Rafizi: Pakatan akan pastikan agenda musuh politik Anwar gagal

Rafizi: Pakatan akan pastikan agenda musuh politik Anwar gagal

(Oleh Azuan Ab Rahman)

PETALING JAYA 17 FEB: Pemenjaraan Saudara Anwar Ibrahim merupakan agenda politik Umno bagi menyekat karier politik Ketua Umum KEADILAN itu sekaligus menghentikan kemaraan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli merungkai empat matlamat sebenar di sebalik pemenjaraan Anwar oleh musuh politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

DSAIJelasnya, musuh politik Anwar berharap gabungan Pakatan Rakyat yang menafikan majoriti Umno Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu bakal berpecah dengan ketiadaan Anwar.

Malah kata Ahli Parlimen Pandan itu, mereka juga berharap KEADILAN yang diterajui Anwar bakal bergolak dan melalui tempoh masalah dalaman yang sukar sehingga melemahkan parti itu.

“Media Umno boleh main isu, tetapi majoriti rakyat percaya ia merupakan agenda politik bertujuan untuk membunuh karier politik Anwar,” kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat parti, selepas berkesempatan bertemu Anwar, yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.

Sambungnya, hukuman penjara ke atas Anwar itu dilakukan ketika negara sedang berhadapan krisis ekonomi yang meruncing serta dalam situasi Umno bergolak.

“Mereka juga berharap serangan Pakatan Rakyat kepada BN dalam isu-isu berhubung salah guna kuasa, rasuah dan isu-isu rakyat akan berkurangan kerana fokus akan beralih kepada menuntut pembebasan Anwar.

“Dan matlamat utama mereka adalah supaya Anwar dilupakan dengan desakan demi desakan agar beliau berundur dari politik bagi memberi ruang kepada pemimpin muda,” jelas Rafizi lagi.

Justeru, beliau mengingatkan jika keempat-empat matlamat tersebut tercapai, bermakna agenda sebenar di sebalik pemenjaraan Anwar oleh lawan politiknya itu berjaya dan mereka terus akan berkuasa.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab semua pihak yang cintakan kebebasan dan keadilan di negara ini untuk terus menggembleng tenaga bagi memastikan keempat-empat matlamat tersebut tidak tercapai.

Bebas 

“Apabila kita KEADILAN dan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan muafakat dan terus menumpukan fokus menewaskan Umno BN dengan membawakan idea-idea berkait kepentingan rakyat, ketika itu mereka akan hilang punca dan tewas,” ujarnya.

Tegas Rafizi lagi, bagi menidakkan matlamat Umno BN yang mahu melihat Pakatan lemah, kejutan akan dibuat bagi menghalang usaha mereka meruntuhkan permuafakatan gagasan itu.

“Mereka sangat berharap Pakatan Rakyat akan bergolak, yakinlah KEADILAN dan Pakatan akan terus kukuh.

“Kita akan lihat selepas ini, isu-isu rakyat akan dijaguhi secara bersama di antara PAS, DAP dan KEADILAN sendiri sebagai lambang bagi meneruskan perjuangan Saudara Anwar Ibrahim,” kata Rafizi yang kini fokus untuk menumbangkan Umno BN.


No comments: