Mat Sabu tak bela pemimpin seleweng balak

oleh: Amirulmukminin

PAS tidak akan membela mana-mana pemimpin partinya yang menyeleweng dan terlibat dalam skandal balak di Kelantan, kata Mohamad Sabu.

Timbalan presiden PAS itu berkata, bagaimanapun dakwaan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin PAS yang terlibat.

"Sila buktikan. Kami tidak akan bela mana-mana pemimpin yang menyeleweng," kataya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) pada sidang media di Petaling Jaya tadi menggesa agar Suruhanjaya Diraja (RCI) diwujudkan untuk menyiasat pemberian konsesi balak di Kelantan yang didakwanya menjadi punca bencana banjir.

Presidennya Ramesh Rao berkata, kerajaan negeri Kelantan perlu dipersalahkan kerana tidak mengendahkan laporan alam sekitar yang diserahkan NGO alam sekitar pada tahun 2010.

"Saya minta kerajaan pusat buat Suruhanjaya Diraja untuk siasat siapa penerima konsesi balak dan bagaimana konsesi itu dianugerahkan.

"Kalau kerajaan berani menunjukkan kejantanannya, tubuhkan segera RCI ini untuk siasat skandal balak," katanya.

Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mendakwa tidak pernah mendengar aduan berkaitan pemimpin PAS sebelum ini.

"Ini (dakwaan) kali pertama saya dengar," katanya sambil ketawa.

Ramesh mendakwa ada pemimpin PAS di Kelantan yang mempunyai kekayaan luar biasa disembunyikan di selatan Thailand, dipercayainya hasil pembalakan.

"Kami ada bukti pemimpin PAS Kelantan terdiri daripada bekas exco dan exco sekarang memiliki harta dianggarkan lebih RM600 juta di luar negara," katanya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim hari ini juga dilaporkan mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar banjir besar di Kelantan yang memberi kesan dahsyat sehingga menjejaskan golongan nelayan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu telus dan menyokong penubuhan suruhanjaya itu, bagi mencari punca sebenar banjir yang menenggelamkan hampir semua daerah, kecuali Bachok dan Pasir Puteh.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim menyarankan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar banjir besar di Kelantan baru- baru ini.

Beliau berkata, banjir itu memberi kesan dahsyat terhadap semua daerah, termasuk golongan nelayan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu telus dalam bekerjasama dan menyokong penubuhan suruhanjaya itu, bagi mencari punca sebenar banjir yang menenggelamkan hampir semua daerah kecuali Bachok dan Pasir Puteh.

“Saya lalu di sungai menuju Pulau Suri, lihat banyak balak tersadai. Saya tanya adakah ini kawasan pembalakan, mereka kata tidak. Dari mana banyak balak yang tersadai hingga menyebabkan jambatan penghubung Pulau Suri dan Teluk Renjuna, kini roboh sepenuhnya," katanya dipetik laporan Sinar Harian Online hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini turut menyifatkan kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal di Kelantan merupakan faktor utama banjir besar berlaku di negeri itu.

Namun Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menafikan banjir besar yang berlaku berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di Hulu Kelantan.

Ahmad sebaliknya berkata ia disebabkan hujan lebat yang berterusan di Gua Musang pada 21 hingga 23 Disember lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang turut menyarankan satu jawatankuasa bertindak antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung.

Mengulas saranan Lim, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PR yang dijadualkan bermesyuarat pada bulan ini.


No comments: