengku Razaleigh di Parlimen semalam, semuanya adalah manifestasi sebenarnya yang diluahkan oleh seorang Penggubal Undang-Undang dan teknokrat yang suatu ketika dahulu telah merencanakan banyak polisi kerajaan dan perlaksanaannya yang begitu baik sehingga beliau diketepikan dari politik arus perdana. Ucapan beliau semalam pastinya satu manifestasi yang luhur yang bukan sahaja dirasakan keluhan oleh Tengku Razaleigh sendiri tetapi dirasakan oleh ramai rakyat biasa seperti kita dibawah ini. Apa yang disentuh beliau itu semuanya kena mengena dengan kepentingan rakyat dan negara.

TR bukannya senang untuk membuat ucapan yang mengkritik partinya sendiri tetapi jika beliau telah membuka mulut dan membuat ucapan yang begitu ‘inward looking’ ia merupakan satu tindakan yang beliau rasakan amat perlu dilakukan semata-mata untuk keselamatan dan kemajuan bangsa dan negara ini di hari muka.

Satu perkara yang sangat penting disebut oleh TR ialah tentang peranan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya dahulu. Semua yang dihadapi sepatutnya difahami oleh semua Ahli-Ahli Legislatif dan terpulang kepada Ahli-Ahli Parlimen ini untuk melakukan pembetulan terhadap ‘serious difficulties’ yang dihadapi oleh negara kita. Jika tidak dilakukan pembetulan sekarang, rakyat akan membetulkannya semasa pilihanraya nanti.

Jika itu berlaku, segala yang hendak mereka pertahankan untuk diri mereka yang ada pada hari ini akan hilang juga dan Negara akan menjadi huru hara kerana dipihak pembangkang pun bukannya mempunyai kemahiran untuk membetulkan keadaan selain dari hanya mengkritik dan berdemonstrasi sahaja.

Kalau diteliti dari seorang keseorang wajah dalam Parlimen itu, hanya TR sahaja yang masih bertenaga dan masih wujud dalam era pentadbiran sekarang. Itu sebabnya beliau seorang sahaja yang masih memahami apa yang beliau perkatakan. Mereka mewarisi budaya politik baru yang amat mengerikan jika diteliti secara halus. Pemimpin sekarang hanya memikirkan apa yang mereka dapat dan tidak melakukan sesuatu untuk kehendak rakyat.

Rakyat telah memilih mereka untuk melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan jika Ahli-Ahli Parlimen, membiarkan sahaja apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini maka mereka telah mengingkari kehendak pemilih mereka dan itulah sebabnya dikatakan tadi, jika tidak bertindak sekarang maka rakyat akan bertindak.

Parti pemerintah boleh melakukan persefahaman dengan PAS misalnya, tetapi jika yang melakukan persefahaman dari pihak kerajaan ini terlalu serius kesalahannya maka persefahaman itu juga tidak akan kemana kerana keutamaan rakyat sekarang ialah untuk menghukum mereka yang bermain-main dengan kehendak dan aspirasi rakyat. Rakyat bukannya memilih mereka kerana memberikan mereka untuk melakukan apa-apa yang mereka suka.

Sekarang ini bukan setakat menyelesaikan masalah 1MDB atau masalah yang dihadapi oleh Felda atau masalah kelembapan ekonomi sahaja. Masalah yang sedang dihadapi Negara sekarang ialah masalah yang lebih meluas dan besar lagi dari isu hutang Negara yang terlalu besar dan masalah kebangkrapan yang begitu ‘imminent’ bagi Negara.

Masalah penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dahulu belum disempurnakan dengan sepenuhnya. Tentulah Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang lebih besar di Dewan Legislatif Persekutuan itu. Kita mendengar laungan yang Sabah dan Sarawak sebagai ‘equal partners’ dalam Persekutuan tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai kudrat untuk memperjuangkan nasib negeri-negeri mereka itu. Kenapa selama ini mereka tidak mahu bertindak? Mungkin banyak sebabnya. Tetapi jika ditanya orang kebanyakan persepsi mereka ialah mereka lebih mengutamakan perut mereka dan mendahului kemahuan nafsu dan kepentingan peribadi mereka jangka pendek.

Mereka dari Sabah dan Sarawak mempunyai suara yang besar tetapi setakat ini suara besar mereka tidak membawa apa-apa faedah untuk mereka. Tetapi mereka masih menuduh kerajaan persekutuan menganak-tirikan mereka. Jika benar mereka di anak-tirikan oleh persekutuan bukankah itu kehendak mereka sendiri kerana terlalu ketakutan untuk melakukan perubahan semata-mata kerana takut kehilangan apa yang mereka ada?

Kita juga sedang menghadapi masalah pendatang asing yang besar. Dari jumlah 6 juta pendatang asing hanya 2 juta sahaja yang datang secara halal. Jika Negara seperti Singapura dibanjiri dengan pendatang professional, kita di datangi oleh jutaan pendatang haram dan ‘unskilled labors’ yang membawa sekali masalah sosial kepada negara kita. Puluhan tahun kita tidak mendengar penyakit batuk kering (TB) tetapi penyakit itu sudah kembali bersama pendatang-pendatang haram yang belum tentu lagi tahap kebersihan dan kesihatan mereka itu baik sebelum memasuki negara kita.

Jadi apa yang disebutkan oleh TR dalam Dewan Parlimen semalam bukannya isu yang boleh dipandang enteng kerana isu-isu yang beliau bawa itu adalah isu-isu penting yang menentukan hidup matinya Negara kita di masa depan.

Hanya yang kita harapkan keadaan akan berubah dan sikap Ahli-Ahli Parlimen akan berubah dan membawa perubahan sebelum diubah oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Rakyat sudah terlalu jemu mempunyai Perdana Menteri yang berimejkan seorang Perdana Menteri yang terboros sekali dalam dunia ini. Sekarang ini yang paling penting dilakukan oleh semua pemimpin di Parlimen itu, mereka wajar mengisytiharkan harta kepunyaan mereka seperti yang disarankan oleh YBM Tengku Razaleigh itu.

Sekarang ini kita sudah mempunyai pemimpin yang lebih ganas dan hebat dari Marcos dan Imelda nya berbelanja wang rakyat. Apa pula akan menimpa kita selepas ini. Wallahualam. Kata seorang rakan saya 'it's an endless possibilities'.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers