Monday, January 12, 2015

Husam MB swasta tetapi lebih baik!

Oleh Amirulmukminin
Puak penentang Husam Musa dalam PAS mula melabelkan Naib Presiden itu dengan gelaran yang tidak masuk akal.
Laman sosial banyak mempertikaikan MB Kelantan diganti Husam ketika banjir memuncak

Mereka menggelar Husam ‘Menteri Besar swasta’ di Kelantan. Gelaran itu mencaci tindakan Husam berlagak sebagai MB ketika Kelantan tenggelam dalam banjir hujung Disember lalu. Bukan sahaja tidak mencerminkan akhlak parti Islam tetapi tindakan ahli PAS yang menghina Husam itu adalah anti kemanusiaan.

Dalam keadaan Kelantan darurat tetapi enggan diisytihar pentadbiran Najib, bantuan boleh diminta dan wajib diterima daripada sesiapa sahaja. Situasi kemanusiaan adalah pertimbangan paling utama.

Husam berjaya memperoleh bantuan tunai RM1 juta dari kerajaan Selangor dan RM5 juta berupa skim pembaikan rumah. Sekurang-kurangnya bantuan ini akan meringankan beban penyokong PR yang menghadapi banjir.

Tiada kenyataan media

Dalam suasana banjir tersebut, MB Kelantan Ahmad Yaakob hampir tidak kedengaran mengeluarkan kenyataan media. Hanya kenyataan media Husam diemel ke akaun media-media alternatif seluruh negara.

Ketika MB Selangor Azmin Ali melawat banjir, diberitakan pegawai MB Kelantan meminta Azmin menunggu Ahmad untuk membuat tinjauan dengan sebuah helikopter. Beberapa jam Azmin menunggu kelibat Ahmad tidak kelihatan. Akhirnya MB Azmin meredah air bersama rombongan meninjau situasi di Kota Bharu. Pada hari kedua barulah Husam menyediakan sebuah helikopter untuk Azmin meninjau mangsa banjir.

Anehnya apabila Najib melawat Kelantan, Ahmad terkehadapan menunggu kedatangan beliau. Ahmad menghadiri sidang media bersama dan kemudian beratur makan bersama Najib di pusat pemindahan persekutuan. Sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh Nik Aziz ketika menjadi MB.

MB negeri pembangkang wajib menunjukkan had sempadan kebersamaan dengan pemimpin persekutuan yang menindas. Jangan dilihat terlau membuntuti pemimpin persekutuan dan terlalu meminta-minta.

Gambar pemimpin PAS bersama pemimpin persekutuan dijadikan berita hangat kononnya kerjasama luar biasa kerajaan PAS dan BN. Sedangkan beberapa hari selepas itu terdengar pelbagai berita di peringkat bawahan, mangsa banjir penyokong Pakatan didiskriminasi oleh pemimpin Umno bawahan.

Betapa baiknya layanan Najib atau Muhyiddin ke atas pemimpin PAS tidak memberi apa-apa makna kepada pengikut bawahan. Tiada arahan dikeluarkan oleh Umno Kelantan agar permusuhan dengan PAS digantung.

Apa yang berlaku, penyokong PAS di Gua Musang diminta bersumpah menyokong BN hanya untuk mendapatkan bantuan makanan harian. Rumah penyokong Pakatan tidak ditandakan untuk dibaiki oleh pembanci Umno. Hanya rumah penyokong Umno yang akan diberi bantuan pembaikan.

Makhluk Umno BN

Dalam keadaan layanan sehina itu, Timbalan MB Nik Amar masih boleh berkata kerjasama dengan pusat sangat baik. Adakah Nik Amar tidak melihat siapakah yang memberi bantuan kepada mangsa banjir? Bukan orang Umno tetapi majoritinya sukarelawan dari Pakatan dan NGO prihatin.

Jika begini sikap MB dan TMB adalah lebih baik Kelantan mendapat seorang MB swasta daripada ditadbir MB kerajaan yang lemah dan bergantung kepada ‘makhluk BN’. Bukankah Nik Aziz selama 20 tahun memerintah Kelantan menentang pergantungan kepada makhluk tetapi terus bergantung kepada Allah.

Sekiranya PAS Kelantan bergantung kepada makhluk maka lebih mudah rakyat Kelantan mengundi makhluk bernama BN dalam PRU akan datang. Apa perlunya meminta kepada PAS dan kemudian PAS meminta kepada Umno?

Lebih baik mengundi Umno dan curahan bantuan serta pembangunan lebih mudah dijelmakan di Kelantan!



Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers