Sirul diminta gunakan kebebasan di Australia dedahkan siapa arah bunuh Altantuya

Oleh: webmaster

PAS menggesa Koperal Sirul Azhar mendedahkan perkara sebenar berhubung skandal pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu kepada media Australia selepas negara itu enggan memenuhi permohonan Malaysia mendapatkan perintah ekstradisi terhadapnya yang dikenakan hukuman mati.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad berkata, Sirul perlu menjelaskan hal sebenar bagi menjawab semua persoalan yang sudah berlarutan sejak 2006.

"Kalau boleh di Australia itu Sirul ceritakan keseluruhan kepada akhbar di Australia kenapa dia bunuh Altantuya. Kes ini dah berlarutan lama dan akan terus jadi isu sehingga semua persoalan itu terjawab," kata ahli Parlimen Shah Alam itu pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan tertuduh kedua, Sirul, 43, kerana membunuh penterjemah itu 9 tahun lalu.

Bagaimanapun Sirul tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana dipercayai berada di Australia. Susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan Australia tidak akan memenuhi permohonan Malaysia kerana mereka merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Khalid berkata, Sirul sepatutnya menggunakan peluang "perlindungan" dari Australia dengan mendedahkan motif sebenar beliau dan rakannya, Azilah membunuh Altantuya.

Khalid turut mempersoalkan bagaimana Sirul boleh "terlepas" daripada tali gantung dan dibenarkan ke luar negara sementara menunggu hukuman dijatuhkan.

“Sedangkan orang yang tidak bayar pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) pun boleh dirampas pasport, dan dihalang ke luar negara. Tetapi orang seperti Sirul boleh bebas keluar pergi ke Australia," katanya.

Gesaan sama turut dibuat Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen dalam Twitter supaya Sirul mendedahkan perkara sebenar.

"Sirul, pelindung anda sudah abaikan anda. Tiba masa untuk beritahu semuanya?" katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohmad Salleh mengesahkan Sirul ke Australia sejak Oktober tahun lalu, selepas menyemak rekod Jabatan Imigresen Malaysia.

Disebabkan itu, Malaysia mungkin membawa kes Sirul ke mahkamah Australia sekiranya negara itu enggan mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu ke Malaysia untuk menjalani hukuman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk memutus dan mengeluarkan arahan sama ada Sirul akan dihantar pulang atau sebaliknya.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh ketua polis negara dan peguam negara sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Pada masa ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia masih berusaha berbincang dengan pihak berkuasa Australia untuk mengekstradisi Sirul Azhar," katanya.



No comments: