Tuesday, January 13, 2015

Bagaimana Sirul boleh lepas ke luar negara?

(Oleh: Nadia Hanafi)

KUALA LUMPUR 13 JANUARI- Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mempersoalkan kehilangan tertuduh kedua kes pembunuhan berprofil tinggi Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar Umar apabila tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mendengar keputusan rayuan kes itu.

Tian berkata, ia menunjukkan tidak ada pemantauan ketat dilakukan terhadap tertuduh oleh pihak berkuasa selepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

“Semasa mereka membuat rayuan terhadap sabitan kesalahan itu, tidak ada penguatkuasaan supaya mereka dipantau. Sepatutnya mereka perlu dipantau kerana kes ini belum lagi selesai,” katanya ketika dihubungi.
Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.

Namun Sirul tidak muncul ke mahkamah dalam pendengaran keputusan rayuan kes itu di.

Pada  April 2009, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam kerana membunuh Altantuya namun kedua-dua orang tertuduh telah membuat rayuan sabitan kesalahan ke atas mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati berlaku beberapa penyalaharahan (misdirection) oleh hakim Mohd Zaki Yasin dan mengarahkan kedua-duanya dibebaskan dari penjara pada bulan Ogos 2013.
Selain itu, menurut satu sumber yang dipetik Bernama, Sirul kini berada di Australia sejak dua bulan lalu dan tidak dapat pulang untuk hadir ke mahkamah kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

Tian mempersoalkan bagaimana orang yang dituduh membunuh boleh keluar negara dan meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk menangkap dan membawa beliau pulang ke Malaysia.

“Macam mana dia boleh ke luar negara? Sedangkan orang yang tidak membayar PTPTN tidak boleh keluar negara apatah lagi kes bunuh yang sepatutnya tidak boleh untuk keluar negara. Siapa yang suruh? Menteri kena jawab persoalan ini.

“Menteri Dalam Negeri kena ambil tindakan untuk tangkap dia di sana atau hantar surat kepada kerajaan Australia untuk hantar tertuduh itu balik ke sini,” katanya.

Tian juga menyifatkan kes ini hanya wayang sahaja kerana sejak sembilan tahun lalu tiada kesungguhan untuk mencari kebenaran sebenar mengenai kes kontroversi ini.

“Boleh dikatakan begitu sebab dari awal lagi tiada kesungguhan untuk mencari kebenaran mengenai pembunuhan ini. Bagi saya dua orang tertuduh ini hanyalah kambing hitam,” katanya


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers