Cikgu Ishak Surin hero pembaharuan PAS

Oleh: Pukul Canang


Banyak pihak mengucapkan syabas kepada Yang DiPertua PAS Batu cikgu Ishak Surin kerana berani menyangkal kenyataan Hadi kononnya pilihan raya PBT akan menyebabkan berulangnya tragedi rusuhan kaum 13 Mei.

Bukan calang-calang orang yang berani menyanggah hujah Hadi yang dianggap suci. Menyanggah adalah ‘melangkah walak’ dan perbuatan yang sangat bersalahan dalam parti itu.

Jawatan Presiden PAS yang agak terbuka pada zaman Fadzil Noor kini tidak boleh dikritik pada zaman Hadi. Majlis Syura Ulama yang lebih banyak menasihatkan PAS kini melaksanakan kuasa perlembagaan, menjadi kuasa pemutus yang tidak demokratik.

Potensi kalah

Majlis Syura tidak sedar mereka bukan berfungsi seperti mana di Iran yang termaktub di bawah perlembagaan negara. Majlis Syura PAS jika membuat keputusan yang bertentangan dengan hasrat rakyat akan ditolak dalam pilihan raya dan tokoh politik PAS kembali menjadi rakyat biasa yang tidak dihiraukan sesiapa selepas PRU 14 nanti.

Menyedari potensi PAS akan kalah dan ditolak oleh pengundi, veteran PAS cikgu Ishak Surin mengambil tanggungjawab untuk menjadi tidak popular. Beliau menegaskan pilihan raya PBT sangat diperlukan di Kuala Lumpur. Beliau juga menegaskan rusuhan kaum tidak akan terjadi kerana pilihan raya itu. Jika benar ia boleh berlaku maka rusuhan telah pun tercetus pada hari pilihan raya umum lalu.

Cikgu Ishak paling berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana sebahagian besar hayat beliau dihabiskan di Kuala Lumpur. Hadi mungkin tidak melihat suasana kempen PRU 13 di kawasan parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.

PAS, DAP, PKR dan NGO seperti satu keluarga mengangkat Tian sebagai YB penggal kedua di Batu. Penduduk Islam kawasan itu amat senang dengan Tian yang boleh ke surau-surau dan masjid mengambil tahu hal ehwal mereka.

Untuk apakah rakyat merusuh jika pemimpin popular seperti itu menang pilihan raya? Penduduk kota mengutamakan efisiensi dan bukannya bangsa. PAS sekiranya ingin mengambil undi Cina boleh sahaja meletakkan calon berbangsa Cina untuk menjadi Datuk Bandar.

Bagi Ishak, Hadi dan puak UG keterlaluan. Mereka memainkan isu seolah-olah penyokong dan ahli PAS tidak mampu berfikiran rasional. Berontak cikgu Ishak bermula sejak sebulan lalu apabila Harakah yang mana beliau salah seorang pengasasnya ingin dikuasai oleh puak UG dan menggunakan Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali menekan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi agar bersara awal.

Letak jawatan

Sedangkan beberapa staf Harakah sebelum ini yang enggan melaksanakan arahan atau enggan bertukar jabatan dibiarkan selama bertahun-tahun. Mustafa tidak pula bertindak ke atas mereka. Hanya kerana Lutfi mengamalkan kebebasan media dan menyiarkan berita berkaitan Anwar Ibrahim dan lain-lain yang tidak menguntungkan UG maka ketua pengarang itu didesak meletak jawatan.

Mustafa yang suatu ketika dahulu pada 1990an agak pro Anwar dan menolak berita yang merugikan Anwar kini terbalik bertukar watak dengan Lutfi yang suatu ketika dahulu anti Anwar.

Ishak yang sama-sama mengasaskan Harakah kini akan menongkah arus demi untuk memastikan PAS kembali ke zaman sederhana di bawah Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Hanya yang diharapkan oleh cikgu Ishak ialah kebangkitan puak profesional untuk mewaraskan parti. Ishak bukan PasMa yang awal-awal lagi dianggap penderhaka, sama seperti puak profesional PAS yang tidak menentang parti. Apa yang mereka mahu adalah PAS kembali ke aliran perjuangan asal, bukannya dikuasai agenda Umno.

Hero pembaharuan

PAS wajar menjadi parti yang menegakkan Islam yang luas dan jangan sama sekali terpengaruh dengan dakwah Islam nasionalisme Umno yang sempit. 

Tidak mengapalah jika Hadi ingin terus menutup pintu kepada PR atau puak UG ingin bersama Umno, puak profesional boleh membentuk parti baru seperti Recip Tayib Erdogan yang meninggalkan parti Refah yang jumud dan membentuk AK parti di Turki.

Politik adalah seni dinamisme. Puak UG berkata dinamisme serupa prakmatisme iaitu mengambil perkara buruk dan baik untuk disatukan.
Tibalah masanya puak profesional PAS untuk berkata tidak!

Cikgu Ishak telah mencetuskan gelombang, diharapkan puak profesional akan menyambutnya. Sekiranya Mat Sabu atau  Husam takut untuk membawa perubahan, apa salahnya Cikgu Ishak diangkat sebagai hero pembaharuan PAS buat sementara.



No comments: