Tuesday, February 17, 2015

Tiba masa Hadi ganti Nik Aziz Mursyidul Am PAS

 OLEH: Pukul Canang


Masanya telah tiba untuk Presiden PAS Tuan Guru Hadi Awang tidak menerima pencalonan ke jawatan presiden dalam Muktamar pemilihan PAS, Jun depan.

Pemergian Nik Aziz buat selama-lamanya membenarkan Hadi yang beberapa kali uzur pada 2014 untuk berfikir ke arah tugas yang lebih mudah dalam parti. Mursyidul Am tidaklah seberat tanggungjawab presiden dan bakal membenarkan Hadi lebih banyak berehat serta menumpukan perhatian kepada usaha dakwah sebagaimana yang dilakukannya sejak puluhan tahun lalu.

Hadi paling layak
Mursyidul Am perlu dipilih dalam kalangan ulama dan bukannya profesional. Mursyidul pula adalah jawatan yang memerlukan seseorang yang berpengalaman dalam gerakan siasah. Timbalan Mursyidul Am Dr Haron Din tidak sesuai untuk dianggat ke kedudukan tersebut.

Meski pun Haron pernah menjadi Naib Yang Di Pertua (Presiden) PAS pada era kerajaan perpaduan PAS – BN 1971 – 1978 namun Haron tidak berpengalaman dalam menguruskan PAS sejak 1978. Beliau menyepikan diri dari jemaah. Kemudian muncul semula sebagai ahli agama yang dekat dengan Anwar Ibrahim serta mendapat beberapa kelebihan daripada pemimpin Umno itu pada era 1990an.

Haron juga tidak bersifat meraikan pendapat dalam kalangan ahli PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau lebih senang dengan kelompok tertentu dalam parti sahaja. Sementara Haron menganggap media Utusan Malaysia yang menjadi musuh PAS sebagai bukan musuh dan kenyataan beliau sering dipetik media berkenaan. Sesetengahnya bertentangan dengan polisi Pakatan. Haron seolah-olah masih di era 1990an dan memakai gelaran ‘ulama Pak Sheik Anwar’ yang berpengaruh dalam kerajaan BN.

Calon yang paling layak selepas Nik Aziz suatu ketika dahulu adalah Ketua Dewan Ulama Haron Taib. Bagaimanapun, Haron terlebih dahulu dijemput Allah berbanding Nik Aziz. Terdapat perbezaan pendapat dalam penggunaan kalimah Allah antara Haron Din dan Haron Taib.

Pengalaman Hadi


Menurut sumber yang dekat dengan Haron Taib, Ketua Dewan Ulama itu tidak mempersoalkan penggunaan kalimah Allah yang tidak ijmak dilarang oleh ulama-ulama digunakan oleh bukan Islam. Haron Taib hanya melarang jika ia disalahgunakan. Dan memang berlaku penyalahgunaan, kerana itu wujud alasan menghalangnya. Sementara Haron Din melarang terus penggunaannya. Meraikan pelbagai kaum dan agama adalah penting dalam tugas Mursyidul Am dan tidak melayakkan Haron Din mengambil alih tempat Nik Aziz.

Hadi mempunyai pengalaman dalam meraikan pelbagai agama. Hadi tidaklah ekstrem dalam tempoh 1999 – 2012. Hanya selepas beliau dikepung oleh puak UG PAS maka pandangannya sedikit berubah. Namun beliau lebih memahami keadaan masyarakat majmuk Malaysia berbanding Haron Din.

Wujud keperluan pemimpin ulama PAS memujuk Hadi untuk mengisi jawatan Mursyidul Am dan melantik Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden baharu secara tertib.

Tuan Ibrahim bekas pensyarah kanan UiTM mempunyai pandangan yang lebih dekat dengan generasi muda PR. Beliau amat percaya dengan penyatuan PR mampu menumbangkan BN. Keyakinan beliau kepada PR lebih kuat berbanding ulama tradisional PAS yang tidak pernah berkerjasama dengan orang-orang Umno dalam mana-mana period kehidupan mereka.

Tuan Ibrahim biar pun bekerja di institusi pendidikan totok Umno tetapi beliau tidak sama sekali terpengaruh dengan ideologi mahu pun pujukan parti berkenaan. Tuan Ibrahim juga pemimpin yang sangat jujur dan tidak berputar belit. Penelitian politik beliau tajam dan tidak memerlukan penasihat berbanding kebanyakan ulama PAS lain yang memerlukan penasihat kerana mereka lebih mengutamakan hal-hal ‘mengajar dan ceramah’ berbanding menilai suasana politik.

Krisis dalaman PAS tidak mungkin selesai sekiranya presiden tidak bertukar tangan. Kepimpinan yang lebih ‘muda’ akan mengukuhkan jemaah. Pelbagai pihak akan ingin mencuba pemimpin baharu dan itu menyebabkan mereka akan bersatu melawan musuh yang satu: Umno BN.

Tuan Ibrahim diyakini

Walaupun Tuan Ibrahim kelihatan kurang pengalaman dalam PAS dan dilihat masih muda namun kewibawaannya lebih terkehadapan berbanding ulama-ulama lain. Nik Amar misalnya terlalu keras jika mahu dicalonkan ke jawatan presiden. Kewibawaannya menghadapi krisis kemanusiaan di Kelantan tahun lalu juga tidak lebih baik daripada Husam Musa yang banyak mendapat pujian.

Apatah lagi dalam keadaan PAS diselubungi pelbagai masalah dalaman. Hanya pemimpin yang benar-benar diyakini sahaja akan mampu menyatukan puak-puak yang bertelagah. Kepimpinan yang diperlukan PAS apabila Anwar masuk ke dalam penjara dan rakyat mula marah adalah kepimpinan yang bijaksana.

PAS perlukan strategis sebijak Fadzil Noor. Beliau berjaya menjalin kerjasama dengan puak Reformasi biar pun Ketua Dewan Ulama Haron Taib menentang keras kerjasama tersebut.

Ketegasan dan kebijaksanaan Fadzil membawa keuntungan lumayan kepada PAS. Pemimpin hari ini yang menghadapi keadaan politik ulangan 1998 -1999 juga perlu menggunakan strategi Fadzil mengubah kemarahan rakyat kepada undi menyokong PAS.

Dengan strategi Hadi dan puak UG yang ‘terlebih sudu dari kuah’ sering bertelagah di media, bukan sahaja kemarahan rakyat terhadap kes Anwar tidak memberi untung kepada PAS malah penyokong sedia ada pun akan kecewa dan mendiamkan diri serta tidak keluar mengundi dalam pilihan raya.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers