Berikutan Saman Terhadap Tony Pua, Apakah Jeritan "Hidup Najib" Akan Lebih Bergema Pada 8 Mac Nanti?

 S.Hussein


Sesiapa pun dapat merasakan kedudukan Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah mulai "goyang" ketika ini. Serangan dan penolakan terhadapnya bukan lagi sekadar mainan media atau cakap-cakap di kedai kopi saja, malah sudah menular menjadi denyut nadi dan kehendak majoriti rakyat.

Semua kelompok masyarakat sudah semakin terbuka memperkatakan mengenai nasib dan masa depannya serta mulai bertanya, berapa lama lagikah Najib mampu bertahan?

Ada yang berkata Najib akan "pergi" sebaik majlis perkahwinan anak perempuannya selesai pada 29 Mac ini dan ada juga berani bertaruh pengundurannya akan berlaku sebelum Jun ini.

Isu-isu yang mengelilingi Najib secara umumnya sudah terlalu sarat dan tidak boleh diperbaiki lagi. Ia lebih mungkin menjadikannya tertolak atau tersingkir lebih awal daripada jawatannya, berbanding ditemui jalan penyelesaiannya.

Daripada kesemua isu yang ada sekarang ini, skandal berkaitan 1MDB nampaknya menjadi semakin berat hari demi hari dan dengan pelbagai pihak tidak henti-henti membangkitkannya, ia pastilah juga menjadikan tidur Najib tidak lagi senyenyak dulu.

Meskipun demikian dan walaupun semakin digegak-gempitakan bahawa isu-isu yang semakin sarat kebelakangan ini, disertakan dengan kepimpinannya yang lemah, lebih mungkin menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya akan datang, Najib masih belum menampakkan tanda-tanda ingin berundur.

Najib tergambar ingin terus bertahan selagi terdaya walaupun kerisauan turut tergambar melalui beberapa perubahan dan tindakannya kebelakangan ini. Di samping mulai menukar gaya kepimpinannya kepada lebih Melayu dengan berjanji mempertahan agenda Melayu selagi ada bulan dan bintang, Najib juga sedia secara terbuka menunjukkan sokongan yang dimilikinya.

Selain menghadiri Himpunan Kebangkitan Melayu di Stadium Bukit Jalil minggu lalu, Najib dijangka sekali lagi mempamerkan sokongan yang dimilikinya dalam Perhimpunan Solidariti Ketua-Ketua UMNO Bahagian pada Ahad, 8 Mac ini di PWTC.

Daripada 191 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara, sehingga ini dilaporkan seramai 173 daripadanya sudah menyatakan kesediaan  hadir untuk mengangkat tangan sambil menjerit-jerit menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Himpunan Solidariti 8 Mac ini, selain berujuan untuk menyatakan Najib masih memiliki sokongan daripada UMNO, ia juga secara tidak langsung mengesahkan kerusi yang didudukinya sudah tidak sekukuh dulu lagi.

Adalah dijangka, lebih banyak lagi perhimpunan menyatakan sokongan akan diadakan selepas ini. Najib juga dijangka akan meluangkan lebih banyak masa menghadiri perhimpunan seperti  ini untuk menunjukkan sokongan yang dimilikinya. Seperti biasa, umpama pokok yang hampir tumbang atau kerusi yang mulai bergoyang, Najib akan menerima apa saja bentuk kayu yang sanggup menjadi penahannya.

Dalam masa yang sama, bagi menunjukkan beliau masih pemimpin yang tegas dan kononnya berwibawa, semalam juga Najib mengumumkan untuk meneruskan tindakan saman yang diambilnya terhadap Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP berkaitan 1MDB yang sebenarnya sudah lama diancamnya sebelum ini.

Beberapa bulan lalu, Najib telah mengumumkan mahu mengambil tindakan saman terhadap Tony Pua jika enggan meminta maaf atau menarik balik kenyataan yang dibuatnya berhubung 1MDB.  Selain itu, Najib juga menghantar ancaman yang sama kepada Rafizi Ramli, Harakahdaily dan Pengarah Urusannya, Dr. Rosli Yaakob.

Meskipun Tony Pua sejak awal mengatakan tidak akan meminta maaf atau menarik balik kenyataannya, persoalannya kenapa baru semalam tindakan saman itu diteruskan? Kenapa tidak sebelum ini?

Apakah tindakan saman ini untuk menunjuk-nunjuk kepada Ketua UMNO Bahagian yang bakal berhimpun pada 8 Mac ini mengenai ketegasan kepimpinannya dan tindakannya yang tidak mengalah dalam isu1MDB yang menjadi perbualan hangat itu?

Adakah tindakan saman ini akan menjadi "point" penting untuk memperolehi lebih sokongan dan menjadikan jeritan "Hidup Najib" akan lebih bergema daripada Ketua-Ketua Bahagian nanti?

Selain urusan ke mahkamah boleh dilewat-lewatkan, perlu diingatkan bahawa UMNO juga mempunyai sejarah pernah menarik balik tindakan saman terhadap Tian Chua dalam isu Lahad Datu dan Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas berkaitan isu penyebaran video lucah sebelum ini.

Mungkinkah saman Najib terhadap Tony Pua ini juga hanya acah-acah dan untuk menjaga hati Ketua-Ketua UMNO Bahagian sebelum 8 Mac ini saja?
 
 
 ( SH 07/03/2015 )

No comments: