Gagal pecat Ismail Sabri, Najib PM paling lemah

 Oleh: Webmaster

DAP mendesak Kabinet supaya memecat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana tidak menunjukkan tanda-tanda ingin menarik balik atau memohon maaf atas kenyataannya perkaumannya tentang peniaga Cina.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menyeru Kabinet supaya menilai semula kes Ismail di mesyuarat mingguan mereka pada 11 Februari dan menambah Ismail perlu meminta maaf untuk kenyataannya.

"(Ismail) perlu menarik balik tanpa syarat dan meminta maaf atas kenyataan rasis yang tidak sepatutnya diungkapkan.

"Atau beliau patut dipecat daripada Kabinet, jika bukan sebagai arahan daripada perdana menteri, jadi sebagai keputusan Kabinet melalui resolusi Kabinet," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail mencetuskan kontroversi selepas menyeru pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina kerana tidak mahu menurunkan harga barang selepas harga minyak turun.

Ismail yang merupakan menteri pertanian dan industri asas tani berkata begitu di dalam satu posting Facebook miliknya yang kini sudah dipadamkan.

Bagaimanapun beliau tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataan tersebut.

Namun selepas mesyuarat Kabinet pada 4 Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba mempertahankan kenyataan Ismail, mengatakan ia tidak ditujukan kepada mana-mana kaum secara spesifik.

Bagaimanapun Ismail daripada Umno dikritik pemimpin MCA, iaitu rakan parti Umno di dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan hari ini, Lim mengkritik Kabinet kerana mempertahankan Ismail.

"Kesemua 34 menteri bersalah terhadap jawatan mereka sebagai menteri serta kredibiliti dan reputasi mereka kerana menolong Ismail menafikan sesuatu yang jelasnya tidak patut dipertahankan," kata Lim.

"Ismail memang pun sudah mengkhianati sumpahnya di pejabat menteri, untuk berkhidmat untuk rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama atau negeri.

"Dalam membenarkan, menyokong dan mempertahankan kenyataan rasis Ismail, kesemua 34 menteri ini, tidak kira latar belakang parti politik mereka, sudah pun mengkhianati sumpah mereka di pejabat menteri."

Lim juga mengulang sekali lagi kenyataannya yang kenyataan rasis Ismail tidak akan ditolak ansur di bawah pentadbiran 5 perdana menteri lepas.

"Jika bekas menteri kita melakukan apa yang dilakukan Ismail di bawah pentadbiran 3 perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn, beliau pasti dipecat serta-merta."

Lim berkata malah bekas perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik Ismail dengan mengatakan isu harga barang tidak turun tiada kena-mengena dengan kaum.

"Saya rasa di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi tidak akan ada tempat bagi rasis sebegini di dalam Kabinet.

"Jadi mengapa hanya Najib seorang daripada 6 perdana menteri yang membenarkan, menyokong serta mempertahankan kenyataan rasis Ismail sedangkan 5 perdana menteri sebelumnya tidak akan melakukan sebegitu?

"Adakah ini kerana beliau perdana menteri yang paling lemah dalam sejarah 58 tahun negara kita?"

Ismail berkata pengguna Melayu mempunyai peranan dalam membantu kerajaan menentang pencatut dengan menggunakan kuasa kolektif mereka untuk menurunkan harga barangan.

No comments: